Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jumlah itu berdasarkan maklumat awal yang diterimanya, namun setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat.
KUALA LUMPUR: Kira-kira 150 pengikut ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit dikenal pasti kini bergiat aktif disekitar Selangor dan cuba mengembangkannya semula kepada orang Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jumlah itu berdasarkan maklumat awal yang diterimanya, namun setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat.
“Pengikut ajaran tersebut terdiri daripada individu yang tidak memiliki asas pendidikan agama yang kukuh, kita masih mengumpul bukti
kukuh sebelum langkah membanteras kegiatan itu diambil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau bimbang ajaran tersebut mungkin tersebar meluas dan lebih ramai akidah umat Islam terpesong sekiranya kegiatan itu tidak dibanteras secara menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kini sedang membuat pemantauan serius terhadap kegiatan kumpulan tersebut serta pemimpinnya.
Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit disahkan menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar oleh Jawatankuasa Perunding Hukum Fatwa Negeri Selangor pada tahun 1998.
Artikel hina Islam
Namun baru-baru ini ajaran sesat itu dipercayai telah dikembangkan semula oleh anggota keluarga salah seorang pengikut kanan Hassan yang
meninggal dunia beberapa tahun lalu dan dikatakan markasnya terletak di Kampung Melayu, Batu Arang, Rawang.
Sementara itu, beliau memberi jaminan pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat mengenai kewujudan beberapa blog yang menyiarkan artikel menghina Islam.
Katanya, pihaknya memandang serius isu terbabit memandangkan ia mampu menimbulkan kebencian dan mengganggu sensitiviti terhadap kebebasan beragama di negara ini.
Beliau berkata siasatan menjejaki identiti sebenar pemilik blog berkenaan masih dijalankan memandangkan blog itu menggunakan nama dan maklumat diri samaran.
“Satu mesyuarat khas antara SKMM, Jakim dan KDN yang dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU) KDN dibuat bagi memantau kewujudan blog terbabit,” katanya.
Semalam, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Jingga 13 menghantar surat mohon menghadap kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Mizan Zainal Abidin supaya campur tangan dan mengambil tindakan terhadap blog makcikhajjahsittalwuzara.wordpress yang menghina Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan