Ahad, 18 September 2011

Isu gereja: Laporan Jais diterima esok, kata MB Selangor

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau akan menerima laporan mengenai pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) bulan lalu, esok.

Pada 3 Ogos lepas, Jais melakukan pemeriksaan ke atas DUMC selepas mendapat maklumat terdapat orang Islam menyertai majlis yang dianjurkan gereja itu serta ada maklumat berlaku penyebaran ajaran Kristian kepada mereka yang beragama Islam di gereja berkenaan.

Bagaimanapun, pihak penganjur yang dikenali sebagai Komuniti Harapan mendakwa mereka hanya menganjurkan majlis kesyukuran di gereja itu.

Khalid (gambar) bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Kursus Haji Perdana Peringkat Selangor yang disempurnakan oleh Tengku Panglima Selangor Tengku Sulaiman Shah di Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Ekoran aduan itu, Jais telah memanggil seramai 12 individu beragama Islam yang hadir pada majlis anjuran DUMC itu untuk diambil keterangan bagi menyiasat dakwaan berlakunya kegiatan memurtadkan umat Islam pada majlis tersebut.

Khamis lalu, Pengarah Jais Marzuki Hussein berkata siasatan sudah siap dan akan diserahkan kepada Menteri Besar dalam waktu terdekat.

“Laporan kita sudah siap, tunggu dipanggil Menteri Besar apabila beliau balik dari Jerman,” katanya.

Marzuki berkata, Jais menunggu masa sesuai untuk menemui Khalid bagi menyerahkan laporan lengkap berkenaan.

Pada 7 September lalu, Khalid berkata beliau menjangkakan laporan lengkap akan diterima sekembalinya beliau dari lawatan kerja ke Jerman.

Menurut beliau, tempoh itu sudah memadai dengan permintaan Jais yang mahu laporan itu disiapkan dalam masa sebulan.

Khalid berkata, laporan tersebut akan dibentangkan pada mesyuarat Exco Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

Pada 25 Ogos lalu, Jawatankuasa Pendengaran yang dibentuk oleh Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan pertemuan dengan Jais dan wakil-wakil dari Harapan Komuniti yang menganjurkan majlis makan malam pada awal bulan lalu di gereja berkenaan.

Malah Jais berpandangan bahawa wujud kes prima facie membabitkan 12 individu Muslim yang disiasat ketika majlis makan malam itu.

Dalam pada itu, Khalid dipetik Bernama Online berkata, beliau masih belum mendapat laporan berhubung peletakan jawatan dua daripada tiga pegawai Universiti Selangor (Unisel) yang menjadi kontroversi dalam isu peletakan jawatan naib canselor Datuk Dr Rosti Saruwono baru-baru ini.

Katanya, segala penjelasan atau penerangan berhubung peletakan jawatan dua pegawai berkenaan akan diberikan esok atau lusa selepas beliau mendapat laporan daripada pemangku Naib Canselor Unisel Profesor Dr Anuar Ahmad.

“(Sehingga kini) saya belum dimaklumkan, apapun ada peraturan perjawatan dan seterusnya ...,” katanya mengulas laporan akhbar bahawa bekas Dekan Fakulti Perniagaan Prof Dr Khalifah Othman dan bekas Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Halid Hasbullah meletakkan jawatan pada 9 September lalu.

Sebelum ini, kedua-duanya telah ditukar jawatan sebagai pensyarah di Fakulti Perniagaan selepas kontroversi peletakan jawatan secara mengejut oleh Dr Rosti pada 3 Ogos lepas.

Tiada ulasan: