Khamis, 4 Disember 2008

PNB janji 8 peratus

Oleh Irwan Shafrizan Ismail


KUANTAN: Permodalan Nasional Bhd (PNB) yakin dapat mengagihkan pulangan dividen antara tujuh hingga lapan peratus kepada pelabur skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) tahun ini, walaupun pasaran saham tempatan mengalami kemerosotan.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata pihaknya dijangka mengumumkan kadar pulangan pelaburan yang kompetitif kepada pelabur ASB dan ASN sebelum akhir bulan ini.

"Kita tidak menafikan bahawa keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sejak kebelakangan ini menjejaskan kadar keuntungan PNB, tetapi kita yakin masih mampu memberi pulangan yang kompetitif kepada pelabur.

"Kita juga yakin dapat terus mengumumkan kadar pulangan yang baik kepada pelabur dalam unit amanah kami, termasuk ASB dan ASN berdasarkan kepada rekod pencapaian ketika berdepan dengan krisis kewangan pada 1998.

"Pulangan tujuh atau lapan peratus adalah kompetitif dalam keadaan ekonomi ketika ini, tambahan pula pelabur boleh mengeluarkan dividen pada bila-bila masa. Ini adalah gambaran bahawa memang mudah melabur dengan PNB.

"Dari segi rekod pula, PNB adalah syarikat yang tidak pernah gagal memberi dividen, malah dalam persekitaran kadar faedah yang rendah ketika ini, kemampuan PNB membayar dividen antara tujuh hingga lapan peratus adalah cukup baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan zakat perniagaan PNB bagi 2006 dan 2007 berjumlah RM2.35 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Maip) di Kuantan, semalam. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima zakat itu bagi pihak Maip.

Bagaimanapun, Hamad Kama Piah tidak menafikan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini menjejaskan pasaran saham seluruh dunia termasuk Bursa Malaysia, sekali gus memberi kesan terhadap keuntungan PNB.

Tahun lalu, PNB mengumumkan pulangan pelaburan sebanyak lapan sen seunit kepada pelabur skim ASB dan 6.25 seunit untuk ASN. Pada 2006, PNB mengumumkan pulangan masing-masing sebanyak 7.3 sen dan 5.5 sen kepada pelabur ASB serta ASN.

Mengulas jumlah keseluruhan pelaburan unit amanahnya ketika ini, Hamad Kama Piah berkata setakat ini, PNB menguruskan dana berjumlah RM80 bilion yang membabitkan sembilan juta pelabur di seluruh negara.

Katanya, walaupun ekonomi global tidak menentu, penyertaan pelabur dalam unit amanah yang diuruskan oleh syarikat di bawah kumpulan PNB amat menggalakkan.

Minggu lalu, ketika Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) ditawarkan untuk langganan, semua satu bilion unit termasuk 51 peratus daripadanya yang diperuntukkan kepada Bumiputera, habis dibeli dalam masa enam jam 10 minit.

"Isnin lalu, PNB menawarkan satu bilion lagi unit baru Amanah Saham Malaysia (ASM) dengan 900 juta sudah dilanggan, manakala bakinya dijangka habis hari ini (semalam)," katanya sambil menyarankan lebih ramai Bumiputera memanfaatkan pelaburan dalam unit amanah yang diurus PNB.

Beliau berkata, setiap kali PNB melancarkan unit amanah, ia habis dilanggan dalam tempoh singkat, khususnya oleh pelabur bukan Bumiputera yang berlumba-lumba mendapatkannya kerana mereka amat menghargainya.

Tiada ulasan: