PAS menegaskan isu pejuang kemerdekaan, Mohamad Indera (Mat Indera) yang menjadi isu kontroversi sejak dua minggu yang lalu tidak akan menjejaskan sokongan orang Melayu terhadap parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendakwa Barisan Nasional (BN) sengaja menimbulkan isu tersebut bagi menutup kelemahan mereka sendiri.
"Saya rasa mereka sengaja buat isu ini untuk tutup isu penipuan pilihan raya. Mereka buat isu untuk tutup isu sebenar bagi memulihkan demokrasi.
"Namun kita yakin orang Melayu hari ini bijak dan tidak mudah ditipu dengan permainan seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Negara Berkebajikan di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar, Gombak pada Sabtu (Gambar)
Isu pejuang kemerdekaan Bukit Kepong mula panas apabila Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam satu ceramah di Tasek Gelugor Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu dilaporkan berkata seorang lelaki Melayu, yang dikenali sebagai Mat Indera telah bersekongkol dengan 200 anggota komunis lain menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.
Mohamad mendakwa, Mat Indera yang telah membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi itu ialah hero sebenar yang memperjuangkan kemerdekaan negara.
Ekoran kenyataan kontroversi itu, lebih 500 laporan polis telah dibuat terhadap Timbalan Presiden PAS itu sebagai mengecam tindakannya.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan isu pejuang kemerdekaan yang cuba di bawa oleh BN itu sebagai ketinggalan zaman.
"Mereka gunakan isu yang ketinggalan zaman, kita bawa isu sekarang. Orang Melayu jangan ditipu dengan isu yang sudah 60 tahun,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Umno bukan pejuang kemerdekaan yang sebenar, Abdul Hadi berkata: “Ya.”
Sementara itu, Tuan Ibrahim sebagaimana di laporkan akhbar online Mstar pula menyifatkan Umno sebagai ‘hero Hindustan’ yang datang selepas orang lain habis berjuang ketika era kemerdekaan.
"Bila semua dah habis baru dia sampai..sebab nak ambil gambar dan isytihar dialah yang lawan penjajah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan