Khamis, 22 September 2011

AMK gesa Raja Nong Chik hormati hasrat penduduk Kg.Baru

Shamsul Iskandar


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendukung sepenuhnya desakan pihak Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) supaya pihak Kerajaan menarik balik pembentangan Rang Undang-Undang Pembangunan Kampung Baru (RUUPKB) yang dijadualkan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada bulan depan.

Kerajaan seharusnya mengambil kira sentimen dan hasrat majoriti penduduk serta pewaris tanah di Kampung Baru yang secara jelas dan terbuka membantah cadangan Kerajaan untuk menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru menerusi cadangan RUUPKB tersebut.

AMK kesal dengan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar, Senator Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang masih berdegil dan tetap mahu meneruskan bacaan kali kedua RUUPKB walaupun telah dibantah oleh majoriti pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru. Tindakan Menteri yang membelakangkan hasrat dan suara penduduk Kampung Baru berhubung perkara ini jelas menzahirkan keangkuhan dan kerakusan Kerajaan dalam usaha mereka untuk menggadaikan satu-satunya tanah warisan orang Melayu yang bernilai tinggi di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Justeru, AMK dengan ini menggesa pihak Kerajaan khususnya Senator Raja Nong Chik supaya menghormati hasrat dan tuntutan penduduk Kampung Baru sepenuhnya serta menghentikan sebarang usaha yang menjurus kepada tindakan yang akhirnya dikhuatiri akan merugikan kepentingan orang Melayu khususnya penduduk dan pewaris tanah di Kampung Baru.

*Kenyataan media oleh Shamsul Iskandar Md.Akin (gambar kanan) selaku Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat.

Tiada ulasan: