Isnin, 19 September 2011

Pembaharuan politik, Umno kering idea

BANDAR JENGKA - Di sebalik pujian melangit oleh media perdana kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung apa yang dicanang sebagai ‘pembaharuan politik’, PAS pula menyifatkan pemimpin Umno dan kerajaan hari ini ternyata kekeringan idea.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ini disebabkan kebanyakan pembaharuan yang diumumkan baru-baru ini dicedok dan ditiru daripada idea Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga.“Pemansuhan ISA dan Akta Mesin Cetak yang diumumkan Najib baru-baru ini betul-betul ditiru dan dicedok daripada Buku Jingga Pakatan Rakyat. Malah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada bulan Disember 2009 menegaskan bahawa semua pihak sepakat ISA dikekalkan.

“Bukan itu saja, sebelum ini terbukti satu demi satu perkara dalam Buku Jingga ditiru oleh BN seperti pemberian elaun, bonus, gaji guru, wi-fi percuma dan insentif warga Felda.

“Begitu juga dengan cuti umum 16 Septembar, cuti bersalin 60 hari, itu semua idea-idea PR. Sah lah PR lebih baik dan lebih pandai memerintah berbanding BN,” tegasnya semasa berucap sempena program Rumah Terbuka Aidlfitri PAS Kawasan Kuala Krau.

Kira-kira 4,000 penduduk sekitar Jengka hadir di majlis berkenaan yang diadakan di perkarangan Masjid Lama semalam.

Tambah Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang dan Yang Di-Pertua PAS Kuala Krau, pemimpin kerajaan hari ini ketiadaan pemimpin yang berkarisma menyebabkan tiada idea-idea baru dalam perubahan politik.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut kesal kerana setakat ini kerajaan belum mengumumkan pendirian berhubung kenyataan Majlis Profesor Negra (MPN) bahawa negara ini tidak pernah dijajah.

“Bagi kita ini penting sebab implikasinya sangat besar melibatkan perubahan silibus pelajar-pelajar daripada sekolah rendah hingga ke universiti.

“Jika tiada pendirian dibuat, bermakna kumpulan ini dan rakyat keselururannya akan terus menerus keliru setelah media Umno sebelum ini cuba memainkan sentimen berkaitan sejarah negara,” ujarnya.

Pada program yang sama, Tuan Ibrahim mengumumkan PAS Pahang akan mengadakan perhimpunan sempena 60 tahun PAS peringkat negeri yang akan diadakan pada 26 Oktober di Tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau.- Harakah Daily

Tiada ulasan: