Selasa, 20 September 2011

MB enggan dedah laporan penuh JAIS

Abdul Rahim Sabri


Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim enggan mendedahkan isi kandungan laporan lengkap siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung pemeriksaan gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) 3 Ogos lalu.

Katanya, "apa-apa pengumuman" mengenai laporan itu akan dibuat pada minggu hadapan".

NONE"Pagi tadi, saya berkesempatan mengadap dengan Tuanku Sultan. Saya menerima laporan dari JAIS (berhubung pemeriksaan terhadap DUMC).

"Saya juga minta laporan itu diserahkan kepada Tuanku, supaya baginda meneliti laporan tersebut, dan apa-apa pun, saya akan mengadakan perbincangan dengan Tuanku Sultan," katanya kepada pemberita dalam majlis Aidilfitri di Shah Alam hari ini.

Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak berkata beliau akan membuat "beberapa pengumuman" berhubung laporan tersebut selepas berbincang dengan baginda.

"Oleh kerana terdapat lawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, saya saya rasa apa-apa pengumuman, mengenai laporan tersebut, akan dibuat pada minggu hadapan," katanya.

azlanDiminta menjelaskan isi kandungan laporan siasatan tersebut, Khalid berkata: "Saya akan beri kenyataan pada minggu hadapan".

Isu pemeriksaan JAIS itu mendapat reaksi pelbagai pihak, sehingga Khalid menubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusikannya bagi menyelesaikan kontroversi tersebut.

Ekoran itu, beliau mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak - JAIS dan penganjur majlis makan malam di gereja berkenaan - bagi mendapat penjelasan berhubung dakwaan terdapat kegiatan menyebarkan agama lain dalam majlis tersebut.

Jabatan kerajaan itu sebelum ini menghantar laporan awal berhubung pemeriksaan mereka pada tarikh tersebut.

Tiada ulasan: