Khamis, 4 September 2008

Kes liwat: Dr Osman muncul hari ini
malaysiakini


Dr Mohd Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi yang memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan, muncul hari ini untuk mempertahankan hasil pemeriksaannya yang tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan Mohd Saiful telah diliwat.

Dr Osman telah mengambil cuti lebih sebulan lalu selepas kebocoran laporan perubatannya ke atas Saiful itu, pada 28 Julai lalu.

Doktor tersebut, yang ditemani peguamnya - M Puravelan dan Yusri Kamaruddin - mengadakan sidang akhbar di Majlis Peguam pada jam 12 tengahari ini.

Beliau mengesahkan bahawa akuan berkanunnya, yang disiarkan oleh Malaysia Today memang ditandatanganinya

"Saya tidak terbabit dalam politik, saya sentiasa bercakap benar," kata Dr Osman yang kelihatan agak gementar.

Dalam akuan bersumpahnya, Dr Osman mempertahankan laporan perubatannya itu di mana beliau tidak menemui sebarang kesan liwat selepas memeriksa dubur Saiful.

Saiful telah mendakwa dia telah diliwat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lalu.

Anwar kemudiannya didakwa di mahkamah atas tuduhan tersebut beberapa minggu kemudiannya.

Dr Osman berkata, beliau mengadakan sidang akhbar hari ini untuk membersihkan namanya.

Beliau yang membaca kenyataannya berkata, beliau mengambil cuti kerana beliau merasa tertekan ekoran siasatan polis terhadap pemeriksaan perubatannya ke atas Saiful.

Dr Osman juga berkata, beliau tidak tahu bagaimana laporan perubatannya ke atas Saiful diketahui umum.

Ditanya sama ada beliau masih lagi berkhidmat dengan Pusrawi, Dr Osman berkata, beliau akan kembali bertugas secepat mungkin.

Dr Osman juga menafikan dakwaan bahawa beliau bimbang terhadap keselamatan dirinya.

Tiada ulasan: