Rabu, 21 September 2011

Pak Lah: Saya patut lebih tegas laksana pembaharuan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau sebenarnya amat jelas dengan pembaharuan yang hendak dibawa semasa menjadi perdana menteri antara 2003 dan 2009 dan sepatutnya lebih tegas dalam melaksanakan rancangan-rancangan yang dibawanya.

“Mungkin semasa saya memegang jawatan itu saya sepatutnya lebih bertegas mengenai pembaharuan itu, berdasarkan kepada tentangan yang saya hadapi,” kata beliau dalam satu kenyataan malam tadi.

Abdullah (gambar) mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz semalam bahawa beberapa tentangan terhadap rancangan pembaharuan yang dibawa beliau muncul kerana Abdullah tidak menyatakan dengan jelas mengenai apa yang hendak dilakukannya.

Nazri berkata berbanding Abdullah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sangat jelas mengenai agenda pembaharuan yang hendak dibawa termasuk kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang bakal dimansuhkan.

Sehubungan itu, Abdullah yang juga bekas presiden Umno berkata beliau berharap penggantinya akan lebih bertegas dengan rancangan-rancangan pembaharuannya sekiranya beliau jelas dengan apa yang dimahukannya.

“Sudah tentu apabila seseorang pemimpin berhasrat membawa pembaharuan, pasti ada kumpulan yang menyokong dan ada juga kumpulan yang menentang.

“Bagaimanapun sekiranya pemimpin itu jelas, bahawa apa yang hendak dilakukannya adalah sesuatu yang betul, beliau perlu berusaha melaksanakannya,” katanya.

Di Kota Baru kelmarin, Abdullah berkata beliau berharap tidak akan ada pihak dalaman yang akan menentang secara “senyap seperti gunting dalam lipatan” usaha Najib yang mahu memansuhkan ISA dan beberapa undang-undang lain.

“Saya harap barisan pimpinan di belakang Datuk Seri Najib, parti-parti politik baik dalam Barisan Nasional atau pun di luar akan memberi sokongan penuh kepada beliau untuk merealisasikan perjuangan untuk membawa perubahan.

“Saya harap tidak akan ada mereka yang menentang dalam senyap seperti gunting dalam lipatan kerana dasar yang beliau ingin wujudkan dengan pemansuhan ISA akan membawa manfaat kepada rakyat dan negara dalam jangka masa panjang,” kata beliau.

Najib menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri pada April 2009.

Abdullah juga berkata beliau berharap mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menggubal akta dan undang-undang baru keselamatan akan berfikiran progresif dan tidak cuba menggubal undang-undang yang dapat disalahgunakan untuk menyekat perkembangan minda rakyat yang waras, intelek dan berintegriti.

“Saya yakin dan percaya bahawa Perdana Menteri dan barisan pimpinan di bawah beliau telah berfikir dengan dalam dan rasional sebelum mengumumkan pemansuhan ISA dan enakmen darurat, dan saya juga yakin bahawa beliau akan melakukan apa yang telah dijanjikan,” kata Abdullah ketika berucap menerima ijazah kehormat doktor keusahawanan dalam pembangunan modal insan sempena Majlis Konvokesyen Pertama Universiti Malaysia Kelantan.

Najib mengumumkan pemansuhan ISA dan tiga deklarasi darurat serta langkah mengkaji semula beberapa undang-undang yang lain ketika menyampaikan perutusan khas sempena Hari Malaysia Khamis lalu.

Tiada ulasan: