Ahad, 25 September 2011

Pengerusi MCA Kedah sedia lepaskan semua jawatan

MALAYSIA KINI


Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew berkata beliau sudah bersedia melepaskan semua jawatan parti dan memberi laluan kepada muka baru untuk dipilih bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang dijangka tidak lama lagi.

chua soi lek dinner at penang 260310 alor setar division chief chong itt chew"Saya sudah maklumkan hasrat saya ini kepada presiden parti kira-kira sebulan lepas. Bagaimanapun sekiranya presiden menganggap perkhidmatan saya masih diperlukan parti, saya akan terus berkhidmat.

"Namun saya fikir lebih baik beri laluan kepada muka baru mewakili MCA pada pilihan raya akan datang, yang baik untuk jangka masa panjang parti dan Barisan Nasional (BN)," katanya, semasa ditemui di Alor Setar, hari ini.

Chong, 62, berkata keputusannya bukan kerana masalah kesihatan tetapi setelah lebih 35 tahun berkecimpung dalam dunia politik beliau ingin memberi tumpuan kepada beberapa perkara namun akan terus memberi sumbangan kepada parti.

Mengenai PRU-13, beliau berkata parti sedaya upaya berusaha menarik sokongan pengundi Cina kepada BN.

"Kita membuat persediaan dengan menggerakan jentera pilihan raya di kawasan tumpuan lebih setahun lepas kerana menyedari bukan senang untuk menawan balik pengundi Cina yang beralih sokongan kepada pembangkang.

NONE"Saya yakin pendekatan yang digunakan MCA dengan menemui pengundi secara terus serta kerjasama mantap semua anggota komponen BN, kita yakin dapat merampas kembali satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang jatuh kepada pembangkang," katanya.

Pada PRU-12, MCA bertanding dua kerusi Parlimen dan empat DUN dan cuma memenangi satu kerusi Parlimen Alor Setar dan tewas Parlimen Kulim/Bandar Baru manakala tewas kerusi DUN Kulim, Kota Darul Aman dan Bakar Arang.

Chong, bekas anggota Exco kerajaan negeri semasa Syed Razak Syed Zain dan Datuk Seri Mahdzir Khalid menjadi Menteri Besar, tewas kepada pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik pada PRU-12 yang lalu. Bernama

Tiada ulasan: