Jumaat, 9 September 2011

DAP sokong PAS kaji semula sejarah

Kaji semula sejarah perlu dilakukan agar mereka yang benar-benar menyumbang ke arah kemerdekaan dapat dikenali, dihormati dan diberi pengiktirafan sewajarnya.



PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP-Seputeh, Teresa Kok menyokong cadangan PAS supaya Kerajaan menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji semula sejarah pejuangan kemerdekaan negara ini.

Dalam satu kenyataan media semalam, beliau berkata kaji semula sejarah perlu dilakukan agar mereka yang telah benar-benar menyumbang kepada usaha tersebut dapat dikenali, dihormati dan diberi pengiktirafan yang sewajarnya.

“Semua pelajar sejarah tahu pemimpin Umno bukannya satu-satunya pihak yang telah memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, sebagaimana disebarkan oleh pemimpin Umno selama ini,” katanya.

Pada hakikatnya kata beliau, mereka yang telah berjuang mencapai kemerdekaan pada ketika itu termasuklah gerakan persatuan perniagaan, persatuan pekerja, pihak media daripada pelbagai bahasa, golongan intelektual, kumpulan kebudayaan, golongan Islam dan pihak berhaluan kiri.

“Namun begitu, media arus perdana tidak memberitahu orang ramai tentang sejarah yang sebenarnya selama ini. Sesetengah aspek sejarah yang tidak dikehendaki dipadamkan manakala sesetengah tokoh yang terpilih diagung-agungkan,” katanya.

Kok yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara menegaskan”sepastinya, sejarah sesebuah negara bukanlah sesuatu yang kemas dan rapi tetapi kompleks dan berkepelbagaian, apatah lagi bagi tanah air kita yang terdiri daripada berbilang etnik kaum.

“Oleh itu, saya menyaran Kerajaan agar menerima cadangan PAS untuk mengkaji semula sejarah secara objektif, jujur dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak secara bersama.

“Umno harus hentikan tuduhan “buta sejarah” terhadap pihak lain semata-mata kerana ingin mengagung-agungkan sumbangan Umno. Kalau tidak, pada akhirnya, Umno terbukti tidak berani mengakui hakikat sejarah,” ujar beliau.

Tiada ulasan: