KUALA LUMPUR — Silabus subjek sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta mengenainya hasil kajian ahli falsafah dan Teologi Negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku terbarunya ‘Historical Fact and Fiction’.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (gambar) berkata sehubungan dengan itu satu kajian mendalam mengenainya akan diadakan oleh fakulti sejarah.
“Lepas itu macam mana nak sebarkannya, nak jadikan silabus sekolah menengah atau universiti ke kita akan fikirkan, soalnya sekarang kita nak kaji dulu ‘what is the real’ sejarah,” kata beliau dipetik Bernama Online.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran buku karya Syed Naquib di kampus Universiti Teknologi Malaysia Kampus Antarabangsa di sini, hari ini. Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Sultanah Johor yang juga Canselor bagi universiti itu, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah.
Khaled berkata Syed Naquib dalam kajiannya mewujudkan beberapa persoalan kemungkinan beberapa sejarah penting tidak dicatitkan sebelum pemerintahan Melaka dan kemungkinan beberapa fakta juga adalah berat sebelah.
“Sejarah yang seperti dirujuk kita sebelum ini mungkin diambil daripada penulisan barat, jadi apa yang ada sebelum tertulis oleh barat, maknanya sebelum kedatangan mereka, tidak tercatat apa-apa fakta.
“Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa sejarah tidak diputar belit, cuma terdapat beberapa fakta yang tidak ditulis.
“Jadi dalam hal ini mungkin sejarah boleh dicungkil bukan semata-mata maknanya ada putar belit sejarah, tapi ia lebih kepada mencari kebenaran, ia telah ditulis secara tidak betul,” katanya.
Bagaimanapun, Khaled memaklumkan bahawa buku itu tidak akan digunakan bagi mengganti buku teks sedia ada di peringkat sekolah, namun akan dijadikan sebagai rujukan bagi kajian yang lebih mendalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan