Jumaat, 2 September 2011

ISU MAT SABU TIDAK LALAIKAN RAKYAT DARI MENGINGATI KEZALIMAN KERAJAAN

Oleh: WFAUZDIN NS


MENJELANG kita menyambut Hari Raya Idul Fitri, suasana Hari Raya dikejutkan dengan propaganda media kawalan Umno berkenaan isu Mat Sabu menyokong Komunis. Sepantas kilat Ketua Polis Negara memberi respon sepertimana pantasnya Umno memainkan isu ini walaupun belum dibuktikan lagi apakah benar Timbalan Presiden PAS itu menyokong Komunis.

Tidak sukar untuk kita memahami mengapa KPN bertindak sepantas itu kerana imejnya dimata rakyat tidaklah begitu baik lebih-lebih lagi sebelum dan selepas Perhimpunan BERSIH 2.0 yang lalu. Amat tidak bijak jika KPN mensia-siakan peluang yang terbuka luas ini untuk mengalih perhatian rakyat dari terus menyebut kezaliman pihak Polis sewaktu perhimpunan tersebut. KDN juga tidak melepaskan peluang untuk merebut isu ini agar rakyat terlupa darihal isu JPN yang kelam-kabut di dalam soal pemberian kad pengenalan biru kepada kaum pendatang yang melayakkan mereka mengundi di dalam Pilihanraya.

Soalnya, benarkah Mat Sabu menyokong Komunis? Saya tabik kepada Mat sabu yang berani membuat laporan terhadap TV3 dan Utusan di dalam isu ini. Keberanian Mat sabu itu sama seperti beraninya YB Fuziah Salleh, MP Kuantan yang membuat tindakan yang sama apabila beliau dituduh menipu rakyat berkaitan isu Lynas. Oleh yang demikian, kita tunggu sahaja siapa yang benar dan siapa yang salah di dalam kedua-dua isu ini.

Apa pun, hikmahnya dari peristiwa ini terutamanya tentang Mat sabu, rakyat di negara ini mula mencari fakta sejarah tentang beberapa tokoh yang sebenarnya berjuang untuk menentang penjajah dan siapa pula tokoh yang pernah menjadi `barua' penjajah. Dikatakan, di Johor nama Mat Indera salah seorang tokoh yang disanjung oleh Mat Sabu itu memang cukup dikenali terutamanya di kampung halamannya sendiri kerana beliau dianggap sebagai pejuang penentang penjajah.

Siapa pula yang pernah menjadi `barua' penjajah, iaitu yang bekerja makan gaji dari penjajah sebelum merdeka samada menjadi pemandu, kerani mahupun Gabenor kepada penjajah? Adakah mereka ini lebih pahlawan dari Mat Indera? Ini semua boleh kita semak melalui sejarah. Justeru itu, memang wajar Mat Sabu membuat laporan terhadap media yang seolah-olah menggelar Mat Sabu menyokong Komunis.

Bagi rakyat, samada Mat sabu di pihak yang benar atau tidak, rakyat tidak lupa kepada perangai beberapa pihak yang sama seperti pihak penjajah dan komunis itu. Jika penjajah anti kepada Islam, ada pihak yang sehingga kini sentiasa menentang perjuangan Islam. Jika Komunis itu dikatakan zalim, sering memukul dan memenjarakan orang yang tidak bersalah, masih ada pihak yang berperangai seperti itu sekarang. Ertikata, warisan penjajah dan Komunis itu sukar untuk dihapuskan.

Hanya rakyat yang boleh menghapuskan tradisi tersebut. Rakyat harus bangkit dan memilih kerajaan baru yang tidak akan terikat lagi dengan warisan penjajah, komunis mahu pun dengan Apco. Sudah semestinya kerajaan yang kita nanti-nantikan adalah Kerajaan Pakatan Rakyat.

/wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: