Isnin, 31 Oktober 2011

Awasi pihak promosi gaya hidup gay

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Pahang menuntut kerajaan negeri memberikan perhatian yang serius terhadap bantahan orang ramai tanpa mengira parti atau pertubuhan terhadap konsert artis antarabangsa, Elton John yang dijadualkan berlangsung pada 22 November ini di Genting Highlands.

Yang Dipertuanya, Ustaz Rushdan Abdul Halim berkata, ini kerana ianya akan memberi kesan kepada sosio budaya masyarakat setempat terutama remaja melayu Muslim.

Katanya, seseorang yang telah menjadi ikon kepada golongan gay atau homoseksual yang sememangnya bertentangan dengan Islam dan nilai murni masyarakat bertamadun tidak harus dibenarkan untuk membuat pertunjukan konsert di negara ini kerana ianya akan menjadi ikutan atau idola kepada remaja yang kini dilaporkan menghadapi krisis kecelaruan identiti yang membimbangkan.

Tambahnya, gesaan tersebut dibuat kepada kerajaan negeri kerana konsert tersebut akan diadakan di Genting Highlands yang berada dalam negeri Pahang yang sudah pasti pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa wewenang untuk menghalanginya daripada berlaku.

“Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita tidak seharusnya bimbang kepada kebebasan bukan Muslim kerana majoriti bukan Muslim yang berpegang kepada agama dan nilai murni manusia bertamadun juga tidak akan suka muda mudi mereka terpengaruh dengan cara hidup gay dan mereka hidup dalam sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama negara, perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kebebasan beragama kepada yang bukan Islam dalam perlembagaan adalah berkaitan dengan upacara atau amalan agama bukan Islam tetapi bukan cara hidup songsang yang mengenepikan semua nilai agama.

Beliau berkata, Isma Pahang menuntut supaya konsert tersebut dinilai semula dan diambil tindakan sewajarnya kerana ia telah berulang sebanyak dua kali yang mana kali pertama diadakan oleh artis antarabangsa Adam Lambert pada tahun lepas.

“Konsert yang dirancang daripada kumpulan artis gay ini menunjukkan seolah-olah ada pihak tertentu ingin membuat promosi gaya hidup songsang (gay) mereka ke negara Malaysia,” ujarnya.

Facebook Pro-M UIAM digodam

Harakahdaily


GOMBAK: Akaun facebook milik Pro-Mahasiswa (WUFI) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kejadian itu telah disedari oleh salah seorang anggota kumpulan yang berjuang bagi menegakkan hak-hak mahasiswa di UIAM, petang semalam.

Menurut Pengerusi WUFI UIAM, Muhammad Hafizuddin, motif sebenar penggodaman tersebut disyaki untuk menyekat kebangkitan mahasiswa dan cuba untuk memecah belahkan gerakan mahasiswa.

Tambahnya, tindakan itu dilihat mahu memberi tekanan kepada Pro-M daripada terus memperjuangkan isu Prof Abd Aziz Bari.

"Kami tetap serius dan istiqamah dalam memperjuangkan isu kebebasan akademik walau apa ancaman sekalipun yang pihak kami terima.

“Kami berharap mahasiswa dan masyarakat seluruhnya tidak termakan dengan sebarang provokasi dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Menurutnya lagi, tindakan itu juga dipercayai ada kaitan dengan 'tangan jahat' yang sering mengganggu bermula daripada isu Ustaz Azhar Idrus, penafian Presiden MPP dalam rancangan Hujah TV9 dan Prof Abd Aziz Bari.

Ugut Aziz Bari

Dalam masa yang sama, ujarnya berita penghantaran peluru ke rumah Prof Aziz agak mengejutkan mahasiswa UIAM khususnya.

Katanya, tindakan sedemikian sangat bercanggah dengan norma kehidupan manusia.

Menurutnya, mahasiswa UIAM tetap menyokong sepenuhnya perjuangan kebebasan akademik yang dibawa oleh Prof Aziz.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menghantar peluru tersebut seolah-olah mahu menakutkan Prof Aziz dalam masa ini," katanya.

Sehingga hari ini, pihak UIAM masih belum mengeluarkan sebarang respons selepas menarik balik penggantungan terhadap Prof Abd Aziz Bari.

Laporan audit petanda ikan busuk di kepala

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan masalah yang berlaku tetap sama, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

“Kita boleh andai sebelum Laporan dikeluarkan, antaranya harga kerajaan bayar beratus kali ganda daripada harga pasaran, projek tidak siap, belanja lebih,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Ini, katanya adalah skema yang ada kepada urus tadbir kerajaan BN selama ini, walaupun Perdana Menteri bercakap soal transformasi tetapi tidak ada penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN.

“Kenapa pegawai kerajaan yang dituding jari?

“Adakah mereka berani lakukan jika tidak ada arahan,” soalnya.

Justeru, ujarnya adalah tidak elok kalau hendak menyalahkan pegawai kerajaan sahaja, sedangkan bapa menteri boleh tidur lena.

Menurutnya, musibah yang menimpa kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad dalam kes tuduhan pecah amanah wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), patut diambil iktibar.

Beliau berkata, Dr Aziz terpaksa turun naik ke mahkamah sedangkan menteri tidak diapa-apakan, hanya kereta menteri sahaja yang dirampas.

“Patutlah Laporan Audit 2010 diberi lewat kepada ahli Parlimen, sehingga selepas didesak. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu,” katanya.

Tambahnya, Laporan Audit Negara telah tenggelam bajet gula-gula pilihanraya.

Menurutnya lagi, jika Laporan Audit 2010 mengekalkan rekod yang sama, apalah yang hendak diharapkan dengan Belanjawan 2012.

Baginya, pemimpin BN cuba hendak bermain silap mata, dengan kenyataan yang keras supaya diambil tindakan terhadap penyelewengan.

Inilah juga, katanya kenyataan yang dikeluarkan setiap tahun selepas laporan audit dikeluarkan untuk meredakan kemarahan rakyat.

Tambahnya lagi, tabiat buruk kerajaan BN bukan perkara baru, ia sudah menjadi darah daging di dalam pentadbiran.

“Jika kita mengimbau kembali Laporan Audit Negara 2006, bagaimana Kementerian Pertahanan boleh membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta (hampir RM1 bilion) walaupun tanpa baucer.

Katanya, ini satu misteri sedangkan pegawai kerajaan yang mahu buat tuntutan perjalanan yang berharga RM100 tidak diluluskan jika tanpa resit rasmi.

Katanya lagi, kerajaan menghabiskan wang rakyat untuk membayar set pen yang berharga RM1146 sedangkan harga pasaran RM60, lebihan RM986.

Begitu juga, ujarnya jek kereta harga pasaran RM50, tetapi kerajaan membayar sebanyak RM1,664, lebihan RM1,614.

Begitu juga, katanya dengan laporan audit untuk kerajaan negeri Pahang pada tahun 2009 di mana minyak kereta kerajaan ada yang diisi RM100 untuk satu liter.

“Macam mana Proton Perdana kapisiti tangki hanya untuk 64 liter tapi kereta Perdana kerajaan Pahang boleh diisi 130 liter, apakah tangki kereta jenis stokin yang boleh kembang?” soalnya.

Beliau berkata, laporan juga ada menyebut kereta yang sudah lupus tetapi kad untuk isi minyak masih digunakan.

“Ini hanya contoh-contoh kelakar Laporan Audit Negara.

“Persoalannya, kenapa masih tidak ada penambahbaikan, apakah ini transformasi Datuk Seri Najib?” tanya beliau lagi.

Katanya, sebab apa berlaku demikian, jawapannya ikan busuk di kepala.

Peserta Ijtimak Tarbawi bersiap hadapi PRU 13

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia di atas kejayaan menganjurkan Ijtimak Tarbawi 2011 yang bermula pada 28 Oktober sehingga 30 Oktober di Dewan KUIZM, Taman Melewar dengan kehadiran ribuan peserta yang terdiri daripada para pemuda PAS di semua peringkat jentera parti.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga melahirkan rasa syukur dan bangga kerana dapat memberikan kerjasama di dalam menjayakan penganjuran ini bersama-sama Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Tambahnya, lebih-lebih lagi ijtimak itu telah dapat menghimpunkan tokoh-tokoh Gerakan Islam Antarabangsa seperti Mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Sheikh Dr. Mehdi Akif, pemikir Ikhwanul Muslimin, Dr. Kamal Al Helbawi dan wakil Hamas, Palestin iaitu Syeikh Ahmad Najjar.

Tidak ketinggalan juga, katanya Al Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang turut sama meraikan program ini dengan memberikan kuliah ilmu dan taujihat tarbiyyah yang telah mencetuskan motivasi semangat jihad dan perjuangan kepada para peserta ijtimak.

Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengucapkan tahniah kepada seluruh peserta ijtimak yang hadir daripada seluruh negara yang terdiri daripada para pemuda PAS di semua peringkat selain penglibatan muslimat yang sangat dahaga dan mendambakan ilmu tarbiyyah gerakan Islam.

“Semoga program pentarbiyyahan yang dilalui dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan akan dapat memberikan kesan dan membekas di jiwa peserta bagi menghadapi segala cabaran dan dugaan di dalam menelusuri perjuangan gerakan Islam ini,” katanya.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan misi Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui ijtimak tarbawi kali ini dengan tema “Mantapkan Tarbiyah Menangi Pilihan raya” telah mencapai matlamat penganjurannya dan berkeyakinan bahawa seluruh peserta ijtimak telah bersedia sepenuhnya dari segi jasmani dan rohani untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang mendatang.

PAS kecam Soi Lek cetus polemik agama

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS mengecam tindakan melampau Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek (gambar kecil) yang cuba mencetuskan polemik dan sikap benci-membenci dan mencurigai antara agama dalam kenyataannya memburukkan undang-undang Islam, terutamanya hudud.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, Chua akhir-akhir ini telah banyak mencerobah dasar-dasar Islam dalam komentarnya yang melampaui batas susila bermasyarakat yang menjamin kebebasan beragama dan saling menghormati antara agama.

Lebih malang kini, kata Tuan Ibrahim ialah sikap Umno yang menjadi tulang belakang BN yang diam membisu terhadap beberapa kritikan melampau parti-parti dalam komponen BN terhadap ajaran Islam.

“Sikap lepas tangan Perdana Menteri dan para pemimpin Umno menggambarkan Umno hanya berminat menjaja isu agama sebagai modal politik daripada menjamin sikap hak beragama dilaksanakan,” kata beliau.

PAS, katanya menyangkal keras kenyataan Chua bahawa dengan pelaksanaan hukum hudud menyebabkan pelabur tidak akan datang dan menakutkan masyarakat bukan Islam.

Tambahnya, sedangkan Arab Saudi yang melaksanakan sistem perundangan Islam menjadi rakan pelabur utama China dan negara Barat.

“Para pelabur sangat mengharapkan satu jaminan keselamatan terhadap pelaburan mereka dan ini dibuktikan dengan kejayaan pelaburan mereka di negara yang melaksanakan syariat Islam.

“Sikap hormat terhadap agama lain untuk mempraktik ajaran masing-masing tidak pernah dibantah oleh umat Islam dan inilah intipati kepada teras perpaduan negara. Namun PAS kesal sikap campurtangan melampau beliau akan mencetuskan polemik dan sikap benci-membenci dan mencurigai antara agama,” terang Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga menyelar kejahilan Chua dengan memberikan contoh kemajuan negara Iran yang turut melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbirannya.

"Kita ambil Iran sebagai contoh. Walaupun melaksanakan undang-undang Islam, negara itu menerima pelaburan langsung asing (FDI) sehingga US$3.6 bilion tahun lalu.

"Jika kuasa-kuasa besar tidak memaksakan sekatan atau sanction ke atas Iran, adalah diyakini jauh lebih banyak FDI melimpah masuk ke negara itu," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, apa yang mendukacitakan dalam kenyataan Chua ialah kebimbangan beliau kepada pelaksanaan hukum Islam yang hanya akan dikenakan kepada umat Islam sahaja; yang bertujuan menyelamatkan masyarakat dan negara dari kejahatan penjenayah samada terhadap harta atau nyawa dan keselamatan masyarakat.

“Kejahilan akibat berkawan dengan Umno menyebabkan beliau yang gagal menyelesaikan masalah dalaman MCA, beliau kini cuba menyembunyikan kelemahan pentadbirannya dan menarik sokongan masyarakat Cina dengan menyerang hukum Islam,” kata beliau.

Tuan Ibrahim juga menambah tindakan bacul Chua hanya menambah kebencian masyarakat pelbagai kaum di negara ini terhadap MCA.

“Sebab sebahagian rakyat sudah tidak terkejut kerana umum mengetahui ia datang daripada seseorang yang mempunyai latar belakang yang tidak melayakkan seseorang menjadi pemimpin berwibawa,” terang beliau.

Sebutir peluru atas nama sultan?

Viktor Wong, Malaysia Chronicle


Baru-baru ini pensyarah kanan undang-undang dan perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah menerima sepucuk sampul yang mengandungi sebutir peluru dengan disertakan dengan sekeping nota yang memberikan amaran kepada beliau agar tidak lagi “menderhakai” sultan.

Dr Aziz sebelum ini telah memberikan beberapa pendapat beliau berdasar kepakaran undang-undang dan perlembagaannya mengenai soal-soal kedudukan perlembagaan di dalam sesuatu isu yang dibangkitkan oleh beberapa orang pemimpin politik serta beberapa titah baginda sultan yang berkait dengan kepentingan umum.

Adakah kesemua pendapat beliau ini didapati mengancam kedudukan baginda sultan-sultan dan adakah Dr Aziz menunjukkan sebarang niat untuk mengancam atau menggulingkan sistem raja berpelembagaan di negara kita ini?

Sudah tentunya tidak. Dan jika diteliti dengan lebih mendalam kesemua pendapat dan kenyataan yang diberikan oleh Dr Aziz, kesemuanya adalah berbentuk maklumat yang disampaikan oleh seorang pakar akademik yang mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang yang sedang diamalkan oleh beliau.

Selain daripada itu, kesemua pendapat dan maklumat yang diberikan oleh Dr Aziz tersebut adalah juga bertujuan mendidik dan memperluaskan pengetahuan umum semata-mata dan ianya langsung tidak mempraktikkan sebarang tujuan politik.

Tidak bermoral nama sultan digunapakai

Adalah tidak bermoral sama sekali jika sekiranya ada pihak-pihak yang tertentu yang sanggup mempergunakan atau memperlekehkan nama sultan-sultan di dalam mencapai tujuan dan agenda politik mereka sewenang-wenangnya.

Setakat ini kita hanya telah mendengar dan melihat sebutir peluru dihantar kepada seseorang atas nama sultan kononnya kerana ingin “mempertahankan” baginda. Sebenarnya perbuatan tersebut hanya akan mencemarkan lagi nama-nama baginda sultan.

Apatah lagi jika sekiranya sebutir bom akan dihantar kepada seseorang mangsa atas nama sultan pada suatu hari nanti. Maka akan terjejaslah lagi nama institusi raja-raja di negara ini.

Kesemua perbuatan ini jelas adalah taktik politik yang tidak bermoral dan bertujuan untuk mencetuskan keganasan.

Raja-raja patut bersuara

Rakyat jelata kian berdukacita apabila tidak ada seorang pun di kalangan institusi raja-raja yang dapat tampil ke hadapan untuk mengutuk perbuatan yang sungguh keji dan tidak bermoral ini.

Oleh kerana perbuatan ini adalah berunsurkan jenayah dan ganas, kenapa tidak seorang pun baginda sultan yang tampil untuk memperbetulkan keadaan yang amat mengelirukan sekarang?

Kenapa hanya seorang putera diraja sahaja yang berani tampil ke hadapan untuk menjelaskan apakah itu hak rakyat, demokrasi, dan perlunya institusi tersebut untuk turut menerima sebarang pendapat membina daripada rakyat jelata?

Kenyataan putera diraja dari Negri Sembilan itu patut diteladani dan disanjungi oleh kerana baginda adalah satu-satunya ahli kerabat diraja yang sanggup keluar daripada ambang konservatif yang kuno dan tidak praktik untuk bersama dengan rakyat jelata untuk mempertahankan perlembagaan dan demokrasi.

Siapa yang menDemokrasikan institusi raja?

Sejak daripada 2008 lagi, kita telah banyak memerhati keadaan politik yang bergolak dan ianya bergolak dan bertambah goyah kerana institusi raja sering diheret masuk ke dalam kancah permasalahan politik dalam negara ini semata-matanya kerana ia perlu digunakan untuk mempertahankan satu parti politik elit yang sedang menghadapi kemerosotan sokongan.

Oleh kerana itulah, parti tersebut sering bersembunyi di belakang institusi raja apabila timbulnya persoalan mengenai kesahihan perlaksanaan atau tindakan parti tersebut dengan mengguna pakai istilah “menderhaka” bagi mengancam mereka-mereka yang tampil menyoal tindakan parti tersebut.

Jadi, adalah perlu kita kembali kepada kejadian asalnya iaitu siapakah yang telah menDemokrasikan institusi raja sebelum ini? Ya, semua pun tahu, bahawa Tun Dr Mahathir Mohamed, mantan perdana menteri pada masa itu yang juga presiden Umno di waktu itu telah menggerakkan usaha yang agresif bagi membendung kelebihan kuasa raja-raja dan menDemokrasikan institusi tersebut bagi membolehkan rakyat jelata memantau segala tindakan dan kegiatan baginda-baginda sultan demi kepentingan umum.

Malah yang meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menambahkan Bab XV bagi membolehkan raja-raja disaman oleh rakyat jika perlu, adalah juga atas hasil usaha Umno dan Tun Dr Mahathir pada masa itu. Ianya berlaku pada Januari 1993 dan sejak dari tahun itulah, istilah “derhaka” itu telahpun hilang taringnya akibat usaha Umno.

Oleh yang demikian, para “pendukung” raja yang fanatik perlu mengingati, memahami dan akur menerima hakikat bahawa demokrasi yang kian subur pada institusi raja pada hari ini adalah hasil daripada usaha gigih Umno dan jika sekiranya ada mana-mana rakyat yang tampil untuk mengkritik atau memantau apa jua perbuatan atau tindakan para baginda sultan, ianya adalah berlandaskan Bab XV Perlembagaan Persekutuan yang telah diperkukuhkan pada Januari 1993.

Fahamilah kemanusiaan yang sejagat

Kepada mereka-mereka yang masih tidak faham atau enggan menerima hakikat yang sebenarnya dengan menghantar peluru (atau berkemungkinan besar bahan letupan di suatu hari nanti), perhatikanlah kesemua kejadian dan permasalahan ini dari sudut kemanusiaan dengan lebih mendalam.

Raja-raja, sultan-sultan ataupun mereka yang bergelar maharaja semuanya adalah insan manusia sama seperti kita semua, yang boleh melakukan kesilapan dan kebaikan. Apabila berlakunya sebarang kesilapan, perlulah wujudnya keinsafan, pemahaman dan kesedaran yang boleh membawanya ke suatu era yang dapat memajukan dirinya lagi.

Jika sekiranya seseorang itu enggan menerima hakikat kesilapan yang dilakukannya itu, maka akan timbul keburukan demi keburukan yang bakal menimpa dirinya ataupun seluruh keluarganya dan jika ianya terjadi kepada sesebuah negara, maka rakyat akan berasa tidak puashati, lantas daripada itu pemberontakan bagi menegakkan keadilan akan tercetus bagi mempertahankan rakyat jelata daripada penindasan tersebut.

Oleh yang demikian, semua insan manusia tidak mengira kedudukan perlu menerima hakikat bahawa hidup di bawah pengasingan dan enggan menerima kritikan serta pendapat yang membina akan memudaratkan lagi keadaan seseorang.

Janganlah mengukir nama sultan di atas peluru lagi!

Ampun Tuanku, berhati terbukalah kepada rakyat jelata! - Malaysia Chronicle

AWER: 30 hari lagi untuk muktamadkan rundingan semula PPA

AWER


Rundingan semula PPA masih berlarutan tanpa kesudahan disebabkan jalan buntu di antara permintaan kerajaan, Penjana Bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad. Adakah penyelesaian berpaksikan rakyat (people centric) dapat dimeterai seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri? Adakah IPP akan terus mencabar janji Perdana Menteri?

Dalam sektor tenaga elektrik, kerajaan dan perunding yang dilantik terlalu risau bagaimana peniaga (IPP) akan terjejas disebabkan rundingan semula. Sebenarnya, IPP generasi pertama telahpun mendapat balik pulangan pelaburan mereka pada kadar kurang daripada 10 tahun. Sekarang, kerajaan dan perunding yang dilantik sepatutnya lebih risau tentang jumlah pelaburan lain yang kita akan hilang jika IPP masih dilindungi dan kadar tarif masa depan kekal tidak kompetitif. Seorang peniaga tahu bagaimana untuk berniaga; rundingan semula adalah sebahagian daripada perniagaan. Ia menjadikan peniaga kompeten dan beretika.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) juga telah mencadangkan model rundingan semula yang lebih munasabah di laporan kami yang bertajuk "Perjuangan- Masa Depan Industri Elektrik Negara" yang telah dilanjutkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk tindakan mereka pada bulan Jun tahun ini.

AWER juga ingin memberikan contoh rundingan semula untuk industri perkhidmatan air di Johor. Dengan pelaksanaan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006, rundingan semula dilaksanakan dengan cepat dan mengelakkan kenaikan tarif yang tinggi. Ini telah dicapai pada tahun 2009. Ini adalah rundingan semula yang dilaksanakan dalam masa satu tahun dan tiada apa-apa rungutan mengenainya!

AWER berdiri teguh dengan tarikh luput yang telah kami cadangkan kepada perunding PPA bagi proses rundingan semula PPA. 30 November 2011 sepatutnya adalah tarikh terakhir proses rundingan semula. Jika tiada keputusan yang konkrit dan berpaksikan kepada rakyat dicapai melalui rundingan semula PPA, kami menyeru Suruhanjaya Tenaga untuk memulakan bidaan terbuka bagi loji janakuasa yang baru mulai 1 Disember 2011. Rakyat tentu tidak mahu mendengar alasan-alasan seperti tidak cukup masa pembinaan atau proses bidaan yang dikompromi atau keputusan-keputusan yang tidak berpaksikan Rakyat selepas ini.

Ketelusan dalam penetapan tarif dan memecahkan struktur pengebilan adalah penting. Ini adalah proses yang mudah untuk dilaksanakan kerana ia hanya melibatkan pengurusan pangkalan data (database management). Pemecahan kos elektrik telahpun dilaksanakan oleh negara jiran kita seperti Filipina dan Thailand. Kami tidak faham mengapa terdapat keengganan yang tinggi oleh sesetengah pihak untuk melaksanakan perkara ini. Kami menyeru Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk melaksanakan Incentive Based Regulation (IBR) dengan pindaan yang kami cadangkan (untuk mengawalselia sektor penjanaan) dengan kadar segera. IBR dirangka untuk memastikan kecekapan dalam perkhidmatan dan penetapan tarif yang saksama, sama seperti penstrukturan semula industri perkhidmatan air.

Di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), Suruhanjaya Tenaga telah diberikan kuasa luas untuk mengawal selia industri tenaga elektrik. Seksyen 4 akta ini yang mentakrifkan fungsi-fungsi Suruhanjaya Tenaga telah memberikan penerangan jelas mengenai mandat ini melalui subseksyen (b), (c), (d),(l), (la) and (m). Maka, kami menyeru Menteri KeTTHA untuk memastikan Suruhanjaya Tenaga melaksanakan fungsi-fungsi yang sepatutnya supaya dapat melindungi kepentingan setiap lapisan pengguna.

*Kenyataan media oleh Piarapakaran S. (gambar kanan) selaku Presiden PersatuanPenyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Hak Asasi manusia ancam kerajaan?

Hafiz Zainuddin


Kalau tidak disebabkan perjuangan hak asasi dan misi kemanusiaan, tidak perlulah susah-susah kerajaan Malaysia menghantar misi bantuan ke Palestin. Begitu juga dengan misi kemanusiaan kelab Putera 1Malaysia sehingga menyebabkan terkorbannya jurukamera Bernama, almarhum Noramfaizul semasa di Somalia.

Kita imbau kembali detik bersejarah 1 Mei 1886, bagaimana atas semangat memperjuangkan hak asasi telah mencetuskan Revolusi Perindustrian. Ketika itu, seluruh kesatuan-kesatuan pekerja dari Amerika dan Eropah telah berkempen menuntut hak mereka bagi mengurangkan masa bekerja dari 16 jam kepada 8 jam sehari dan segala jenis penindasan oleh majikan.

Ternyata perjuangan hak asasi merupakan perjuangan yang tulus dan murni. Ia sejajar dengan perisytiharan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948 yang dikenali sebagai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Dalam konteks negara kita, setiap rakyat dijamin dalam perlembagaan akan hak-hak tertentu yang jelas, termaktub, harus dipertahan dan diperjuangkan. Antaranya menjamin kebebasan untuk hidup, kebebasan bergerak, bersuara, berhimpun, berpersatuan, hak beragama dan juga hak-hak yang bersangkutan dengan pendidikan. Mana mungkin kita tidak mahu hak yang sepatutnya kita peroleh dinafikan.

Kebimbangan yang tidak masuk akal

Tiba-tiba, kita diberitahu mengenai sebuah kebimbangan yang tidak berasas. Sama sekali tidak boleh diterima dan dilihat terdesak dari seorang yang pernah terbukti menyalahguna kuasa dan melanggar hak asasi manusia iaitu mantan Ketua Polis Negara Rahim Noor.

Dia terbukti dalam Suruhanjara Diraja sebagai pelaku yang menumbuk sehingga menyebabkan kecederaan dan mata lebam pada Anwar Ibrahim (gambar kanan) ketika soal siasat dijalankan di lokap ketika itu.

Pada perhimpunan agung PERKASA kedua yang dijalankan baru-baru ini, Rahim Noor secara terang menyatakan kebimbangannya pada gelombang hak asasi yang memungkinkan negara jatuh dan terjajah malah dikaitkan pula dengan kebangkitan komunisme, agenda Yahudi, kontrak sosial dan sebagainya.

Semua ini adalah gambaran yang meleset pada nilai-nilai sejagat dan dilihat menyebarkan doktrin yang salah, tidak matang dan secara tidak langsung mampu untuk mewujudkan suasana yang tidak senang di kalangan rakyat.

Agama baru, human right?

Di kala rakyat mula celik dan semakin bijak; semakin sedar untuk keluar dari kepompong yang menindas, rakyat telah bangkit dan menuntut hak-hak mereka dibela; soal keadilan, pilihanraya yang bersih, kebebasan bersuara, gaji minima, kenaikan harga barang, isu diskriminasi wanita dan gender, kemiskinan, keselamatan dan sebagainya, perjuangan untuk menuntut hak asasi telah dipandang sesuatu yang berbahaya. Kita patut berasa hairan, apa dan siapa sebenarnya yang berbahaya?

Sebagai seorang tokoh yang pernah berkhidmat dalam PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang, Rahim Nor cuma memalukan dirinya sendiri. Dia telah silap. Ibarat perangkap makan tuan. Dengan dakwaan perjuangan hak asasi yang dikaitkan sehingga cuba mempersoalkan institusi beraja, kita semua harus ketawa.

Penghinaan terhadap institusi beraja

Sejarah membuktikan siapa sebenarnya yang mempersoal kuasa raja sehingga menyebabkan krisis perlembagaan tahun 1983 dan 1991. Pindaan perlembagaan telah dibuat oleh mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang mengurangi kuasa sultan dan raja. Krisis perlembagaan tersebut sangat jelas menunjukkan siapakah yang telah menyentuh kuasa raja, bukannya Aziz Bari yang cuma memberi pandangan beliau terhadap titah sultan Selangor sehingga dianggap sebagai penderhaka.

Kita juga tidak akan lupa bagaimana media-media arus perdana ketika itu bertalu-talu menyerang institusi beraja secara terang dan lancang. Apakah ini perbuatan menghina raja? Tentu sekali ya!

Pembodohan atau perpaduan?

Dalam menyentuh soal "perpaduan Melayu" dan kontrak sosial, kita harus fahami apa yang telah menyebabkan isu ini berbangkit dan apa pula rasional untuk "bersatu" di bawah pentadbiran yang korup dan menindas.

Perkara ini tidak perlu dijelaskan secara terperinci, kita semua telah sedia maklum bagaimana sejumlah wang negara tiris akibat salahguna dan rasuah dalam laporan audit negara 2010 baru-baru ini. Ia merupakan isu yang berbalik kepada soal integriti, ketelusan dan kecekapan mengurus kerajaan.

Apakah kita sebagai pembayar cukai mahu wang kita yang dipungut setiap hari dan setiap tahun ini disalahguna oleh kerajaan? Tentu sekali tidak. Apakah Rahim Noor cuba untuk menutup isu sebenar yang terjadi?

Hak asasi manusia, hak kita


Kita harus bertegas. Soal perjuangan hak asasi manusia sama sekali tidak ada kena mengena dengan soal "bangsa" apatah lagi selama ini lebih separuh abad rakyat telah memberi kepercayaan dan mandat mereka kepada pentadbiran sedia ada. Dan, apabila rakyat mula bersuara bertanyakan hak asasi mereka, suara-suara rakyat ini dituduh sebagai ancaman dan "menghakis dasar yang dipersetujui selama…" dan sebagainya. Tuduhan sebegini mengarut!

Kembalilah kepada asas perjuangan hak asasi, ia adalah keperluan dan keutamaan semua kita. Jauh lebih mendasar kepada hak-hak kita sebagai rakyat yang perlu dipelihara sebaik mungkin melampaui batas agama, bangsa mahupun ideologi politik. Dan kita takkan mendengar lagu-lagu Inonesia yang lain selain dangdut dan keroncong, juga filem-filemnya yang hebat melainkan setelah rakyatnya membebaskan diri dari cengkaman orde baru lantas merampas kembali hak asasi mereka untuk bekarya, dan lagi dan lagi…!

*Hafiz Zainuddin ialah kolumnis MerdekaReview.

Umno guna isu seks sesama sendiri?

Pendedahan berani bercampur tidak bermoral ini membuktikan inilah stail politik dan amalan orang Umno.




PETALING JAYA: Peperangan skandal seks dalam Umno demi menjatuhkan lawan dianggap semakin berleluasa apabila seorang janda membuat pendedahan berani yang dikatakan melibatkan seorang Ketua Bahagian Umno di Kelantan baru-baru ini.

Rakaman VCD pengakuan tersebut yang telah mula tersebar di Kelantan itu dikatakan dibuat oleh pihak di dalam Umno sendiri berikutan pihak yang melakukan temuramah tersebut dikenal pasti merupakan ahli Umno.

Demikian menurut penulis politik terkenal yang merupakan Ketua Pengarang akhbar Siasah, Mohd Sayuti Omar di dalam blognya, Merah Tinta MSO baru-baru ini setelah menonton VCD pengakuan tersebut.

“Tetapi dari VCD pendedahan berani bercampur tidak bermoral ini membuktikan inilah stail politik dan amalan orang Umno.

“Membuat pendedahan untuk memalukan seseorang tidak menjadi masalah kepada mereka, apa yang penting kepuasan batin kerana berjaya mengaib dan kemudian menjatuhkan lawan.

“Kerana saya mempercayai orang yang menjadi tukang interview itu adalah orang Umno, maka saya yakin ia adalah kerja Umno juga,” tulis beliau di dalam blognya.

Taktik seks makan diri

Beliau menganggap menggunakan isu seks telah menjadi satu trend politik baru dan kesan yang memakan diri berikutan sikap Umno sebelum ini yang dikatakan telah mencipta video lucah bagi memburukkan tokoh tertentu tidak berapa lama dahulu.

“Nampaknya menjatuhkan kawan dengan menyebarkan video lucah dan pendedahan berani ini menjadi satu trend baru dalam politik negara ini.

“Mungkin inilah yang diajar atau hasil ilham orang-orang Umno yang mereka cipta video lucah untuk memburukkan tokoh tertentu ia kini telah memakan diri sendiri,” menurutnya.

Sayuti juga mendakwa bahawa beliau amat yakin dapat mengecam individu yang melakukan temuramah di dalam rakaman pengakuan janda dirogol tersebut.

“Suara sang interview janda itu saya dapat cam dengan cerat, dia lelaki dan bekas seorang artis tumpangan yang berlakon dalam sebuah komedi pada tahun 90-an.

“Kalau diminta untuk membuat kawad cam, saya sedia tampil kerana saya kenal benar dengan perantara itu,” tulis beliau lagi.

Dirogol hingga mengandung

Dalam pendedahan tersebut, janda yang dikatakan sebagai mangsa itu mendakwa beliau telah dirogol oleh individu berpengaruh
terbabit di sebuah hotel di Golok sehingga menyebabkan beliau mengandung.

“Dia ajak saya berjumpa dengannya, mulanya hendak berjumpa di Rantau Panjang, tetapi disebabkan dia bimbang diketahui orang sebab dia orang politik ramai orang kenal, dia mengajak saya ke Golok.

“Di Golok, dia menempah sebuah bilik hotel, sebaik masuk bilik hotel, ketua bahagian terus membuka seluar, baju dan memaksa dia bersetubuh dengannya.

“Saya cuba menolak tetapi apakan daya kudrat saya sebagai perempuan, akhirnya tepaksa mengalah.

“(Selepas itu) saya memberi tahu kepada dia mengenai keadaan diri saya, saya ingat dia orang baik dan benar-benar mahu menerima saya sebagai isteri, tetapi tidak, dia minta saya menggugurkan kandungan dan memberi RM600 untuk tujuan itu,” dakwa wanita itu dipetik dari blog terbabit.

Sayuti juga difahamkan bahawa wang RM600 itu telah diberi melalui seorang wanita lain yang mempunyai kaitan dengan sebuah NGO terkenal di Kelantan yang dipimpin oleh seorang Ahli Parlimen yang pernah melompat parti.

“Saya difahamkan wang RM600 itu diberi melalui seorang perempuan yang merupakan bekas kepada sebuah pertubuhan NGO yang terkenal di Kelantan suatu masa dulu yang dipimpin oleh seorang ahli Parlimen lompat,” menurut beliau.

Wanita tersebut juga mendakwa selain beliau, beberapa wanita lain pernah menjadi mangsa nafsu buas pemimpin Umno terbabit tanpa mengira samada berstatus isteri orang mahupun anak dara termasuklah seorang isteri serta anaknya sekali.

“Banyak lagi yang jadi mangsa dia ini, termasuk seorang isteri orang bersama anaknya sekali, siang dipikul anak, malam dia gendung emak,” kata wanita di dalam rakaman pengakuan itu lagi.

NGO Islam gesa Pahang halang konsert 'gay'

MALAYSIA KINI

NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pahang menuntut kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap bantahan pelbagai pihak terhadap konsert rock Elton John di Genting Highlands bulan depan.

Yang Dipertuanya Rushdan Abdul Halim berkata, konsert itu akan memberi kesan kepada sosiobudaya masyarakat setempat, terutama remaja Melayu Muslim.

NONE“Seseorang yang telah menjadi ikon kepada golongan gay atau homoseksual yang sememangnya bertentangan dengan Islam dan nilai murni masyarakat bertamadun tidak harus dibenarkan untuk membuat pertunjukan konsert di negara ini kerana ia akan menjadi ikutan atau idola kepada remaja yang kini dilaporkan menghadapi krisis kecelaruan identiti yang membimbangkan,” katanya.

Agensi berita antarabangsa AFP pada 25 Oktober lalu melaporkan, seorang pemimpin Pemuda PAS menggesa kerajaan mengharamkan konsert yagn dijadual pada 22 November ini kerana didakwa akan merosakkan akhlak umat Islam.

Pendirian itu mengundang pelbagai reaksi, antaranya oleh bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menasihatkan supaya parti Islam itu tidak meniru pendekatan kumpulan Taliban.

Pemuda MCA mendakwa Pemuda PAS mempolitikkan aktiviti sosial dan bakal menjejaskan sektor pelancongan di negara ini.

Gaya hidup songsang

Manakala Setiausaha agung MCA Chai Kim Sen (bawah) pula berkata, PAS tidak henti-henti menimbulkan masalah dengan memberikan kenyataan yang tidak masuk akal.

Dalam kenyataannya hari ini, Rushdan berkata, oleh kerana Genting Highlands berada dalam negeri Pahang, sudah pasti pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk menghalangnya daripada berlangsung.

“Sebagai umat Islam azlanyang bertanggungjawab, kita tidak seharusnya bimbang kepada kebebasan bukan Muslim kerana majoriti bukan Muslim yang berpegang kepada agama dan nilai murni manusia bertamadun juga tidak akan suka muda mudi mereka terpengaruh dengan cara hidup gay dan mereka hidup dalam sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama negara, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut beliau, kebebasan beragama kepada bukan Islam yang digariskan perlembagaan berkaitan upacara atau amalan agama, tetapi bukan cara hidup songsang yang mengenetepikan semua nilai agama.

Beliau berkata, ISMA menuntut supaya konsert tersebut dinilai semula dan diambil tindakan sewajarnya kerana ia telah berulang dua kali selepas persembahan artis antarabangsa Adam Lambert tahun lalu.

“Konsert yang dirancang daripada kumpulan artis gay ini menunjukkan seolah-olah ada pihak tertentu ingin membuat promosi gaya hidup songsang (gay) mereka ke negara Malaysia,” kata Rushdan.