Khamis, 15 September 2011

Kenyataan Ramlah sahkan 'agenda' British tidak menjajah

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Kenyataan pemimpin Perkasa, Profesor Ramlah Adam (gambar) bahawa 'British tidak menjajah Malaya' dan 'Mohamad Sabu salah apabila berkata polis di rumah pasong Bukit Kepong adalah polis British' menjelaskan niat sebenar episod ini.

Kenyataan Ramlah dan Profesor Zainal Kling sebelum ini adalah bertujuan untuk menafikan kenyataan Mohamad Sabu bahawa polis ketika itu bekerja untuk British iaitu penjajah.

Oleh itu, kedua-duanya ingin mengesahkan hujjah Umno bahawa Mohamad Sabu menghina dan memperkecilkan peranan pasukan keselamatan di negara ini kerana menghina polis rumah pasong Bukit Kepong.

Menurut Ramlah, polis yang berkhidmat ketika tragedi Bukit Kepong bukan polis British, sebaliknya berkhidmat dengan negeri Melayu yang berdaulat.

"Jika begitu, apakah Umno dan Perkasa talibarut penjajah British?" soal Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail.

Ini jelas apabila "Ramlah juga kata British tidak menjajah Malaya bukan?" kata Saifudin dalam Twitternya.

Hingga kini, para ahli akademik Umno berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatakan British bukannya penjajah Malaya tetapi hanya pelindung sahaja.

Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong dalam tulisannya sebelum ini sudah meramalkan, sasaran kenyataan Zainal Kling adalah untuk menafikan polis di rumah pasong Bukit Kepong adalah polis British sebagaimana dakwaan Mohamad Sabu.

Begitu juga kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang berkata, Mat Indera adalah komunis bertujuan untuk menafikan kenyataan Mohamad Sabu.

Kedua-dua kenyataan itu dibuat sekalipun berhadapan dengan bantahan kerana ia bertentangan dengan persepsi dan pendidikan rakyat Malaysia selama ini.

Yayasan Warisan Johor telah mengeluarkan sebuah buku pada tahun 2004 bertajuk 'Pengukir Nama Johor' yang membariskan Mat Indera sebagai salah seorang heronya dan dia bukan komunis.

Kata-kata pengantar buku itu telah dibuat oleh Abdul Ghani sendiri.

Apabila akhbar Umno, Utusan Malaysia melaporkan Mat Indera adalah Komunis, Ghani telah menukar kenyataan itu selari dengan pendirian Umno, dari hero kepada petualang, dari pejuang kemerdekaan kepada komunis.

"Jika begitu apa tujuan sambutan merdeka pada 31 Ogos...merdeka dari siapa," kata seorang pemimpin PAS dalam satu majlis sebelum ini.

Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, pemimpin Umno kena bertanggung jawab dengan kenyataan yang dibuat oleh Zainal Kling itu dan kini Ramlah Adam kerana kedua-duanya ahli dan penyokong Umno.

Sehubungan itu juga, beliau meminta supaya Zainal bertaubat kerana kenyataan beliau boleh merosakkan negara.

"Bagi saya sejarawan seperti ini pada saya boleh merosakkan negara kita kerana mereka boleh putar belit fakta semata-mata untuk membolehkan Umno menjadi juara pada setiap masa," kata Husam.

Menurut Husam, sudah sekian lama British dalam dokumen-dokumennya di London menganggap Malaya adalah tanah jajahan mereka.

Oleh itu, apabila Zainal Kling membuat kenyataan sebegini, ia satu usaha untuk menulis semula sejarah yang sudah dimaktubkan dalam pelbagai dokumen sejarah.

Blogger Umno bantah

Sementara itu, pandangan Zainal dan Ramlah dibantah oleh penulis Umno sendiri, Aspan Alias melalui blognya. Beliau turut menuntut agar Umno membuat pendirian mengenainya.

"Jika apa yang diperkatakan oleh Zainal Keling itu maka saya kesal dengan Che’ gu saya yang bernama Miss Lim semasa saya darjah 5 dahulu kerana memberitahu saya dan murid sedarjah dengan saya yang kita menyambut hari kemerdekaan pada setiap 31 Ogos kerana memperingati saat negara kita terlepas dari penjajahan kuasa asing ke atas negara kita.

"Saya juga menyampah dengan Joginder Singh kerana dalam buku beliau yang menjadi buku teks sejarah semasa itu menyatakan dengan jelas yang Malaya terlepas dari penjajahan Inggeris pada 31 Ogos 1957. Hendak berhujah dengan Joginder Singh pula masalahnya beliau sudah meninggal dunia. Atau pun saya persalahkan Kementerian Pelajaran semasa itu yang memilih buku sejarah karangan Joginder Singh ini sebagai buku teks semasa itu.

"Kenapa baru sekarang ada yang memberitahu yang kita adalah seperti negara Thai yang tidak pernah dijajah. Kenapa semua pensyarah dan semua rakyat mengatakan yang kita tidak pernah dijajah oleh sesiapa?" tulis beliau.

Tiada ulasan: