Menjelang Hari Malaysia, Perdana Menteri Najib Razak umumkan dalam ucapan secara langsungnya di TV1, kerajaan akan hapuskan ISA. Beberapa akta lain, antaranya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang digubal di era Mahathir Mohamad, juga bakal dipinda.
Apa yang diumumkan Najib mencerminkan tak semua yang dilakukan pemerintah, selama sebuah parti itu berkuasa, adalah benar. Dalam ucapannya, beliau akui era "pemerintah tahu segalanya" sudah berakhir. Malang, kesedaran penguasa adalah lambat setelah begitu ramai orang terdekam di Kem Tahanan Kamunting; setelah media terbungkam dan kebebasan bersuara diserkap, barulah sedikit nada demokrat terdengar dari corong RTM.
"Kerajaan besar" bukan lagi konsep dan amalan yang bagus, malahan "kerajaan kecil" dengan kuasa-kuasanya yang terhad kini lebih berkesan. "Berkesan" lebih mustahak daripada "besar". Sebesar apa pun tak berguna, kalau tak berkesan, khususnya tak membawa manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat. Contoh yang ada, saiz pejabat yang besar kini tak lagi menunjukkan bos di dalam pejabat itu hebat. Pejabat yang besar hanya timbulkan karenah birokrasi yang macam-macam serta biaya penyelenggaraan yang tinggi.
Berbuih mulut untuk dihujahkan bahawa segala bagai akta yang digunapakai yang bersifat draconian itu, mencengkam dan bertentang dengan Perlembagaan Persekutuan. Kritikan ini sebelum malam semalam, selalu diperlekeh elit penguasa termasuk di kalangan Pemuda UMNO sekalipun. Pemuda sewajarnya penuh idealisme. Bukannya bertakung air dalam kepala, atau "airlisme".
Adatnya kaum feudal, menunggu bos berkata iya, maka semua pun angguk-angguk kepala. Ini tanda orang yang tak boleh berfikir sendiri akibat airlisme. Barang diingat, demokrasi bukan masa lalu; demokrasi selamanya untuk masa depan Malaysia. Kesepaduan negara-bangsa takkan mungkin wujud tanpa jaminan ruang demokrasi.
Malaysia adalah negara muda. Baru 48 tahun, tahun ini. Kemerdekaan yang disambut pada '57 itu adalah bagi negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Tak termasuk Sabah dan Sarawak, sedangkan tanpa kedua wilayah berkenaan, takkan berdirinya Malaysia.
Sebelum Tunku Abdul Rahman (gambar kiri) mengemuka gagasan Malaysia, khasnya kepada Malcolm MacDonald dalam pertemuan mereka di Kuala Lumpur, Disember 1958, buah fikiran tersebut terlebih dahulu telah dibincang, dipelopor dan diperjuangkan oleh tokoh-tokoh nasionalis seperti Ibrahim Haji Yaacob, Dr Burhanuddin El-Helmy dan Ahmad Boestamam. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) jadi parti terawal yang menggagaskan konsep "Melayu Raya", iaitu nama asal bagi Malaysia.
Mewujudkan Melayu Raya ditentang bukan sahaja oleh Indonesia, juga oleh Filipina. Sebab penentangan berbeza-beza. Indonesia menuduh konsep "Malaysia" adalah kesinambungan kuasa penjajahan Barat, atau neo-kolonialisme. Soekarno ragu, wilayah-wilayah yang bergabung di dalam Malaysia bertujuan "mengepung Indonesia" secara geografi, politik dan ekonomi. Sebelumnya, beliau juga pernah bercita-cita untuk mewujudkan Indonesia Raya sebagai kesatuan seluruh wilayah-wilayah Nusantara sebelum Indonesia merdeka.
Bagi Filipina, penentangan terhadap pembentukan Malaysia dengan protes bahawa Borneo Utara (Sabah) adalah miliknya. Dengan kerjasama British, satu referendum dijalankan di kedua wilayah itu, iaitu Sabah dan Sarawak. Dengan pungutan suara itulah menjadi hujah Tunku tentang hasrat dan persetujuan rakyat Sabah untuk turut sama menyertai persekutuan baru ini.
Sempadan dua negara utama di Nusantara terbelah kerana penjajahan. Indonesia yang merdeka pada 1948 adalah jajahan takhluk Belanda, dan Malaysia di bawah British. Indonesia merdeka serentak dengan penubuhannya, tetapi Malaysia melalui dua proses iaitu kemerdekaan Tanah Melayu, enam tahun sebelum terbentuknya Malaysia.
Namun, tanpa Singapura dan Brunei yang diperkira bersama gugusan Melayu Raya, apakah gagasan Malaysia itu boleh dianggap sepenuhnya berjaya? Dengan hanya kemasukan Sabah dan Sarawak, apakah Malaysia masih perlu bernama Malaysia… atau sebaiknya persetukuan ini memakai nama awalnya sahaja, iaitu "Malaya"? Kita selalu ingat, kemerdekaan Singapura pada 2 Ogos tahun yang sama dengan penubuhan Malaysia berakibat Kuala Lumpur terlewat untuk membentuk Malaysia yang sepatutnya sama dengan tarikh 31 Ogos.
Lee Kuan Yew (gambar kiri) mengumumkan kemerdekaan Singapura sendiri. Sebelum itu, Singapura sudah mempunyai kerajaan, tetapi dianggap sebagai "kerajaan dalam negeri". Kuasa kerajaan dalam negeri terhad dan tidak diiktiraf kuasa-kuasa besar dunia termasuklah PBB. Singapura sebelum mengumumkan kemerdekaannya, tidak boleh membuka kedutaan di mana-mana negara luar.
Lee bolehlah dianggap merampas kemerdekaan. Bukan dari British, tetapi dari Kuala Lumpur. Cuma tindakan itu tidaklah begitu terasa apabila Singapura sertai Malaysia. Lee mencemeh, dengan ejekan Singapura merdeka sendiri, tetapi Tanah Melayu merdeka dengan "dulang emas".
Berbeza dengan gagasan yang dikemuka tokoh-tokoh progresif, terutama di dalam PKMM, mereka tidak pernah melihat Singapura itu terasing dari jajahan Johor. Berdirinya sebuah negara merdeka bernama Malaya adalah sekali dengan penyertaan Singapura, selain wilayah-wilayah lain bekas jajahan takhluk Inggeris yang belum merdeka. Gagasan ini termasuk di dalam apa yang disebut sebagai "merdeka secara penuh".
Prinsip asas "merdeka secara penuh" ialah sebarang keputusan tak perlu rundingan dengan pihak Inggeris. Adalah tidak munasabah untuk rundingan dibuat dengan pihak yang menjajah. Identiti dan perlembagaan negara ini, biar ditentulah oleh anak bangsa sendiri dan bukannya akan nasihat Inggeris yang membantu untuk merupa bentuk sebuah negara selepas jajahan.
Perlembagaan Rakyat pun siap ditulis pada 10 Ogos 1947. Kertas hitam-putih ini menjadikan Inggeris tercabar. Mereka masih mahu campurtangan termasuk dalam pembentukkan asas negara apabila Inggeris juga menubuhkan Suruhajaya Perlembagaan Rendell. Anggota-anggota di dalam suruhjaya ini dilantik langsung oleh Baginda Ratu di England. Barang diingat, Perlembagaan Persekutuan yang terpacak sebagai tiang seri Malaysia hari ini tak lain adalah daripada apa yang didraf oleh suruhanjaya berkenaan dan mendapat restu Ratu.
Pertembungan golongan progresif dengan kaum feudal sudah berlangsung sebelum merdeka. Bagaimanakah boleh dibanggakan apabila bendera Malaysia yang terkibar sepertimana hari ini, juga dengan kehendak Ratu; dan Malaysia jadi satu-satunya negara di dunia yang benderanya seakan-akan bendera Amerika Syarikat.
Anehnya, negeri ini merdeka dan terbentuk tanpa perbincangan rancak. Ia hanya dilakukan oleh dua-tiga kerat kaum feudal tanpa dibahas dan dibincangkan secara umum. Selepas 48 tahun, akta seperti ISA baru dijanjikan akan dihapuskan, ya selepas akta itu memakan korban begitu ramai orang. Dan selepas begini lama juga, lantai-lantai, tiang dan pasak negara ini mula dibongkar dan disemak kembali.
Terlihatlah masih wujud lobang-kelabang, sompang-sempek dan hugal-hagilnya di sana-sini. Kecintaan terhadap negeri dan bangsa bermaksud memperkukuh segala yang goyang pada terasnya.
*Dipetik dari Jalan Telawi. Hasmi bin Hashim ialah seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.
Isnin, 19 September 2011
Malaysia yang (Masih) Goyang
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan