Khamis, 30 Jun 2016

Tuduhan 'kafir harbi' pandangan ketinggalan zaman

MUHAMMAD NUR MANUTY
 
 
Kenyataan Mufti Pahang di media arus perdana yang mengundang polimik antara parti politik.Kenyataan Mufti Pahang di media arus perdana yang mengundang polimik antara parti politik.Sesungguhnya, Biro Pemahaman & Pemantapan Agama (BiPPA) Keadilan ingin menyatakan rasa dukacita kami berikutan laporan kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abd Rahman Osman di sebuah akhbar perdana yang menyatakan bahawa, penentangan DAP terhadap pelaksanaan hukum hudud dan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016 jelas membenci Islam, tergolong sebagai ‘kafir harbi” dan berdosa besar bagi umat Islam bekerjasama dengan mereka.

Kami berpandangan kenyataan ini telah dikeluarkan secara ‘simplistic’, tanpa hujah yang jelas dan tiada fakta yang kukuh untuk membuktikan ketepatan tuduhan dan hukuman yang dikemukakan. Justeru, kenyataan tersebut wajib disanggah, kerana ia amat mengelirukan masyarakat – Islam dan bukan Islam – di negara ini.

Sesungguhnya, kenyataan tersebut boleh mengundang pelbagai implikasi negatif kepada keselamatan negara, menggugat perpaduan umat Islam, memecahbelah keharmonian hubungan kaum, mengundang tingkahlaku keganasan dan mencemar imej agama Islam sebagai agama pembawa risalah ‘alamiyyah’(universal) dan rahmat untuk seluruh insan.

BiPPA kesal dengan kenyataan tersebut yang menampakkan ketinggalan dalam menekuni pelbagai sudut pandang para sarjana dan ilmuan Islam yang bersifat semasa dan kontemporari dan berautoriti seperti Syeikh Yusuf al-Qaradawi, Syeikh al-Raisuni, Syeikh Wahbah Zuhaili, Syeikh Taha Jabir, al-Ghanoushi, Dr Abdul Hamid Sulaiman, Dr Hassan Turabi, Salim al-Awa, Jaafar Sheikh Idris dan ramai lagi.

Justeru, BiPPA dengan mencadangkan agar para Mufti dan pihak lain yang bertanggungjawab atas urusan Islam di negara ini mengambil langkah proaktif mengadakan perbincangan dan dialog ilmiah dengan para ilmuan yang disenaraikan di atas.

Hakikatnya, persoalan kafir harbi dan zimmi musta’min sudah tidak relevan lagi dengan realiti fiqh ‘fiqh muassirah’ (fekah semasa) yang giat diperbahaskan oleh para ulama’ dan para sarjana Islam seperti yang disebutkan di atas.

Adalah amat malang kepada umat Islam sendiri, apabila kelompok yang diamanahkan kuasa untuk melaksanakan urusan Islam, dilihat kehilangan integriti dan tidak mampu membuat pendirian yang adil kepada semua pihak dan rakyat, tanpa mengira anutan agama dan kecenderungan politik mereka.

Lebih parah, jika dilihat gagal membebaskan diri dari pengaruh aliran politik sempit perkauman sebagaimana yang dituntut di dalam ayat 13, surah al-Hujurat.

Perlu kita insafi, kedudukan geo-politik umat Islam telah jauh berubah. Sistem khilafah Islam telahpun dileburkan oleh Mustaffa Kamal Ataturk pada tahun 1924.

Justeru, al-Qaradawi di dalam karyanya ‘Al-Fatawa al-Shazzah (Fatwa-Fatwa Janggal) telah mengingatkan para fuqaha’ zaman ini supaya menyedari bahawa pembuatan sesuatu fatwa itu adalah mengikut kesesuaian dan realiti yang wujud pada zamannya.

Sheikh Rashid Ghanoushi (Tunisia), dalam beberapa tulisan ilmiahnya menyatakan bahawa idea kafir harbi dan kafir zimmi serta kewujudan Negara yang boleh diperangi (dar al-harb) memang relevan pada zaman keagungan empayar Islam di masa yang silam.

Namun, pada hari ini, ketika umat Islam tergabung dalam sebuah entiti dunia yang terbahagi di antara warga Muslim dan bukan Muslim yang berimbangan serta semakin bersifat global, maka kedudukan kafir harbi dan kafir zimmi sudah tidak praktikal lagi. Justeru, beliau menganjurkan agar konsep al-muwatinun (kewarganegaraan) diguna pakai sebagai alternatif yang praktis.

Fahmi Huwaidi, seorang pemikir Islam dari Mesir, secara khusus, menyetujui pandangan Sheikh al-Ghanoushi. Beliau telahpun menghasilkan sebuah karya yang berjudul “Muwatinun La Zimmiyyun” (Kewarganegaraan Bukan Zimmi).

Karya beliau yang bersifat ijtihadi dalam konteks pemikiran politik Islam semasa ini, amat bermanfaat untuk di telaah secara kritis guna meleraikan polemik yang sedang digembar-gemburkan ini.

Shaikh Taha Jabir al-‘Ilwani (Iraq), Munir Shafiq (Jordan), Shaikh Faisal Mawlawi (Lubnan), Shaikh Jaafar Idris (Sudan) turut membahaskan tajuk ini dengan memberikan pandangan yang serupa.

Umumnya, mereka bersetuju bahawa konsep-konsep berkaitan - kafir zimmi, kafir harbi dan kafir musta’min – memang dicipta oleh para ‘ulama fiqh silam dalam membahaskan isu-isu fiqh siasah syariah.

Walaubagaimanapun, bagi mereka ia wajar dikaji semula kesesuaiannya dalam konteks sistem politik dunia pada masa ini yang sentiasa dinamik dan berkembang.

Sehubungan dengan ini, BiPPA Keadilan sekali lagi mengulangi pendirian kami bahawa konsep kafir harbi (boleh diperangi dan dibunuh) serta kafir zimmi (patuh kepada pemerintahan Islam) perlu diperjelaskan kepada umum secara lebih tepat, bersesuaian dengan perkembangan dunia pemikiran Islam yang bersifat global.

Kita melihat dengan jelas, cara Umno menggarap persoalan ini dengan menggunakan pandangan Mufti di atas adalah ketinggalan zaman dan mengelirukan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

Umno dengan sengaja mengambil kesempatan sebegini sebagai satu cara menyiahkan rakyat dari membicarakan isu-isu sebenar dan bebanan yang sedang dideritai oleh rakyat seperti 1MDB, GST, RM2.6 bilion, kenaikan kos sara hidup, kegawatan ekonomi dan sebagainya. Sesungguhnya, sekiranya pendekatan ini diteruskan Negara yang dicintai ini akan berada di ambang krisis yang besar.

Justeru, dengan sikap yang diperagakan ini, nyatalah Umno telah begitu terdesak dan bengkrap dalam menarik sokongan rakyat Malaysia seluruhnya, sehingga terpaksa memperalatkan pandangan seperti ini sebagai alat propaganda politik murahan.

Jelas dan nyata, UMNO tidak layak lagi diamanahkan mengurus Negara lagi,kerana telah kehilangan arah, hilang kawalan diri dan tandus formula mengemudi rakyat kearah kegemilangan masa depan.

* Penulis Dr Muhammad Nur Manuty adalah seorang Senator dan Ketua Biro BiPPA, Parti Keadilan Rakyat.

Dapatan Ilham Centre dedahkan anak muda terlalu bosan situasi politik kini

ARIF ATAN
 
 
Hisommudin berpendapat Pakatan Harapan perlu segera tangani persepsi segmen pengundi muda dan MelayuHisommudin berpendapat Pakatan Harapan perlu segera tangani persepsi segmen pengundi muda dan Melayu


Pengundi muda dikenal pasti berada dalam situasi terlalu bosan dengan realiti pergolakan parti pembangkang selain kebobrokan Umno-BN sedia ada.

Pengerusi Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, kelompok terbabit tidak teruja untuk mengundi kerana menyedari mereka tidak mempunyai pilihan.

"Nak undi BN, skandal kewangan sana-sini. Nak undi pembangkang berlaku pergolakan tidak berkesudahan," ujarnya pada forum di Gerak Budaya di Petaling Jaya semalam.

Berkongsi pengalaman interaksinya dengan beberapa parti baharu di Indonesia, beliau memberitahu golongan muda menjadi sasaran parti-parti terbabit.

"Mereka abaikan saja kelompok pengundi tegar parti sebaliknya tumpu pada anak muda. Tidak seperti di Malaysia. Hak kumpulan terbanyak sekitar 30 hingga 40 peratus ini terabai tidak disambut parti pembangkang," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hisommudin turut mengulas pola pengundian pemilih Melayu susulan penyertaan Tun Mahathir ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) serentak di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini.

"Kelompok berkenaan (Melayu) jauh dari membuat perubahan besar. Elemen Tun Mahathir hanya memberi sedikit lonjakan kepada parti Amanah tapi belum cukup untuk mengubah mereka supaya mengundi blok pembangkang pada PRU14 nanti.

"Bagaimana mahu tangani psikik orang Melayu ini supaya mereka berani buat perubahan?," soalnya dalam Wacana Terbuka: Amanah Bawa Tuah atau Rebah? anjuran Free Public Forum dengan kerjasama Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu.

Mengulas lanjut trend pengundi di Sungai Besar dan Kuala Selangor, Hisommudin mendedahkan sikap responden Melayu yang dilihat menyerahkan segalanya pada kepimpinan politik.

"Kalau kita jumpa tanya tentang skandal 1MDB, baik Sungai Leman atau Parit 1 sampai 16, mereka jawab, 'terserah pada pemimpin.'

"Mereka tak fikir pun soal RUU (Rang Undang-Undang Akta 355). Apa yang mereka soal kos kenaikan barang. Itu cara pengundi Melayu berfikir," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan Pakatan Harapan akan kalah jika Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan pada masa terdekat.

"Pembangkang boleh hilang undi popular. Pakatan Harapan sudah tidak popular seperti ketika Pakatan Rakyat," ujarnya lagi.

Jika Pas-Umno berunding, tiga penjuru tidak mustahil berlaku

ARIF ATAN
 
 
Anthony Loke berharap Pakatan Harapan punya formula ekoran situasi mesra Pas Umno kiniAnthony Loke berharap Pakatan Harapan punya formula ekoran situasi mesra Pas Umno kini


Rundingan antara Pas yang mendakwa pihaknya sebagai Blok Ketiga dengan Umno tidak mustahil akan berlaku menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kira-kira dua tahun dari sekarang.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, Pakatan Harapan terpaksa menempuh kemungkinan situasi itu sekaligus bersedia untuk pertandingan tiga penjuru.

"Pas terang-terang pada hari ini mahu jadi kuasa ketiga. Mereka mungkin mahu buat satu rundingan dengan Umno yang hanya memberi kesinambungan hayat kepada Umno untuk terus memerintah.

"Kita berdepan dengan perkara yang tidak dapat dielak sama ada Pas tetap akan bertanding di kerusi yang ditandinginya pada PRU13 lepas dan ini pastinya bertembung dengan Amanah.

"Kemungkinan (pertandingan) tiga penjuru di kerusi-kerusi terbabit amat tinggi tambahan Pas juga terang-terang menentang DAP," ujarnya dalam 'Wacana Terbuka: Amanah Bawa Tuah atau Rebah?' semalam.

Sehubungan itu, katanya, satu formula perlu dicari untuk menumpaskan BN walaupun Amanah dan Pakatan Harapan bertempur dengan Pas.

Ambil pengajaran

Mengambil contoh pengalamannya bertanding tiga penjuru di Parlimen Seremban pada PRU13 lalu, beliau berkata, terdapat pengundi Melayu yang tegar menolak DAP tetapi pada masa sama tidak mahukan BN.

"Saya juga menghadapi pertembungan tiga penjuru dengan undi diperoleh calon Isma agak signifikan iaitu hampir 7,000 undi.

"Ya. Tiga penjuru pada PRU14 nanti bukan satu yang kita mahu lihat tetapi realiti yang perlu kita hadapi," ujarnya.

Untuk rekod, Isma buat pertama kali bertanding dalam pilihan raya pada PRU13 atas tiket Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) di tujuh kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Selanjutnya, mengulas insiden pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11, Mei lalu antara DAP dan PKR, Anthony berkata, hal itu wajar memberi pengajaran besar kepada Pakatan Harapan.
"Kita perlu ambil pengajaran sekurang-kurangnya dalam Pakatan Harapan, itu tidak berulang dalam PRU14," tambahnya lagi.

Kenapa Lim Guang Eng tidak Najib, soal Amanah

MALAYSIA DATELINE
 
 
Lim Guan Eng memTindakan terhadap Lim Guan Eng buktikan kerajaan BN melakukan pendakwaan terpilih kata Mohamad SabuLim Guan Eng memTindakan terhadap Lim Guan Eng buktikan kerajaan BN melakukan pendakwaan terpilih kata Mohamad Sabu


Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu mendakwa tindakan pihak berkuasa menahan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membuktikan kerajaan BN melakukan pendakwaan terpilih.

Mengakui kagum dengan kecekapan pihak berkuasa terhadap isu membabitkan pemimpin pembangkang, Mohamad mempersoal mengapa tindakan sama tidak dilakukan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

"Di sebelah pihak lagi, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak mengaku terang-terangan bahawa beliau menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau.

"Namun Peguam Negara diarah berhenti, Timbalan Perdana Menteri dipecat, Menteri Luar Bandar dipecat, Menteri Besar Kedah dipecat, Timbalan Pengarah Cawangan Khas ditukar tempat kerja, pegawai-pegawai SPRM disiasat dan pucuk kepimpinan SPRM pula berhenti secara mengejut," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam nada kecewa Mohamad berkata rakyat Malaysia terutamanya orang Islam masih tidak sensitif dengan rasuah dan penyelewengan.

Lebih menghairankan katanya, ada dikalangan mereka bergelar pemimpin pembangkang berkelulusan agama, tetapi menyokong perdana menteri yang mengaku menerima wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi.

"Inilah corak kehidupan rakyat Malaysia terutama orang Islam.

"Sampai bila kita hendak berkeadaan begini dengan tidak melaksanakan tanggungjawab agama iaitu menyeru kepada makruf dan menentang kemungkaran," katanya.

Di samping mengharapkan Setiausaha Agung DAP itu diadili sebaik-baiknya, Mohamad turut menyeru rakyat terus bangun melawan rasuah dan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau RM2.6 bilion dan pelbagai skandal yang lain.

Mohamad yang juga kawan karib kepada Lim Guan Eng ketika mereka ditahan di bawah ISA satu masa dahulu berkata, Setiausaha DAP itu pernah dipenjara kerana cuba membela seorang gadis yang dianiaya oleh seorang pempimpin politik BN.

"Dakwaan terpilih sentiasa berulang kali berlaku di Malaysia.

"Kita berharap pasukan pembela akan dapat melakukan pembelaan terbaik ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP ini," katanya.

Laporan menyebut Lim ditahan petang tadi oleh SPRM dan akan dihadapkan ke mahkamah esok atas dua pertuduhan rasuah.

Beliau juga dibawa ke Ibu pejabat SPRM Pulau Pinang dan akan bermalam di sana sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Georgetown esok.

Beliau akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

PKR Johor buka pintu kepada TS Muhyidin

MALAYSIA DATELINE
 
 
PKR pelawa Muhyidin bersama tegakkan sebuah pemerintahan lebih baik. Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari SallehPKR pelawa Muhyidin bersama tegakkan sebuah pemerintahan lebih baik. Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Salleh


Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Johor membuka pintu kepada Tan Sri Mahyuddin Yasin dan penyokong penyokongnya khususnya di Johor untuk menyertai Parti Keadilan dan meneruskan perjuangan mereka dalam Keadilan.

Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim berkata pihaknya menghormati pendirian jelas dan tegas Tan Sri Mahyuddin Yasin dalam isu 1MDB.

"Kami difahamkan tiada rayuan dari Tan Sri Mahyuddin terhadap keputusan UMNO memecatnya dari parti, maka kami PKR khususnya di Johor menghulurkan salam setiakawan kepada Tan Sri Mahyuddin dan semua penyokong penyokongnya agar kita sama sama membuat perubahan atau reformasi di tanahair kita dengan bermula di Johor," katanya.

Menurutnya, sebagai bekas Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor, adalah satu fakta yang diakui pengaruh Tan Sri Mahyuddin sebagai pemimpin politik di Johor amat luas.

"PKR bersama rakan rakan dalam Pakatan Harapan Johor mempunyai azam untuk membentuk satu kekuatan politik yang berkesan dan kuat di Johor dalam menghadapi Pilihanraya Umum akan datang.

"Untuk itu Kami mengalu alukan Tan Sri Mahyuddin untuk bersama kami dalam gelombang kebangkitan rakyat di Johor khususnya untuk mendirikan pemerintahan negara yang lebih adil, telus, tidak rasuah," katanya.

DAP Yakin PAN Masih Ada Harapan Untuk PRU 14


LIHAT VIDEO DI SINI

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan dan Sungai Besar bukan ukuran sebenar untuk menentukan kerelevanan Parti Amanah Negara (PAN) dalam arena politik di negara ini, kata Setiausaha organisasi kebangsaan DAP, Anthony Loke.


Loke berkata PRN Sarawak lebih bersifat kenegerian, manakala keputusan yang diperolehi PAN pada dua PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar disifatkannya sebagai ‘di bawah jangkaan’.

“Dua PRK ini..kita secara terus terang..keputusan yang dicapai (calon PAN) itu di bawah jangkaan kita.

“Namun begitu, kita semua perlu memikul tanggungjawab (di atas kekalahan calon PAN itu). Sudah tentu pimpinan dan rakan-rakan Pakatan Harapan akan bersama-sama memikul tanggungjawab itu untuk membantu proses naikkan parti Amanah,”katanya dalam sebuah forum bertajuk “Amanah membawa tuah atau rebah” di Petaling Jaya semalam.

Namun, pendapat Loke itu dibidas oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat PSM S Arutchelvan yang berkata kekalahan PAN di dua PRK itu bukan berpunca dari parti itu sendiri, tetapi berpunca daripada Pakatan Harapan.

Katanya, PAN adalah sebuah parti mangsa keadaan, sambil menambah bahawa masalahnya bukannya PAN tetapi Pakatan Harapan.

“Masalahnya bukan Amanah tetapi Pakatan Harapan sendiri,”katanya.

Laporan 'post mortem' kekalahan PAS di dua PRK siap Ogos

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS akan menyerahkan laporan 'post mortem' mengenai kekalahan parti itu dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan diserahkan kepada kepimpinan Pusat selewat-lewatnya akhir Ogos depan.
 
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata laporan berkenaan akan diserahkan pengerusinya Datuk Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS kepada peringkat pusat.
 
Jelasnya, Mohd Amar diberikan tanggungjawab memimpin Jawatankuasa 'post mortem' PAS bagi mengenal pasti punca-punca kekalahan PAS di kedua-dua kawasan PRK terbabit.
 
"Berdasar kepada pemerhatian awal PAS tidak kurang sokongan walaupun gagal memenangi PRK berkenaan. 
 
"Ini kerana undi teras PAS masih kekal. Sebaliknya penyokong PKR dan DAP berpaling arah di mana ada yang menyokong calon BN atau PAN," jelas Takiyuddin memetik laporan HarakahDaily hari ini.
 
Jawatankuasa berkenaan juga akan turut menilai pengendalian perjalanan pilihan raya dan jentera parti itu secara terperinci.
 
Pada PRK yang diadakan pada 18 Jun lalu, PAS gagal mencabar kekuatan Umno-Barisan Nasional (BN) yang berjaya mempertahankan kubu kuat mereka.
 
Di Kuala Kangsar BN menerusi Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh majoriti 6,969 undi mengatasi calon PAS Dr. Najihatussalehah Ahmad dan Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Ahmad Tarmizi Ramli.
 
Situasi sama di Sungai Besar apabila Budiman Mohd Zohdi yang mewakili BN mendapat majoriti 9,191 undi menewaskan calon Amanah Azhar Abdul Shukur dan Dr Rani Osman yang mewakili PAS.
 
 

Gerakan kecam Exco Pulau Pinang guna kata kesat dalam debat

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Gerakan Pulau Pinang menyelar wakil rakyat DAP negeri itu, Lim Hock Seng ekoran tindakannya yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong Barisan Nasional (BN) ketika sesi debat mengenai isu projek tiga lebuh raya dan terowong dasar laut malam tadi.
 
Setiausahanya, Hng Chee Wey berkata, Hock Seng sepatutnya bijak mengawal emosi ketika berdebat dan tidak cuba mengalih isu dengan mengeluarkan kata kesat apabila penjelasan beliau mendapat kritikan penyokong parti lawan.     
 
"Macam mana pun, anda kena menghormati antara satu sama lain. Jangan sampai Yang Berhormat (YB) tidak patut dihormati. Adakah itu perkataan yang patut dikeluarkan dari mulut seorang YB. Lagipun beliau seorang Exco.
 
"Kita harus menampakkan seorang ahli politik yang matang dan berpengalaman, tidak harus memberi satu contoh (buruk) kepada golongan muda atau belia" katanya kepada Antarapos.  
 
Debat di antara Gerakan dan DAP yang menampilkan Hock Seng dengan Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng malam tadi berakhir dengan kekecohan apabila penyokong kedua-dua pihak mengejek satu sama lain dengan mengeluarkan kata-kata kesat.
 
Dilaporkan, kekecohan bermula selepas Hock Seng mengeluarkan perkataan kesat terhadap penyokong BN apabila penjelasan beliau tidak diterima kira-kira 500 penyokong parti itu. 
 
Ekoran terlalu marah, Hock Seng melabelkan kumpulan berkenaan sebagai 'hooligan' dan 'bodoh' sekaligus menyebabkan beberapa lelaki yang tidak berpuas hati cuba menyerbu pentas untuk meminta penjelasan.
 
"Kita nampak semalam, penyokong kedua-dua pihak dalam keadaan berdisiplin tetapi YB Lim (Hock Seng) yang cuba membangkitkan perasaan (marah).
 
"Sebagai seorang pendebat, anda patut menjawab persoalan berdasarkan topik, bukan mengeluarkan emosi dengan memarahi penyokong pihak lawan," kata beliau.
 
Tambahnya, perdebatan yang sewajarnya menjadi medan untuk kerajaan negeri menjelaskan polisi agar difahami rakyat sudah bertukar kepada medan mempromosi 'kebaikan' pentadbiran sendiri. 
 
Mengulas mengenai tindakan yang bakal diambil, ujar Chee Wey, buat masa ini Gerakan Pulau Pinang akan mengeluarkan kenyataan media bagi meminta pihak kerajaan negeri menjelaskan soalan yang tidak berjawab dalam debat berkenaan.
 
Antaranya mengenai kos terowong, perjanjian pertukaran tanah dengan kontraktor Consortium Zenith-BUCG (CZBUCG) dan kos RM305 juta yang dianggap tinggi untuk kajian daya maju projek.
 
BN sebelum ini mengecam sikap 'flip flop' kerajaan negeri dalam mencadangkan pembinaan jambatan ketiga yang bebas tol untuk menggantikan terowong.
 
Isu terowong bertol bernilai RM6.3 bilion dan tiga lebuh raya itu, yang ditawarkan kepada CZBUCG melalui tender terbuka, menjadi tajuk utama untuk beberapa bulan, dan daya maju projek itu terus dipersoalkan oleh NGO dan pembangkang di negeri ini.
 
Tiga lebuhraya tanpa tol itu dijangka siap pada 2022, manakala terowong itu dijangka siap pada 2027.

Guan Eng dihadap ke mahkamah esok atas dua tuduhan rasuah

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGTOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan didakwa di Mahkamah Sesyen esok atas  dua tuduhan rasuah termasuk pembelian sebuah banglo di bawah harga pasaran.
 
Setiausaha Agung DAP itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi dan dibawa ke ibu pejabat SPRM Pulau Pinang.
 
Perkara itu disahkan oleh bapanya yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang menerusi Twitter.
 
Guan Eng akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah dan dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara jika disabit kesalahan. 
 
Pertuduhan pertama adalah berkaitan dengan dakwaan beliau  menyeleweng kuasa bersabit  permohonan menukar status sebidang tanah daripada pertanian kepada komersial.
 
Satu lagi tuduhan terhadap Guan Eng adalah  berhubung tindakannya  membeli sebuah banglo daripada seorang ahli perniagaan wanita di bawah harga pasaran.
 
Ahli perniagaan berkenaan Phang Li Khoon, yang menjual rumah di Jalan Pinhorn pada harga RM2.8 juta kepada Guan Eng tahun lalu. 
 
Beberapa pihak sebelum ini mendakwa banglo itu mempunyai nilai pasaran sehingga RM5 juta apabila dijual kepada Guan Eng.
 
Phang dilaporkan turut di tahan SPRM petang tadi untuk dihadapkan ke mahkamah. 
 
Kontroversi banglo dan isu tanah  itu tercetus pada 4 Mac lalu apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya mendakwa Guan Eng membeli sebuah banglo jauh di bawah harga pasaran.
 
Beliau meminta siasatan di jalankan untuk menentukan samada pembelian itu berkait dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis kepada sebuah syarikat swasta.
 
Phang di katakan adalah rakan niaga pemilik utama saham syarikat yang membeli tanah di Taman Manggis itu daripada kerajaan negeri pimpinan Guan Eng.
 
 

DAP Pulau Pinang akan adakan mesyuarat tergempar esok

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGTOWN: Susulan penahanan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, kepimpinan DAP negeri itu akan mengadakan satu mesyuarat tergempar esok. 
 
Mesyuarat berkenaan akan diadakan sejurus selepas Guan Eng dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah, demikian menurut Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow. 
 
"DAP akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa negeri tergempar esok untuk membuat keputusan bagi menangani krisis politik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, sambil menegaskan mesyuarat itu hanya akan diadakan dengan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
 
Ujarnya, DAP menganggap tuduhan ke atas Guan Eng berunsurkan politik yang bertujuan mematikan kariernya.
 
Sementara itu, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dalam satu kenyataan berkata parti itu akan sentiasa menyokong dan berdiri teguh di belakang Guan Eng.
 
Guan Eng akan didakwa di Mahkamah Sesyen esok atas dua tuduhan rasuah termasuk pembelian sebuh banglo di bawah harga pasaran.
 
Beliau terdahulu ditahan SPRM petang tadi dan dibawa ke ibu pejabat SPRM Pulau Pinang.
 
Pertuduhan pertama adalah berkaitan dengan dakwaan beliau menyeleweng kuasa bersabit permohonan menukar status sebidang tanah daripada pertanian kepada komersial.
 
Satu lagi tuduhan terhadap Guan Eng adalah  berhubung tindakannya  membeli sebuah banglo daripada seorang ahli perniagaan wanita di bawah harga pasaran.
 
Pemimpin DAP itu akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah dan dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara jika disabit kesalahan.