Rabu, 14 September 2011

Mahfuz: Mungkin Zainal Kling ada fakta sendiri

Jimadie Shah Othman


Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata semua pihak perlu terbuka membincangkan sejarah negara, dengan melihat pandangan pelbagai pihak, termasuk ahli akademik dan sejarahwan.

Sebagai contoh, katanya, pandangan anggota Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Zainal Kling bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah membawa kemungkinan beliau mempunyai fakta tertentu yang tidak diketahui.

"Saya tak kata ia benar. Tetapi mungkin beliau ada fakta tertentu. Ini perlukan hujah," katanya anggota parlimen Pokok Sena itu.

Respons Mahfuz itu dilihat lunak berbanding reaksi beberapa pemimpin PAS sebelum ini, termasuk oleh Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat yang memperli Dr Zainal sebagai profefor yang "tidur terlalu lama".

Zainal pada 9 September lalu, berkata, berdasarkan fakta sejarah, kecuali tiga Negeri Selat, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi British.

Dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, Mahfuz juga mencadangkan kerajaan membentuk panel bagi mengkaji sejarah sedia ada kerana kini terdapat pelbagai versi berbeza daripada yang dipelajari di sekolah.

Ada fakta 'digelapkan'

Walaupun merasakan panel bebas sebagai penyelesaian terbaik, buat masa ini beliau mencadangkan panel sedia ada bawah Kementerian Pengajian Tinggi bagi membincangkan kurikulum sejarah di sekolah dikembangkan bagi mengkaji isu yang berbangkit sejak dua minggu lalu.

Katanya, badan itu juga boleh memanggil melibatkan beberapa pemain penting yang kenyataannya menjadi polemik seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden PAS Mohamed Sabu, sejarahwan Tan Sri Dr Khoo Khay Kim dan Dr Zainal sendiri.

Mahfuz berkata, berdasarkan pelbagai versi tentang sejarah kemerdekaan dan pandangan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk mengkaji sejarah kedatangan Islam, fakta sejarah perlu pengkajian semula.

"Naik taraf sahaja (panel sedia ada). Kalau hendak buat panel lain kena tangguhkan panel ini terlebih dahulu," katanya.

Mohamed Khaled pada 9 September lalu dilaporkan berkata, silabus sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta tidak lengkap dan terdapat percanggahan dengan kajian cendekiawan terkenal Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku terbarunya Historical fact and fiction.

Khaled berkata Syed Naquib dalam kajiannya mewujudkan beberapa persoalan kemungkinan sejarah penting tidak dicatitkan sebelum pemerintahan Melaka dan kemungkinan beberapa fakta juga berat sebelah.

Mahfuz berkata, pengakuan Mohamed Khaled itu menunjukkan kemungkinan terdapat beberapa fakta yang telah "digelapkan" dalam penulisan sejarah di negara ini.

VIDEO | 10.20 min

Tiada ulasan: