Sabtu, 6 Disember 2008

Khalid dilucut jawatan bukan kerana pro-Anwa

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


SHAH ALAM: PAS menolak tanggapan bahawa tindakan menggugurkan Khalid Samad daripada jawatan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor hujungan bulan lalu adalah disebabkan beliau dilihat pro-Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, jawatan tersebut yang kini diisi oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat dibuat untuk memantapkan organisasi parti.

Khalid juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam.

"Tiada istilah pro-PKR atau pro-Umno dalam PAS. Semuanya pro-PAS," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

Samad yang digugurkan daripada jawatan tersebut oleh Hassan.

Selain Khalid, turut digugurkan ialah Ketua Penerangan PAS Selangor, Shaari Sungib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang.

Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir mengambil alih jawatan Ketua Penerangan PAS Negeri.

Isu berkaitan dua pemimpin terbabit hangat diperkatakan berikutan perbezaan pendapat dan hala tuju kedua-duanya dalam menerajui Pas Selangor.

Khalid dilihat lebih memfokuskan kepentingan memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan bukan hanya melihat sokongan dalam konteks parti semata-mata dan pendekatan itu berbeza dengan Hassan.

Ditanya sama ada Khalid tidak serasi dengan beliau, Hassan berkata: "Saya nampak dalam Kabinet biarlah secantik-cantiknya. Gerak dalam gelombang yang sama.

"Saudara Khalid tidak selama-lamanya tidak senada dengan kita," katanya.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, kedua-dua mereka dapat menerima keputusan itu dan beliau juga telah menghantar surat mengucapkan terima kasih atas sumbangan mereka semasa memegang jawatan tersebut.

Hassan berkata, usaha serius sedang diambil untuk memantapkan organisasi itu agar ia semakin kukuh dan mampu melonjak lebih baik.

"Kita harap PAS Selangor akan mampu melonjak lebih baik dari segi prestasi sehingga memungkinkan PAS berupaya menambah keahlian, cawangan dan lebih penting lagi memperolehi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata, rombakan ini akan memberi ruang kepada setiap pimpinan khasnya wakil-wakil rakyat di Selangor agar dapat memberi tumpuan dan komitmen sepenuhnya kepada tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Berhubung kedudukan PAS yang dikatakan terpinggir dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Hassan berkata, perkara itu tidak berlaku kerana setiap kali mesyuarat Exco negeri, ahli Exco PAS menyuarakan pandangan mereka.

"Saya tak rasa kecil dalam kerajaan. Nak gambarkan tugas tiga ahli Exco PAS dalam Pakatan ialah portfolio yang mengangkat martabat negeri.

"Ini kalau betul-betul diterjemahkan dalam bentuk projek, saya tak rasa kecil dalam Pakatan," katanya.

Bagaimanapun, Hassan berkata, memang kadangkala wujud perbezaan pandangan namun ia mampu diselesaikan dengan cara matang.

Tiada ulasan: