Ahad, 18 September 2011

Jaips: Pelajar kolej Perlis peluk Islam secara sukarela


KUALA LUMPUR— Seorang pelajar kolej beragama Hindu, yang didakwa ‘dipaksa’ memeluk Islam Julai lalu oleh pensyarahnya telah mengambil langkah itu secara sukarela tanpa sebarang unsur paksaan daripada mana-mana pihak, kata Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips).

Ketua Penolong Pengarah Dakwah Jaips, Kesumawati Kassim memberitahu The Malaysia Insider, pihaknya tidak berhadapan dengan sebarang masalah untuk mendaftarkan pelajar itu kerana dia telah memenuhi syarat-syarat menganut Islam mengikut kemahuannya.

Pelajar itu memeluk Islam Julai lalu dan berbula ketika Ramadan lalu.

Kesumawati berkata, dia hadir di Jaips bersama tiga saksi iaitu dua pensyarah dan isteri seorang pensyarahnya bagi mendaftarkan pengislaman secara sah.

Dalam satu kenyataan Khamis lalu, Persatuan Agama Hindu (MHS) mendakwa seorang pelajar perempuan sebuah kolej di Perlis telah ditukar agama sebagai Muslim tanpa keizinan ibu bapanya dan tindakan itu bertentangan dengan peraturan.

Ibu pelajar itu juga, menurutnya, telah membuat laporan polis terhadap insiden tersebut.

Gadis itu difahamkan telah membuat laporan polis menyatakan pengislamannya bebas daripada sebarang paksaan.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa Jaips turut mengambil kesempatan terhadap golongan bukan Islam yang miskin, Kesumawati berkata, tidak timbul isu pihaknya berbuat demikian, sebaliknya golongan saudara baru terbabit sendiri hadir di pejabatnya menyatakan mahu memeluk Islam.

Sebaliknya kata beliau, pihaknya lebih kepada membantu dan membimbing mereka dalam mendapatkan kefahaman sebenar tentang Islam.

“Pihak Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia turut bekerjasama dengan Jaips bagi membantu saudara baru ini mendalami Islam dengan menyediakan kelas Fardu Ain dan kemudahan penginapan bagi menjamin keselamatan mereka,” katanya.

“Namun begitu, terpulang kepada individu terbabit sama ada mahu memanfaatkannya atau tidak. Kami hanya boleh membantu, bukan memaksa,” tegasnya lagi.

Dalam satu kenyataan Khamis lalu, Presiden MHS RS Mohan Shan berkata, siasatan pihaknya juga menunjukkan tiga pensyarah kolej di negeri itu terlibat dalam kerja menukar agama pelajar terbabit dan beberapa kakitangan Jaips sendiri tidak mematuhi peraturan dalam soal tersebut.

Jaips berkata hanya dua pensyarah menguruskan kes pelajar berkenaan dengan dibantu isteri salah seorang pensyarah terbabit.

“Pensyarah-pensyarah dan pegawai jabatan agama terbabit juga mendakwa mereka tidak menyedari kewujudan peraturan sedemikian,” kata Mohan.

Justeru, Mohan berkata, perkembangan itu menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab ahli akademik sedangkan mereka seharusnya menjaga kepentingan agama, budaya dan sosial pelajar masing-masing demi memastikan perpaduan, keamanan dan keharmonian di kalangan golongan pelajar terpelihara.

Sehubungan itu kata beliau, persatuan tersebut memandang serius kejadian itu dan akan membawa perkara berkenaan ke perhatian Menteri Pengajian Tinggi dan juga Perdana Menteri dalam waktu terdekat.

Mengulas lanjut kenyataan Jaips, Mohan yang turut dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya terkilan dengan tindakan pensyarah-pensyarah terbabit dan menjadi tanda tanya seolah-olah mereka mempengaruhi pemikiran gadis tersebut untuk memeluk Islam.

Katanya, pihaknya tidak kisah jika pelajar berkenaan memeluk Islam tetapi pendekatan yang digunakan oleh mereka menjadi persoalan.

Kata Mohan, pelajar berkenaan telah dibawa ke rumah pensyarah pada 1 dan 15 Julai lalu dalam usaha mengislamkannya.

Selain itu, tindakan mereka membawa pelajar terbabit dari institut pengajiannya dan kemudian ke Jaips turut dipersoalkan Mohan.

Ini kerana perkembangan itu tidak dimaklumkan kepada pihak pengurusan institut terbabit dan ibu bapa.

“Tindakan pensyarah-pensyarah ini seakan-akan menggalakkan pelajar lain turut dipengaruhi mereka,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan seharusnya mengambil tindakan tatatertib terhadap ketiga-tiga mereka yang terlibat, dua pensyarah dan seorang isteri kepada pensyarah terbabit.

Menurut Mohan lagi, silibus kokurikulum silat yang diambil pelajar berkenaan di institut tersebut turut mempengaruhinya memandangkan dia merupakan pelajar bukan Islam tunggal mengikutinya.

Tiada ulasan: