Selasa, 13 September 2011

Hishammuddin: Laporan siasatan Bersih 2.0 sudah siap


PUTRAJAYA — Menteri Dalam Negeri Datuk Sri Hishammuddin Hussein berkata laporan siasatan berhubung perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu sudah lengkap untuk dikemukakan kepada Kabinet.

Enam jawatankuasa telah ditubuhkan dua bulan lalu untuk menyiasat dakwaan bahawa pihak polis telah bertindak kasar dalam menangani perhimpunan itu, yang turut menyaksikan satu kematian.

“Laporan itu sudah lengkap dan akan dibentangkan di Kabinet. Saya menyerahkan kepada Tan Sri Ismail (Omar), yang merupakan Ketua Polis Negara, untuk mendedahkan butiran laporan siasatan agar orang ramai akan mengetahui perkara yang benar,” kata Hishammuddin kepada pemberita hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan bekas-bekas ketua polis di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

“Kami tidak memihak mana-mana pihak. Apa yang betul adalah betul, apa yang salah adalah salah,” katanya lagi.

Hishammuddin (gambar) berkata laporan itu juga akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan susulan.

Katanya, beliau berpendirian bahawa laporan itu wajar didedahkan kepada publik agar mereka boleh membuat pendirian mereka.

Hishammuddin juga berkata tindakan akan diambil ke atas mereka yang membuat tuduhan tidak berasas dan membuat laporan-laporan palsu.

“Tindakan yang wajar akan diambil,” katanya lagi.

Tiada ulasan: