Selasa, 9 Disember 2008

AMK mahu ‘anasir BN’ dihapuskan segera

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan segera membersihkan ‘anasir Barisan Nasional (BN)’ dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menyelesaikan masalah birokrasi dan kelancaran pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) di negeri itu.

Ketuanya, Khairul Annuar Ahmad Zainuddin berkata, tindakan tersebut disegerakan seiring dengan usaha kerajaan negeri melaksanakan mekanisme pentadbiran baik dan telus serta berupaya memecah dominasi kelompok tertentu.

“Kalau ‘anasir’ itu merujuk kepada individu, saya mahu ia disegerakan dan AMK akan terus mendesak kerajaan negeri untuk memperkenalkan satu polisi baru pengagihan kontrak agar ianya lebih telus agar ianya tidak dimonopoli segelintir pihak sahaja.

“Walaupun pengagihan tender telah diperkenalkan, kita bimbang ianya tidak mencapai matlamat sekiranya sistem tersebut masih dikawal pihak tertentu dan kerajaan negeri perlu mencari jalan bagaimana untuk memecahkan monopoli tersebut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan AMK Pusat supaya kerajaan PR tanpa banyak alasan segera ‘membersihkan kerajaan negeri daripada ‘anasir BN’ dengan segera dan tanpa berdolak-dalik.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin dilaporkan berkata, PKR tidak boleh terpedaya dengan pemimpin dan ahli BN yang bertukar kulit semata-mata untuk membolot peluang, tanpa menghayati prinsip, komitmen dan falsafah perjuangan dan yang didukung.

“AMK Selangor menyokong gesaan tersebut dan mahu ia dilaksanakan segera. Mungkin kita (PR) dituduh mahu mengejar ‘projek’ tetapi gesaan ini dibuat berdasarkan mahu wujudnya sistem baru agar kakitangan kerajaan negeri tidak terbiasa dengan budaya kerja lama.

“Kita tidak mahu peluang dan ruang untuk rakyat Selangor lain tanpa mengira bangsa menikmati kemewahan kemajuan Selangor disekat oleh faktor kronisme, kita mahu semua pihak turut mempunyai fungsi sebagai sebahagian daripada jentera kerajaan,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamd Khir Toyo berkata, cadangan AMK itu membuktikan kerajaan PR boleh bertindak lebih ‘ganas’ berbanding BN hingga sanggup menafikan hak rakyat untuk memiliki pekerjaan.

“Kerajaan BN dulu beri peluang kepada semua orang tetapi pendekatan cadangan mereka (AMK) tidak wajar, mereka kena ikut peraturan dan PR tidak boleh menafikan hak rakyat yang tidak memilih parti mereka untuk memiliki kehidupan, semua rakyat berhak untuk mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya.

Tiada ulasan: