Khamis, 15 September 2011

Gereja Methodist: Jais bawa kes ke Mahkamah Syariah 19 Okt

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM — Kes berkaitan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama akan disebut di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 19 Oktober ini.

Pengarah Jais Marzuki Hussin berkata, kertas siasatan berhubung kes itu telah selesai dan akan diserahkan kepada Menteri Besar Selangor sebaik beliau pulang dari lawatan kerja di Jerman.

“Semua dah selesai (siasatan) kita akan serahkan kepada Menteri Besar untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini Khamis.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai sebutan kes itu termasuk pihak terbabit serta jumlah orang yang berkemungkinan akan didakwa.

“Semua itu terpulang kepada pendakwa raya . . . tunggu sahajalah,” katanya.

Pada 3 Ogos lepas, Jais melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat terdapat orang Islam menyertai majlis yang dianjurkan gereja itu serta ada maklumat berlaku penyebaran ajaran Kristian kepada mereka yang beragama Islam di gereja berkenaan.

Bagaimanapun, pihak penganjur yang dikenali sebagai Komuniti Harapan mendakwa mereka hanya menganjurkan majlis kesyukuran atau “thanksgiving” di gereja itu.

Sehubungan itu Jais telah memanggil seramai 12 individu beragama Islam yang hadir pada majlis anjuran Gereja Methodist Damansara Utama itu untuk diambil keterangan bagi menyiasat dakwaan berlakunya kegiatan memurtadkan umat Islam pada majlis tersebut.

Tiada ulasan: