Oleh Aspan Alias
ISA akhirnya di mansuhkan setelah begitu lama diperjuangkan oleh rakyat dan Najib mengambil tindakan unuk menuruti kehendak sebahagian rakyat supaya Akta itu dimansuhkan. Akta ini telah menjadi isu yang begitu lama diperjuangkan oleh sebahagian rakyat melalui berbagai-bagai NGO dan parti-parti pembangkang dan isu ini merupakan isu yang sangat kuat dipertahankan oleh kerajaan BN yang memerintah sejak merdeka.
Oleh kerana keadaan lemah yang sedang menimpa kerajaan BN maka Najib mengambil langkah untuk menurunkan sedikit keresahan sebahagian rakyat terhadap kepimpinan BN dan kepimpinan beliau sendiri dengan mengambil langkah menyerah dan memansuhkan Akta ini.Akhirnya Najib terpaksa mengambil langkah untuk melaksanakan apa yang PR janjikan di dalam Buku Jingga jika PR mengambil alih kerajaan selepas PRU13 nanti, iaitu menghapuskan undang-undang draconian seperti ISA.
Oleh itu syabas di ucapkan kepada parti-parti pembangkang serta NGO yang selama ini memperjuangkan supaya Akta ini dimansuhkan…..dan dalam keadaan BN lemahlah rupanya baru usaha berbagai pihak untuk memansuhkan akta ini berjaya. Elok kita ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Najib kerana membebaskan rakyat dari keresahan kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri yang di tinggalkan oleh penjajah British dahulu (jika kita masih mengakui yg kita pernah dijajah).
Keputusan Najib ini tidak lain dari usaha untuk memberikan kembali tenaga kepada kerajaan yang memerintah untuk mendapatkan kembali sokongan yang telah banyak hilang dari rakyat. Pilihanraya umum pula yang kian hampir tiba ini sedang mendebarkan BN dengan hebatnya. Keputusan memansuhkan ini tentunya merupakan kejayaan perjuangan parti-parti pembangkang untuk memaksa kerajaan pimpinan Najib mengambil keputusan untuk tunduk kepada desakan ini.
Sekarang tentulah rakyat sedang memerhatikan isu-isu yang belum di selesaikan oleh pihak pemerintah yang menjadi teras kepada pejuangan sejagat rakyat Malaysia yang sudah membuka mata dan minda mereka. Isunya banyak.
Isu yang paling besar yang harus di selesaikan oleh pimpinan pada hari ini ialah isu persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan pada hari ini, iaitu isu rasuah. Banyak kepimpinan negara-negara lain di dunia ini telah jatuh kerana isu rasuah yang tidak terkawal. Rasuah yang kini menjadi ketagihan kepada pimpinan BN pada masa ini amat sukar untuk di selesaikan kerana persepsi rakyat terhadap isu ini bukannya kecil, malah ianya adalah isu yang lebih besar dari isu ISA ini.
Isu rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin yang hangat diperkatakan oleh rakyat sejak beberapa lama dahulu masih lagi belum dapat diselesaikan oleh kerajaan Malahan masih lagi berlaku tindakan-tindakan yang membawa syak wasangka rakyat. Kita tidak boleh salahkan rakyat kerana mempunyai prasangka terhadap kejujuran pemimpin kerana pengalaman yang lama dan banyak berlakunya penyelewengan di kalangan pimpinan sejak beberapa lama dahulu. Sekarang ini rasuah dan UMNO itu sudah menjadi sinonim.
Kenaikan harga barang yang tidak terkawal juga menjadi isu besar terhadap kerajaan. Apa yang hendak dilihat oleh rakyat ialah usaha yang organik dalam penyelesaian terhadap isu ini. Kedudukan monopolistik syarikat beras negara misalnya membuatkan harga beras begitu tinggi dan rakyat belum lagi nampak usaha-usaha pihak pemerintah untuk menjadikan beras sebagai item keperluan yang keluar dari keistimewaan monopoly yang telah dimunafaatkan oleh syarikat beras ini untuk membuat keuntungan yang begitu besar di atas keperitan pengguna yang dalam kesusahan.
Kerajaan amat takut untuk membiarkan syarikat beras dan gula dalam negara ini untuk beroperasi dengan persaingan yang sihat dengan menambah bilangan syarikat pengimport atau pengeluar beras dan gula dalam negara ini. Kerajaan masih lagi tidak sensitif terhadap kesusahan rakyat yang dipaksa membayar tol yang begitu mahal kepada syarikat-syarikat konsessi lebuhraya walaupun jumlah trafik yang melalui lebuhraya hari ini berlipat kali ganda dari masa konsessi itu ditanda tangani.
Malahan masih terlalu banyak lagi isu yang melibatkan kesusahan orang ramai yang belum pun nampak usaha yang jelas untuk mencapai penyelesaiannya. Isu-isu yang besar ini tidak mampu ditutupi dengan pemansuhan ISA oleh kerajaan semalam. Pemansuhan ISA itu tidak akan memperbaiki keadaan hidup rakyat serta politik mereka. ISA ini hanya melibatkan kumpulan yang amat kecil rakyat jika ianya dimansukan sekali pun.
Isu tuntutan Bersih 2.0 masih lagi menghantui rakyat ramai. Isu ketelusan SPR masih lagi tidak ada nampakan bayangan perubahan dan rakyat sedang menunggu hasil dari 8 tuntutan Bersih baru-baru ini. Kerajaan patut mengambil berat tentang isu ini kerana ianya melibatkan jutaan rakyat yang layak mengundi.
BN terpaksa menyelesaikan isu-isu seperti ini dengan segera. BN wajar menerima hakikat ini kerana rakyat kini sudah mempunyai pilihan. Dahulunya rakyat merasakan tidak ada pilihan kerana rakyat dimomokan yang tidak ada parti lain yang mampu memerintah.
Tetapi kini rakyat telah nampak yang parti-parti lain pun berkemampuan untuk mentadbir kerajaan malah lebih bersih dari yang kita lihat dalam pentadbiran kerajaan BN. Hanya aktivis parti-parti dalam BN sahaja yang menafikannya dan ini kita sedia faham kerana politik kepartian yang kian menebal sekarang ini.
DAP, PAS dan PKR masing-masing ada pengalaman mentadbir negeri-negeri yang telah jatuh ketangan mereka. Kemampuan itulah yang menyebabkan rakyat ramai merasakan yang mereka ada pilihan untuk memberikan mandat dan tidak semestinya mandat itu hanya diberikan kepada BN seperti pengalaman dulu-dulunya.
Kalau dahulunya UMNO meletakan kekuatannya dengan menggunakan isu rasis dengan menakut-nakutkan rakyat dengan isu 13 Mei misalnya, tetapi isu rasis sudah menjadi isu yang dibenci rakyat ramai kecuali disokong oleh mereka yang berpolitiking dan yang ingin mengambil posisi dengan parti masing-masing lebih-lebih lagi dalam kita menunggu ketibaan PRU yang akan datang ini. Malahan parti-parti yang mempunyai ahli mengikut bangsa masing-masing sudah mula ditinggalkan rakyat.
Rakyat mempunyai selera terhadap parti-parti yang berbentuk multiracial yang didukong oleh rakyat berbilang kaum. Oleh kerana sikap rasis pemimpin dan ahli-ahli dalam UMNO, MCA dan MIC maka BN sekarang sudah hilang umph nya dari sudut pandangan rakyat. Rakyat mulai terasa yang selagi kita memainkan isu rasis selagi itulah mereka (rakyat) tidak merasakan hidup dalam keadaan aman dan makmur di negara ini.
Itulah sebabnya parti-parti dalam komponen Pakatan Rakyat merupakan alternatif yang ‘natural’ oleh rakyat yang mahukan hidup berbaik sangka di antara satu kaum dengan kaum yang lain.
Rakyat masih menunggu apa tindakan kerajaan terhadap 18 kes rasuah yang berprofil tinggi yang di sebut oleh Rais Yatim semasa beliau mengetuai jabatan undang-undang negara di Jabatan Perdana Menteri dahulu Sehingga sekarang kes itu belum lagi keluar. Adakah rakyat terpaksa menunggu 50 tahun sebelum kes itu ditimbulkan seperti perjuangan untuk memansuhkan ISA ini? Rakyat mahukan kes ini di bawa ketengah kerana ianya melibatkan wang titik peluh rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan tadbiran BN ini.
Buat setakat ini kita patut mengucapkan terima kasih di atas pemansuhan ISA itu. Setidak-tidaknya sudah ada satu perjuangan rakyat yang sudah berjaya dari ratusan isu-isu yang berbangkit terhadap kerajaan yang ada pada hari ini.
Kita tunggu ratusan isu yang nasih belum di selesaikan sebelum pilihanraya ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan