Khamis, 15 September 2011

PM dicadang fokus kepada media dan ISA

Muhammad Faizal


KUALA LUMPUR: Menjelang pengumuman Perdana Menteri sempena hari Malaysia esok, 16 September, pelbagai pihak mencadangkan dua perkara yang diberikan tumpuan oleh beliau, ISA dan media.

Perdana Menteri dicadang agar memberikan kebebasan kepada media dengan cara memansuhkan Akta Penerbitan dan Akta Mesin Cetak bagi membolehkan reformasi terhadap media di negara ini berjalan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan, permit penerbitan media cetak tidak lagi diperlukan di negara ini dengan cara cukuplah sekadar media didaftarkan sahaja sebagaimana mendaftar sebuah syarikat.

Dr Dzulkefly ditanya tentang pelbagai spekulasi di buat oleh pihak media dan juga rakyat berhubung dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau akan membuat pengumuman mengenai beberapa perubahan penting pada malam ini sempena menyampaikan amanat hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan berlangsung esok 16 September.

Bagi beliau, kezaliman pihak kerajaan bukan hanya terletak kepada akta tersebut sahaja dan ia juga merangkumi apa yang dilakukan kepada pihak media.

"Kerajaan juga telah bertindak kejam kepada kebebasan media dan ini perlu dirungkai kembali bagi memberi sepenuhnya kuasa kepada pengamal media dalam menjalankan kerja mereka.

"Kita lihat kerajaan akan bertindak sesuka hati kepada media samada ingin memperbaharui permit mereka ataupun tidak dan jika media terbabit lebih menyerang kerajaan tindakan untuk memperbaharui permit akan mengalami kesukaran.

"Kita mahukan isu memperbaharui permit setiap tahun perlu dimansuhkan dan hak kebebasan media dikembalikan sepenuhnya

“Sebenarnya permit penerbitan ini tidak perlu dan cukuplah sekadar syarikat yang ingin menerbit akhbar mendaftar syarikatnya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hanya bagi tujuan memaklumkan kepada pembaca bahawa akhbar terbabit dibawah kelolaan syarikat tersebut dan ini bagi memudahkan pembaca mengambil tindakan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya lagi

ISA dan Ordinan Darurat

Bagi anggota Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, apa yang Najib akan umumkan malam ini tidak penting.

"Kita tahu Najib akan membuat satu pengumuman dan kita tidak pasti apa yang beliau akan umumkan, walaupun kebanyak media mahupun rakyat diluar membuat andaian bahawa Najib akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ataupun mengkaji semula akta terbabit dan bagi kita apa yang beliau ingin umumkan itu tidak penting," jelasnya pada satu sidang media di Pejabat Sekteriat Pakatan Rakyat.

Tambah Sivarasa, walaupun Najib melakukan sesuatu pembaharuan di dalam akta ISA itu dan apa yang dikehendaki oleh rakyat mahupun Pakatan Rakyat adalah setiap undang-undang mahupun akta yang zalim perlu dimansuhkan kesemuanya kerana ia tidak lagi sesuai digunapakai dalam negara kita sekarang.

"Kalau ISA dimansuhkan oleh Najib maka tiada lagi akta yang zalim tetapi kita kena ingat selain ISA masih ada lagi akta yang diguna pakai oleh kerajaan seperti penahanan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj bersama lima yang lain di bawah Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (EO).

"Selain Ahli Parlimen Sungai Siput, turut ditahan adalah M Saraswathy, Choo Chon Kai, M Sukumaran, A Letchumanan dan Sarat Babu. Peruntukan tersebut membolehkan pihak berkuasa menahan individu terbabit selama 60 hari tanpa bicara.

"Akta EO ini menyamai dengan apa yang terdapat di dalam ISA dan kerajaan berhak menahan mereka yang dirasakan bersalah tanpa sebarang perbicaraan dan berapa lama ia hendak ditahan," sambungnya lagi.

Ahli Parlimen Subang itu juga menjelaskan pemansuhan bukan hanya kepada ISA tetapi ia perlu merangkumi Akta Ordinan Darurat (EO) yang juga dilihat begitu zalim.

"Akta ini adalah zalim kerana kuasa yang telah diberikan oleh pemerintah terhadap polis untuk menangkap seseorang yang kononnya tanpa membuktikan kesalahannya terlebih dahulu, malah ia melanggar prinsip hak asasi manusia dan juga keadilan yang termaktub di dalam semua agama yang mana seseorang perlu dibuktikan bersalah terlebih dahulu baru dihukum, "tambah beliau lagi.

Tawaran diciplak

Sementara itu, menjelang Hari Malaysia esok, sudah dua cadangan Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga yang dicedok BN.

Tawaran itu adalah mengkaji semula bayaran tol di samping memberikan elaun tambahan untuk para guru.

"Sudah dua tawaran Buku Jingga dicedok BN iaitu bayaran tol dan elaun guru, mungkinkah hapus ISA selepas ini?" kata Saifudin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga membangkit isu yang sama.

Ketika Buku Jingga dilancarkan, para pemimpin BN memperlekehkannya termasuk berkata, negara akan bangkrap jika ianya dilaksanakan.

Namun, sedikit demi sedikit, kandungan atau cadangan Pakatan Rakyat itu dilaksanakan kerajaan tetapi dalam bentuk curi atau ciplak.

Tiada ulasan: