Oleh Zulkefli Hamzah
Selepas Pakatan Rakyat diisytiharkan berkubur dan terbentuk pakatan baharu, hubungan
PKR dan Pas menjadi kelam-kabut. Sekejap dikata kehadiran Pas sangat
diperlukan tetapi di waktu lain pula, parti berlambang bulan itu terus
disisihkan.
Awal bulan ini, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli
dipetik sebagai berkata, gabungan pilihan raya dengan Pas menjadi
satu-satunya cara untuk pembangkang menawan Putrajaya. Rafizi
mengaitkan hujahnya itu dengan satu kaji selidik yang menyimpulkan Pas
masih mendapat sokongan pengundi Melayu.
Tetapi minggu ini,
Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail membayangkan Pas tiada
tempat dalam pembahagian kerusi pilihan raya negeri Sarawak yang
dijadual diadakan pada April depan. Ketua pembangkang itu berhujah Pas
kurang sambutan di Sarawak berbanding di Semenanjung.
Reaksi itu
diberikan oleh Wan Azizah selepas mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan
Harapan. Amanah pula yang menggantikan kedudukan Pas dalam gabungan
baharu DAP dan PKR itu, hampir pasti akan bertanding di Sarawak.
Nampaklah, parti mana sebenarnya yang menjadi pilihan PKR.
Hujah
Wan Azizah pastilah berdasarkan prestasi Pas di negeri itu. Di Sarawak,
Pas boleh mengaku mempunyai sokongan kuat. Hakikatnya parti ini yang
memulakan langkah dengan bertanding di Parlimen Batang Lupar pada
pilihan raya umum 1999, masih gagal meraih sebarang kerusi.
Pas
mengaku kini mereka aktif di 11 kawasan dan mempunyai kira-kira 3,000
aktivis yang bersedia bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya
negeri. Bagaimanapun menurut penganalisis, Pas belum mendapat tempat di
hati rakyat Sarawak. Mereka ada pilihan yang lebih baik yakni Parti
Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Semasa waktu terbaik pakatan
pembangkang meraih kemenangan pada pilihan raya umum 2013, Pas kalah
teruk di lima kerusi yang diperuntukkan kepadanya. Pas, buat masa ini
tidak mungkin mampu memecahkan dominasi PBB walaupun dengan bantuan PKR
yang juga tidak seberapa daya itu.
Di atas kertas begitulah
perhitungannya. Mudah untuk Wan Azizah menggunakan hujah ini. Tetapi
bagaimana pula dengan PKR di Kelantan. Parti ini juga ‘kurang sambutan’
dan boleh dianggap tidak mempunyai kerusi di Kelantan. Orang Pas
Kelantan menganggap PKR hanya wujud atas jasa baik mereka.
Gagal dipertahankan
Satu-satunya kerusi yang PKR ada di DUN Guchil, yang dimenangi dengan
majoriti tipis 492 undi. Pada PRU-13, PKR bertanding di semua kawasan
milik mereka iaitu Parlimen Ketereh, Machang dan Tanah Merah dan
ketiga-tiganya gagal dipertahankan.
Di Parlimen Ketereh dan
Tanah Merah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) walaupun dua DUN di
kedua-dua kawasan itu dimenangi oleh Pas. Di Parlimen Machang, keadaan
lebih teruk apabila tiga DUN di kawasan itu dimenangi oleh BN.
Bagaimanakah PKR dan Pas yang masih mengekalkan tahaluf siyasi itu akan
menyelesaikan isu pembahagian kerusi ini? Pilihan raya negeri Sarawak
bakal menjadi medan ujian.
Tetapi, apa kesudahan ceritanya mudah
ditelah. Akibat hubungan tidak dijalin dengan keikhlasan dan semangat
muafakat untuk menjadi sebuah entiti yang lebih baik kini mula
menghantui pembangkang. Ibarat kanser, hubungan itu telah merosakkan
organ-organ penting pakatan pembangkang yang sudah pun berpecah itu.
Inilah akibat kerjasama didorong oleh nafsu untuk berkuasa dan saling
menjatuhkan. Hubungan itu diasaskan atas rasa benci yang amat sangat.
Akibatnya apa sahaja yang dilakukan oleh seteru politik serba buruk
belaka. Akibatnya, yang lebih fatal ialah perseteruan politik itu telah
mendorong perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Begitupun
selepas berbulan-bulan lamanya, hubungan PKR dan Pas belum juga jelas.
Yang jelas hanya di Pulau Pinang. Orang Pas disisihkan secara
sistematik, kecuali yang mengambil jalan songsang menyokong kepemimpinan
DAP.
Di waktu lain, selama berbulan-bulan itu pula Pas masih
berhubungan secara rasmi dengan pimpinan DAP di Selangor. Hubungan itu
masih berkekalan atas ihsan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
walaupun banyak kali menerima tekanan khususnya daripada DAP.
DAP, apatah lagi PKR dan Wan Azizah sendiri sebenarnya tidak berani
untuk terus menekan Azmin. Timbalan Presiden PKR ini yang dikelompokkan
dalam satu kem lain dalam parti milik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu,
sedang memegang kuasa.
Kuasa itu lebih besar daripada Presiden
PKR mahupun penasihatnya yang kini bermastautin di Sungai Buloh, iaitu
kedudukan Menteri Besar Selangor. Azmin yang dikenal licik berman
politik boleh bila-bila masa menggugurkan DAP daripada kerajaan negeri.
Azmin malah boleh memusnahkan PKR dan memporak-perandakan Pakatan
Harapan.
Beliau ada pilihan untuk berpaling tadah dan membentuk
kerajaan negeri bersama Pas dan UMNO. Senjata itu ada pada Azmin. Taraf
hubungan gantung tak bertali, salai tak berapi ini memang menguntungkan
Azmin.
Benarlah seperti kata Rafizi, pakatan pembangkang tidak
akan mampu ke Putrajaya tanpa Pas. Pakatan tidak mungkin akan
memperolehi semuanya. Dalam kedudukannya sekarang, ada yang perlu
dilepaskan.
Sama ada melepaskan peluang di Sarawak tetapi kekal
di Pulau Pinang dan Selangor. Atau, terus mengekalkan entiti Pakatan
Harapan dan Pas tetapi melepaskan impian ke Putrajaya. Dalam segala
perhitungan itu, yang tetap meraih untung ialah Lim Guan Eng di Pulau
Pinang dan Azmin di Selangor.-
utusan.com.my