Selasa, 9 Disember 2008

Sarawak haram umat Islam sertai senaman yoga

MSTAR ONLINE


KUCHING: Sarawak memutuskan untuk mengharamkan senaman yoga bagi umat Islam di negeri ini selaras dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada bulan lepas.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, keputusan untuk melaksanakan fatwa tersebut dibuat selepas mesyuarat majlis fatwa negeri pada minggu lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pengagihan daging sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Taman Heng Guan di sini hari ini, Daud berkata, proses pewartaan fatwa itu kini sedang dibuat oleh Pejabat Peguam Besar negeri.

Mengenai bila tarikh kuat kuasa fatwa tersebut di Sarawak, Daud berkata, pada kebiasaannya tarikh kuat kuasa fatwa tersebut diselaraskan dengan tarikh fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan diumumkan kepada orang awam.

Daud berkata, tiada tindakan undang-undang diambil sekiranya masih ada umat Islam di negeri ini yang ingin terus mengamalkan senaman yoga.

"Bagaimanapun kalau boleh dinasihatkan umat Islam mencari kaedah lain untuk menyihatkan badan kerana banyak lagi cara untuk bersenam," katanya.

Selain Sarawak antara negeri yang telah bersetuju untuk melaksanakan fatwa tersebut ialah Melaka manakala negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Perak dan Selangor dilaporkan sedang meneliti fatwa tersebut.

Majlis Fatwa Kebangsaan mendapati senaman yoga mengandungi unsur-unsur agama tertentu, mantera dan pemujaan yang bertentangan dengan Islam. BERNAMA

Tiada ulasan: