Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
PEKAN Taman Fajar yang terletak di Kilometer 7, Jalan Lapangan Terbang Sandakan merupakan pekan yang menjadi tumpuan ramai pengunjung pada saban hari termasuk pada waktu malamnya.
Selain mempunyai Pusat Membeli Belah untuk orang ramai berbelanja, tidak kurang juga dengan mempunyai pasar mini dan deretan warung yang menjual pelbagai jenis makanan, minuman dan buah-buahan.
Ketika melakukan tinjauan rambang kelmarin, Wartawan Sabahkini.net yang secara kebetulan singgah untuk membeli pecal dan gado-gado, tiba-tiba didatangi seorang pengunjung, Hashim Harun yang ingin mengadu beberapa perkara mengenai masalah di sekeliling pekan itu.
Hashim membawa jurugambar Sabahkini.Net ke hadapan Pasar untuk menunjukkan tandas awam yang berbau busuk kerana najis (tahi) kelihatan bersepah di atas lantai disebabkan tandas berkenaan tidak pernah diselenggara oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) atau kontraktor pembersihan.
“Pembinaan tandas ini satu kemudahan awam tetapi amat mendukacitakan kerana tiada bekalan air paip disediakan oleh pihak yang berkenaan,” kata Hashim yang kesal kerana pengunjung terganggu oleh bau najis daripada tandas tersebut.
Tegas Hashim, bagaimana pengunjung mahu menggunakan tandas berkenaan jika tidak mempunyai air paip untuk beristinjak, melainkan bagi bukan beragama Islam.
Katanya lagi, selain tandas awam yang bermasalah, tempat letak kereta di hadapan dan di belakang Pasar boleh menternak ikan keli kerana ditakungi air dan para pemilik kenderaan sukar untuk meletakan kereta mereka.
“Yang menghairankan mana sudah perginya Pemimpin Kemajuan Ralyat (PKR), Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), JKDB dan Pemaju Mukimnya? Kenapa perkara sebegini tidak dilaporkan kepada pihak MPS,” jelas Hashim lagi yang kesal kerana pegawai lantikan politik tidak suka turun padang memantau masalah rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan