Ahad, 11 September 2011

Pertemuan Najib-hakim: Anwar tidak akan dapat perbicaraan adil

Oleh: Ahmad Fadli


KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk “minum petang” dengan beberapa hakim tertinggi di Istana Kehakiman, menimbulkan kecurigaan dan merbahaya.

Tindakan itu juga, kata Surendran menyebabkan orang ramai tidak yakin Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima perbicaraan yang adil dalam kes yang dihadapinya.

Ini kerana hakim-hakim tersebut, termasuk dari Mahkamah Rayuan jelas dilihat bermesra dengan Najib, yang menganggap Anwar sebagai musuh ketat politiknya dan begitu bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan Ketua Pembangkang itu.

“Perkara yang lebih memburukkan adalah hakim-hakim tertinggi turut sama ikut serta dalam perjumpaan ini yang terus menghakis keyakinan orang ramai dalam sistem kehakiman kita,” kata Surendran.

Sejumlah 130 hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menghadiri pertemuan dengan perdana menteri di Istana Kehakiman 7 September lalu.

Ia kononnya untuk taklimat bagaimana dana kerajaan persekutuan diguna untuk menambahbaik sistem penyampaian mahkamah, namun diragui pimpinan KEADILAN.

Menurut Surendran, gambar-gambar menunjukkan Ketua Hakim yang baru dilantik, Datuk Ariffin Zakaria bersama Ketua Hakim yang bakal bersara, Tan Sri Zaki Azmi menyambut Najib keluar dari keretanya sepatutnya tidak berlaku.

“Tingkah laku hakim-hakim tertinggi ini menunggu PM adalah tidak sesuai dan kelihatan seperti menurut perintah. Ia ibarat Menteri Kabinet yang menyapa Najib apabila beliau tiba di majlis-majlis rasmi.

“Hakim-hakim tertinggi sepatutnya tidak perlu menunggu Najib. Kita perlu ingat, hakim-hakim ini adalah mereka yang sama yang akan mendengar banyak kes berprofail tinggi yang mungkin melibatkan kepentingan PM,” kata Surendran.

Menurutnya lagi, tingkah laku hakim-hakim ini tidak konsisten dengan doktrin pengasingan kuasa di mana kehakiman, eksekutif dan perundangan sebagai tiga cabang demokrasi adalah sama rata dari segi peranan dan kedudukan.

“Rakyat kini tidak percaya kepada kesaksamaan dan kebercualian hakim.

“Keyakinan orang ramai terhadap hakim kini berada pada tahap paling rendah sejak kemerdekaan. Kebanyakan masalah ini berpunca daripada kurangnya prinsip dan keberanian hakim-hakim untuk mempertahankan kebebasan mereka,” kata Surendran.

Justeru, katanya, rakyat kini tidak percaya dengan kenyataan kosong yang dibuat Najib pada 7 September kononnya kerajaan menghormati kebebasan kehakiman.

“Jika ini benar, kerajaan sepatutnya membentuk satu mekanisma perlantikan hakim yang bebas dan telus. Kenapa mereka masih enggan berbuat demikian?,” soal beliau.

Tiada ulasan: