Semua pasti tertunggu-tunggu akan pengumuman tarikh pilihan raya umum yang akan datang. Ia mungkin berita paling sensasi buat semua. Ramai yang tahu siapa yang akan menang. Orang BN atau penyokong BN tidak sabar untuk mengetahui keputusannya, begitu juga orang Pakatan, atau penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jika Anwar berjaya mengalahkan Perdana Menteri BN, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dijangka, keadaan akan parah bagi parti Barisan Nasional yang telah memerintah selama 5 dekad. Ada juga bercakap tentang pengaliran keluar wang yang banyak dan bagaimana ratusan mesin pencarik telah disiap sediakan untuk mencarik semua dokumen yang dikhuatiri boleh menjadi bukti. Sememangnya akan berlaku huru-hara selepas PRU ke -13, tetapi itu sememangnya adalah sebahagian dari politik dan politik sememangnya kotor.
Kini, penyokong Pakatan Rakyat semakin yakin bahawa PRU yang ke-13 adalah pengakhiran untuk BN atas pelbagai sebab. Mudah-mudahan, mereka tidak terlalu mudah merasa selesa hanya dengan keputusan pungutan suara yang diadakan baru-baru ini yang menunjukkan peratusan populariti Najib telah menjunam sebanyak 6 peratus. Perjuangan ini jauh dari berakhir.Ssebenarnya ia belum pun bermula. Jadi, sebelum DAP, PAS dan PKR mula bergembira atas ‘kemenangan’ itu (ya, ramai Ahli Parlimen dan ADUNs sudah pun mengucapkan tahniah kepada masing-masing!), mereka benar-benar harus mengggunakan lebih banyak masa mengatur strategi dan jentera mereka yang masih jauh dari memuaskan.
Tetapi bagi kita, rakyat Malaysia yang tidak bertanding, kita boleh cuba membayangkan masa depan tanpa BN. Bagaimanakan kehidupan dengan Pakatan?
Rakyat akan meraikan kemenangan
Akan disaksikan adalah sambutan kemenangan besar-besaran di kawasan bandar dan daerah di seluruh Negara. Orang ramai pasti keluar di jalanan dengan senyuman gembira dan bersama-sama menyambut kemenangan dengan sorakan selepas tumbangnya rejim angkuh dan sombongan itu.
Pembaharuan yang sudah lama ditunggu-tunggu akan dilaksanakan dengan seberapa segera sejurus selepas Parlimen bersidang. Apa yang boleh dilaksanakan secepat mungkin akan diumumkan dalam media. Kerajaan Pakatan yang baru akan melancarkan kempen untuk menerangkan dan mendidik semula rakyat tentang hak-hak asasi mereka.
Rakyat Malaysia akan diseru untuk bersatu dan memberi layanan yang sama rata di antara satu kaum dengan kaum yang lain. Kekok pada mulanya, akan tetapi, rakyat Malaysia akan mula menerima kenyataan dan berganding tangan untuk menyatakan bahawa kita semua adalah rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit dan keturunan.
Sedikit demi sedikit, pengenalan diri, sijil lahir dan passpot akan tidak lagi mempunyai ruang untuk pengenalan kaum. Agama juga mungkin tidak dinyatakan di masa hadapan, apabila rakyat Malaysia mula menghargai kebebasan yang baru dikecapi. Akta Perhubungan Kaum juga akan diluluskan untuk memastikan sikap perkauman boleh disabitkan sebagai kesalahan dibawah undang-undang.
Sikap perkauman sememangnya tidak akan hilang dengan begitu cepat. Namun, pada masa ini, ia tidak mungkin akan disabitkan sebagai satu kesalahan. Bila suasana sudah berubah, semakin ramai yang akan berani untuk meruntuhkan tembok penghalang dan mula menerima setiap orang dengan identitinya sendiri. Persahabatan tanpa mengira kaum akan berkembang dan menular disegenap tempat. Ini sememangnya sesuatu yang harus disuburkan dan bukanlah dikekang.
Meritokrasi dan persaingan sihat akan mula diamalkan di Malaysia, untuk hari esok yang lebih cerah. Kerajaan juga akan mencari jalan untuk membantu yang lemah. Rakyat Malaysia akan keluar dari tempurung mereka dan berani untuk melakukan kelainan. Sekarang sudah tiada orang yang akan mengahalang mereka dari melakukan itu dan ini.
Berakhirnya segala jenis penindasan
Satu Suruhanjaya Diraja akhirnya akan dibentuk untuk menyemak dan mentransformasikan Polis Diraja Malaysia agar bertaraf dunia, dan menjadi sebuah organisasi abad ke-21 yang cekap, bersih dan amanah. Berdedikasi untuk memberi khidmat kepada rakyat dan negara dengan integriti dan menghormati hak asasi manusia, dan pada pada masa yang sama mengekalkan sikap berkecuali dengan sepenuhnya.
Satu lagi Suruhanjaya Diraja akan ditubuhkan untuk memastikan bahawa Angkatan Tentera Malaysia tidak sama sekali akan terlibat dalam mainan politik dan bebas dalam menjalankan tugas mereka. Mereka juga akan diingatkan bahawa tugas mereka adalah kepada Raja dan negara dan akan mempertahankannya tanpa melayan permintaan ahli-ahli politik rakus. Ini sudah pasti bukan skop kerja Angkatan Tentera Malaysia.
Badan Kehakiman akan dirombak untuk mencerminkan kebebasannya yang mutlak. Ia juga untuk memastikan ‘check dan balance’ badan Eksekutif dan Perundangan sistem kerajaan Malaysia.
Sementara itu, perkhidmatan awam juga akan menyaksikan perubahan yang baik di mana gaji akan naik lebih berpadanan dengan pasaran semasa. Ini boleh berlaku apabila pembaziran yang tidak munasabah telah dipotong. Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan latihan semula untuk memastikan pekerja mahir adalah mencukupi bagi pasaran kerja. Kabinet juga akan melihat pengecilan dengan pelupusan Kementerian dan jawatan Menteri yang tidak penting.
Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kuno dan usang, Akta Rahsia Rasmi, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan Akta, Akta Hasutan dan Ordinan Darurat juga akan dimansuhkan.
Orang ramai akan digalakkan untuk bersuara tanpa rasa takut, manakala media arus perdana yang selama ini dikawal oleh BN akan diberi kebebasan untuk menyiarkan kebenaran yang tidak diputar-belitkan dan pada masa yang sama menjaga etika kewartawanan tanpa ada berita palsu yang mengelirukan.
Kita semua bersaudara
Status bumiputera tidak akan dihapuskan seperti yang ditakuti tetapi kerajaan akan memastikan bahawa ini akan secara beransur-ansur diperluaskan kepada orang lain.
Kerajaan juga akan menjalankan projek-projek untuk melebarkan akses internet kepada penduduk luar bandar, dalam usaha untuk mewujudkan rakyat yang celik dan berilmu.
Kebarangkalian besar, Bahasa Inggeris sekali lagi akan menjadi medium pengajaran Sains dan Matematik. Sekolah vernakular mungkin akan dimansuhkan untuk menjadi sekolah kebangsaan di mana bahasa Melayu dan Inggeris adalah medium pengajaran. Pilihan akan diberi untuk mempelajari bahasa Cina atau Tamil sebagai bahasa ketiga yang wajib. Kebanyakan pendidik percaya semangat nasionalisme bermula dari usia muda, dan dengan memisahkan kanak-kanak hanya akan membawa kepada perpecahan.
Tadbir Urus akan dilakukan dengan system Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan (CAT) dan akan dilaksanakan di peringkat Persekutuan, dan juga di semua negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan. Ini akan menyekat perbuatan rasuah. Kronisme juga akan pupus setelah amalan wajib tender dilaksanakan.
Anwar dan pasukannya juga akan melaksanakan latihan semula secara besar-besaran untuk memastikan pekerja-pekerja menjadi cukup mahir bagi pasaran kerja. Mereka juga akan mengkaji semula polisi-polisi yang sedia ada dan mengurangkan buruh asing yang tidak perlu yang menyekat kemajuan ekonomi negara dan boleh menimbulkan risiko kepada keselamatan kita. Kilang-kilang dan perladangan akan digalakkan untuk beralih kepada automasi penuh untuk menangani pergantungan yang semakin meningkat terhadap tenaga kerja asing.
Ekonomi akan kekal sebagai suatu cabaran besar buat kerajaan baru. Untuk meningkatkan taraf ekonomi, kerajaan akan mengkaji semula bajet 2011 dengan memotong perbelanjaan yang besar dan sia-sia dan memansuhkan projek-projek yang bermodal besar dan mengalihkan dana itu kepada sektor-sektor yang kritikal.
Gaji akan meningkat dan skala gaji minima akan mula berkuat kuasa. Ini akan memberi manfaat kepada sektor besar Malaysia dan sekaligus meningkatkan ekonomi negara dengan kuasa pembelian rakyat yang lebih besar. Untuk menarik pelaburan asing, kerajaan akan meningkatkan amalan perdagangan bebas yang akan memberi manfaat kepada negara dalam jangka masa panjang.
Akhirnya, pembaikpulihan akan bermula
Proses pembaikpulih negara akan bermula. Rakyat Malaysia tidak sabar-sabar untuk menanti masa depan yang lebih cerah dan lebih gemilang. Kehidupan masyarakat seperti yang kita tahu ini akan berubah ke arah kebaikan dan akan menjadi jauh lebih berbeza dari apa yang kita lalui sekarang – setelah penat ditindas oleh BN selama 50 tahun pemerintahan.
Rakyat Malaysia mesti bersedia untuk perubahan dan belajar untuk melakukan perkara-perkara yang berbeza. Untuk cemerlang, kita akan perlu untuk berusaha lebih gigih dan kerana akan ada lebih banyak peluang terbuka apabila rasuah yang memberi peluang kepada kekayaan segera sudah pupus.
Tetapi, jika BN menang, iklim politik, ekonomi dan sosial akan kekal tidak berubah. Najib dan UMNO sentiasa menjanjikan pembaharuan yang melangit. Sebaliknya, kita tahu mereka tidak pernah menunaikan janji mereka kerana mereka tidak pernah pun melakukannya sebelum ini. Tidak sampai sebulan selepas itu, Ibrahim Ali dan koncu-koncunya akan muncul dan mengugut kaum-kaum minoriti sekaligus mengakibatkan perpecahan orang Melayu untuk kesekian kali.
Kehidupan kekal sama seperti 50 tahun yang lalu. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi Perdana Menteri untuk tempoh lima tahun seterusnya. Keamanan akan diganggu oleh orang-orang pengacau Perkasa setiap kali ahli politik UMNO perlu mengalihkan perhatian negara daripada kerakusan mereka yang membabitkan wang berbilion-bilion, contohnya dua loji tenaga nuklear bantuan Perancis.
Perubahan yang bakal dibawa oleh pilihan raya umum benar-benar harus dinilai oleh rakyat Malaysia kerana undi merekalah yang akan menentukan segalanya. Jadi, undilah dengan bijak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan