Selasa, 27 September 2011

Bekas pegawai imigresen antara tujuh ditahan kes curi kereta

THE MALAYSIAN INSIDER

SERI KEMBANGAN– Seorang bekas pegawai Imigresen antara tujuh lelaki yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes curi kereta di sebuah rumah flat di Taman Bestari Perdana, Serdang dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata Selasa, tujuh lelaki warga tempatan berumur 24 hingga 35 tahun itu ditahan pada pagi Ahad lepas bersama-sama empat buah kereta, keseluruhannya bernilai RM125,000 yang dilaporkan hilang di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor sejak tiga bulan lalu.

“Hasil maklumat orang ramai, polis menyerbu rumah itu dan menemui kembali empat buah kereta iaitu empat buah Honda Civic termasuk satu Honda Civic EG yang diletakkan di kawasan rumah itu.

“Nombor pendaftaran kenderaan terbabit juga palsu. Polis menemui pelbagai alat ganti kereta yang telah dileraikan untuk tujuan dijual di dalam rumah sewa itu,” katanya dipetik Bernama Online.

Beliau berkata polis turut menemui pelbagai peralatan pecah kereta di dalam rumah yang dihuni tujuh sekawan yang berasal dari Kedah itu.

“Ujian saringan air kencing mendapati kesemua lelaki itu positif dadah jenis syabu dan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Thaiveegan berkata polis juga sedang melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sekiranya kesemua lelaki berkenaan terlibat dalam jenayah lain.

Kesemua mereka yang dipercayai aktif mencuri kereta sejak setahun lepas, direman lima hari bermula tarikh tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan kerana mencuri, katanya.

Tiada ulasan: