Khamis, 15 September 2011

Memartabat negeri melalui Desentralisasi Fiskal

Sebagai contoh, menjamin bayaran royalti sebanyak 20% dari hasil petroleum kepada kerajaan negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.



PETALING JAYA: Pakatan Rakyat memberi jaminan tidak berbelah-bagi untuk menghormati serta mengangkat martabat negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaysia melalui Desentralisasi Fiskal seperti yang terkandung pada halaman 31, Buku Jingga.

Sebagai contoh, menjamin bayaran royalti sebanyak 20% dari hasil petroleum kepada kerajaan negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat. Perkara ini telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat pada hari ini.

Demikian menurut satu kenyataan media dari Sekretariat Pakatan Rakyat yang diwakili oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad; Setiausaha Hal-ehwal Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Pusat PKR, R Sivarasa.

Jawatankuasa itu mengambil ketetapan tersebut sebagai memperingati hari ulangtahun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Menteri Kewangan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi tiga tahun lalu.

Menurut kenyataan itu, pada 17 September 2008, Najib telah menemui Abdullah, perdana menteri ketika itu untuk memberi tekanan lanjut kepada Abdullah untuk menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan kepadanya.

Terperangkap dalam pendapatan pertengahan


Sejak Najib mengambil alih jawatan itu, Pakatan Rakyat berpendapat Kementerian Kewangan gagal untuk melaksanakan agenda reformasi mengangkat keluar ekonomi negara dari perangkap negara berpendapatan pertengahan iaitu Model Ekonomi Baru yang dicanang-canangkannya.

“Menteri Kewangan juga kerapkali berdolak-dalik di dalam membuat keputusannya yang mengakibatkan kerugian berpuluh-puluh juta ringgit seperti kegagalan polisi penggunaan teknologi nano untuk melabel minyak serta yang terakhir sekali, cukai 6% untuk telefon prabayar,” tambah kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, ketidakseimbangan ekonomi juga semakin meruncing disebabkan tahap gaji pekerja yang tidak meningkat dan kadar inflasi yang semakin tinggi.

“Pakatan Rakyat juga sedar bahawa Najib ketika ini sedang bergelut keseorangan mempertahan kedudukannya dalam kabinet dan juga Umno.

“Sekiranya kita menggunakan analogi korporat, tidak akan berlaku seseorang Ketua Pegawai Eksekutif pada masa yang sama turut memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan.

“Oleh yang demikian, ia adalah sesuatu yang amat janggal di mana-mana negara pun di dunia dan menyimpang jauh dari prinsip tadbir urus yang baik.

“Pakatan Rakyat menyokong saranan Abdullah agar Najib melantik seorang penyokong yang masih dipercayainya untuk mengambil alih jawatan Menteri Kewangan sebelum keadaan ekonomi kita merudum lebih jauh,” demikian menurut kenyataan itu.

Tiada ulasan: