Ahad, 14 September 2008

Mustapa kecewa projek jalan RM20 juta yang diluluskan tidak bergerak
BERNAMA


JELI: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed meluahkan rasa tidak puashatinya berikutan projek pembinaan jalan dari Kampung Sungai Rual ke bandar Jeli tidak berjalan sedangkan peruntukan sudah diluluskan.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Jeli berkata, projek pembinaan jalan sepanjang enam kilometer yang menelan belanja RM20 juta itu masih tidak menampakkan sebarang aktiviti yang menunjukkan ia berjalan.

"Kita amat kecewa dengan perkembangan ini sedangkan projek itu telah diluluskan sejak tiga tahun lepas. Kenapa perkara ini dibiar berlanjutan di kawasan pedalaman...di kawasan orang asli di sini," katanya kepada pemberita selepas majlis dialog dengan penduduk orang asli kaum Jahai di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterima, pihak terbabit telah melantik kontraktor untuk membuat pembinaan jalan itu, yang apabila siap akan menjadikan tempoh perjalanan dari kampung orang asli itu ke bandar Jeli hanya 10 minit berbanding jalan lama yang mengambil masa 45 minit.

Sehubungan itu, Mustapa berkata beliau akan membawa perkara itu kepada pihak berkenaan termasuk Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Kerajaan sememangnya mengambil berat tentang masalah rakyat namun dengan sikap kontraktor yang tidak menggerakkan projek pembinaan ini akan menjejaskan niat murni kerajaan, mereka hanya pentingkan diri mereka," katanya.

Projek pembinaan jambatan baru bernilai RM150,000 mengantikan jambatan gantung di kampung itu, yang runtuh akibat banjir tahun lepas, juga belum disiapkan, katanya.

Tiada ulasan: