KUALA LUMPUR — Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menyerahkan laporan lengkap berkenaan pemeriksaan agensi itu ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) kepada Pejabat Menteri Besar pagi tadi.
Jurucakap Unit Perhubungan Awam Jais memberitahu The Malaysian Insider, pengarahnya telah menyerahkan laporan lengkap tersebut awal pagi tadi.
Bagaimanapun, Pejabat Menteri Besar Selangor yang turut dihubungi tengah hari ini berkata, pihaknya masih lagi belum menerima laporan yang dimaksudkan.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, Arfa’eza Abdul Aziz berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap.
“Sehingga kini Pejabat Menteri Besar masih lagi menunggu laporan itu sampai kepada kami,” katanya.
Semalam, Khalid berkata beliau akan menerima laporan itu hari ini.
Laporan berkenaan kes serbuan Jais ke atas DUMC itu diserahkan sekarang setelah agensi itu meminta tempoh sebulan untuk menyiapkannya.
Khamis lalu, Pengarah Jais Marzuki Hussein berkata pihaknya sudah menyiapkan laporan itu dan akan menyerahkannya kepada Pejabat Menteri Besar dalam tempoh terdekat.
Pada 25 Ogos lalu, Jawatankuasa Pendengaran yang dibentuk oleh Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan pertemuan dengan Jais dan wakil-wakil dari Harapan Komuniti yang menganjurkan majlis makan malam pada awal bulan lalu di gereja berkenaan.
Serbuat tersebut dijalankan berikutan Jais mendapat maklumat terdapat usaha pihak tertentu dalam cubaan memurtadkan orang Islam pada majlis tersebut.- Malaysian Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan