Sabtu, 10 September 2011

BN anjur siri penerangan pra-PRU

MALAYSIA KINI


Biro Publisiti dan Penerangan BN akan mengadakan sebanyak 14 siri Majlis Penerangan Perdana (MPP) bagi menerangkan isu-isu semasa kepada semua anggota jawatankuasa Umno bahagian dan cawangan di seluruh negara.

Pengerusinya Datuk Ahmad Maslan berkata modul yang sama akan digunakan pada setiap siri di setiap negeri.

Kedah menjadi negeri pertama MPP diadakan yang berlangsung di Dewan Wawasan Jitra hari ini.

"MPP ini adalah sebahagian persediaan BN untuk menyiapkan ahli-ahlinya dengan maklumat terkini menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

"Semua orang tahu PRU-13 semakin hampir dan MPP ini akan berakhir di Sabah dan Sarawak pada 3 Oktober ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup MPP peringkat Kedah oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

MPP peringkat kebangsaan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 10 Julai lepas.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata program Juara Rakyat anjuran Umno akan diteruskan sehingga PRU-13 diadakan. Bernama

Tiada ulasan: