Rabu, 7 September 2011

Isu gereja: Laporan Jais dijangka 16 September ini

Menteri Besar berkata, ia sejajar dengan permintaan Jais yang mahu laporan itu disiapkan dalam masa sebulan.



SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau menjangkakan laporan lengkap pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) akan diterima sekembalinya daripada lawatan kerja ke Jerman pada 16 September ini.

Menurutnya, perkara itu sejajar dengan permintaan Jais yang mahu laporan itu disiapkan dalam masa sebulan.

Ujar beliau, sekembalinya daripada lawatan itu laporan itu akan dibentangkan kepada ahli Exco terlebih dahulu.

“Kami masih lagi menunggu laporan lengkap Jais itu dan saya tidak sabar untuk mengetahuinya. Sekembalinya daripada Jerman kita jangka akan menerima laporan tersebut.

“Walaupun mereka (Jais) hantar lebih awal laporan itu…tapi saya masih di Jerman. Namun sebarang perkembangan lanjut mengenai laporan itu kami tidak akan bincangkan memandangkan saya ada standard tertentu mengenai hal ini

“Kami turut membenarkan perbincangan kepada kedua-dua pihak (Jais dan pusat Harapan Komuniti). Saya berada di tengah-tengah memandangkan ada kumpulan yang berkata kerajaan negeri tidak peka dengan peranan yang dilakukan oleh Jais.

Keperluan masyarakat Islam

“Manakala kumpulan lain pula berkata kerajaan negeri tidak sensitif kepada keperluan masyarakat Islam,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di Bangunan SUK di sini hari ini.

Pada 25 Ogos lalu, Jawatankuasa Pendengaran telah mengadakan pertemuan dengan Jais dan wakil-wakil dari pertubuhan bukan kerajaan Harapan Komuniti, yang menganjurkan majlis makan malam tersebut.

Malah Jais berpandangan bahawa wujudnya kes prima facie membabitkan 12 individu Muslim yang ditahan ketika majlis makan malam pada 3 Ogos lalu.

Dalam perkembangan lain, Khalid turut mengumumkan bahawa beliau akan mengetuai delegasi ke Jerman untuk mempromosikan industri solar di Selangor dan Malaysia yang dianggarkan bernilai RM1.5 hingga RM5 bilion.

Delegasi seramai lima orang itu turut disertai Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan,Pekerja Ladang,Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar bermula 11 hingga 16 September.

“Ada beberapa bekas tapak pelupusan sampah yang tidak boleh dibangunkan semula. Maka kami percaya ada syarikat di Jerman boleh membangunkan industri tenaga solar di Selangor,” katanya.

Tiada ulasan: