Rabu, 31 Ogos 2011

UMNO & Gerakan berebut Dun Bachang

KL TODAY



Parti Gerakan akan terus bertanding pada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Bachang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.Beliau berkata walau pun kerusi itu dimenangi DAP pada PRU 2008, Gerakan telah membuat persiapan rapi bagi merampas kembali kerusi itu yang diperuntukan kepada parti itu oleh Barisan Nasional (BN) sejak 1995.

“Parti Gerakan sedang giat bekerja bagi memenangi semula kerusi DUN Bachang, kami bekerja dalam satu pasukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Melaka di sini, Ahad.

Tsu Koon mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam bahawa Umno atau MCA mungkin akan bertanding di DUN itu pada PRU ke-13 kerana peluang untuk BN menang di Bachang adalah lebih baik sekiranya Umno atau MCA yang bertanding.

Tsu Koon berkata walau pun partinya kalah bagi kerusi itu pada PRU 2008 tetapi kerusi itu telah dimenangi oleh Gerakan dengan majoriti yang besar pada PRU 1995 dan 2004.

“Memang pada 1999 kita tewas dengan majoriti 41 undi kerana pada waktu itu ada isu yang bersabit dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim di mana kita hilang banyak pengundi Melayu dan juga Cina tetapi kita menang balik pada PRU 2004.

“Pada PRU 2008 itu berlakunya ‘tsunami politik’ di mana banyak kerusi lain yang ditandingi parti-parti lain dalam BN pun kalah,” katanya.

Beliau berkata kenyataan yang dibuat oleh Mohd Ali, yang juga Pengerusi BN Melaka itu, boleh menjejaskan semangat BN dan sepatutnya perkara itu dibawa berbincang secara dalaman.

Ditanya sekiranya parti itu ditawarkan bertanding di kerusi DUN lain, beliau berkata parti itu sudah bekerja untuk rakyat di Bachang sejak 1995 dan kini mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi untuk memenangi semula kerusi tersebut.

Selasa, 30 Ogos 2011

Wan Ahmad: ‘SPR tidak manipulasi pilihan raya, memihak BN’

THE MALAYSIAN INSIDER



Wan Ahmad: Kadangkala, terdapat cadangan yang dianggap baik untuk dilaksanakan, tetapi jika dihalusi dari sudut-sudut lain ia mungkin belum sesuai untuk dilaksanakan di negara ini.
KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terus berhadapan dengan kritikan pihak tertentu mempertahankan agensi itu sambil berkata, pihaknya tidak pernah “memanipulasi pilihan raya” dan tidak bertindak bagi pihak Barisan Nasional (BN).

“Dakyah pihak tertentu yang menuduh SPR memanipulasikan proses pengundian dan pengiraan undi adalah satu fitnah dan pembohongan,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

Menerusi tulisan terbaru disiarkan oleh Utusan Malaysia, Wan Ahmad berkata, semasa pilihan raya negeri Sarawak April lalu, tohmahan dibuat mengatakan berlaku di beberapa kawasan penipuan dan perbuatan menukar kertas-kertas undi di tempat mengundi.

“SPR menyiasat dakwaan tersebut melalui pegawai-pegawai SPR dan anggota-anggota polis yang bertugas di tempat-tempat yang berkenaan, terbukti semuanya pembohongan dan cerita rekaan sebagai alasan kekalahan mereka yang terbabit,” katanya lagi.

“Pihak yang membuat tuduhan tersebut telah terlupa bahawa setiap tempat mengundi dipantau dari awal hingga tamat pengiraan oleh ejen-ejen calon yang hadir. Manakala di tempat-tempat lain ada pihak yang kalah mendakwa berlaku rasuah ‘membeli undi’ dengan sogokan wang dan sebagainya. Yang peliknya mengapa mereka berkenaan tidak membuat laporan kepada pihak polis atau SPRM untuk disiasat dakwaan tersebut,” katanya lagi.

Katanya, ada pihak yang bersikap prasangka dengan menuduh SPR mengamalkan sikap pilih kasih dalam hubungannya dengan parti-parti politik di negara ini.

“Tanggapan pihak-pihak berkenaan yang menuduh SPR berpihak kepada parti pemerintah adalah tidak benar. Dalam menjalankan tanggungjawabnya, fokus utama SPR ialah untuk mengadakan suatu pilihan raya yang bebas, telus dan adil,” kata Wan Ahmad lagi.

Wan Ahmad memberi pandangan terbaru ini ketika jawatankuasa pilihan khas bagi pembaharuan pilihan raya bakal ditubuhkan Oktober ini.

Jawatankuasa itu dijangka akan mengemukakan syor kepada SPR untuk melaksanakannya.

Dilihat merujuk kepada syor-syor itu, kata Wan Ahmad, apa-apa cadangan ke arah penambahbaikan sistem atau proses yang dikemukakan oleh parti-parti politik dan pihak-pihak lain, SPR perlu mengkajinya secara teliti dari setiap sudut dan implikasinya.

Katanya, SPR perlu berhati-hati dan perlu mendapat pandangan dari pihak-pihak lain yang berkaitan. Jika perkara-perkara yang dicadangkan itu melibatkan pindaan Perlembagaan atau akta-akta berkaitan, maka SPR perlu mendapat nasihat pihak Jabatan Peguam Negara.

“Dalam bidang urusan pilihan raya, semua pihak harus faham bahawa sesuatu perkara yang difikirkan baik oleh satu pihak itu mungkin tidak dipersetujui oleh pihak lain.

“Kadangkala, terdapat cadangan yang dianggap baik untuk dilaksanakan, tetapi jika dihalusi dari sudut-sudut lain ia mungkin belum sesuai untuk dilaksanakan di negara ini,” kata beliau lagi.

Wan Ahmad menambah, apa-apa perkara berkaitan urusan pilihan raya, semua pihak yang berkepentingan perlu positif dan berfikiran terbuka serta bersedia menerima penjelasan dan keputusan SPR.

Lazimnya menurut beliau,parti-parti politik membuat penilaian dan keputusan berasaskan kepada kepentingan masing-masing yang selalunya pendirian yang berbeza-beza antara satu dengan lain.

“Ini yang menyebabkan kedudukan SPR menjadi sukar dalam usaha untuk membuat sesuatu keputusan yang akan memberi kepuasan kepada semua pihak,” katanya lagi.

Selain parti-parti politik, tambah beliau, SPR juga perlu mengambil kira kepentingan rakyat selaku pengundi dalam pilihan raya.

“Justeru, apa- apa isu yang berbangkit atau cadangan-cadangan yang dikemukakan, demi untuk menjaga kepentingan semua pihak supaya keputusan yang dibuat itu adil dan saksama, SPR perlu melihat semua isu yang dicadangkan itu secara berkecuali supaya apa-apa keputusan yang diambil akan diterima baik dan memberi kepentingan semua pihak yang terbabit,” kata Wan Ahmad lagi.

“Menang atau kalah dalam pilihan raya di negara ini bukan ditentukan oleh SPR tetapi rakyat selaku pengundi yang membuat pilihan. SPR menguruskan pilihan raya bersandarkan kepada undang-undang dan peraturan-peraturan serta prosedur dan tatacara yang ditetapkan. Misinya adalah untuk menguruskan suatu pilihan raya yang terbaik, lancar dan terkawal,” katanya lagi.

Anwar: Populariti PM susut tanda pengundi beralih kepada Pakatan



Anwar Ibrahim kelihatan mesra ketika menghadiri majlis rumah terbuka Menteri Besar Selangor di Dataran Bangunan SUK, Shah Alam. – Foto oleh Choo Choy May
SHAH ALAM – Kemerosotan populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan pengundi mula beralih kepada Pakatan Rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Bagaimanapun menurut Ketua Pembangkang, sokongan di kawasan luar bandar kekal elusif ekoran “propaganda berlebihan kerajaan” Barisan Nasional.

“(Tetapi) saya optimistik jika Pakatan bekerja keras untuk menjelaskan isu dan melihat pada prestasi negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, saya percaya rakyat akan memilih (Pakatan),” kata Anwar kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim di sini.

Populariti Najib menjunam ke paras 59 peratus – penurunan dari 72 peratus, paras paling tinggi, yang direkodkan pada Mei tahun lalu, dipercayai berhubung kait dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan awal bulan lalu.

Kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan arah aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Kadar populariti Najib pernah turun sehingga 56 peratus pada September 2009 – lima bulan selepas menjadi perdana menteri Malaysia yang keenam.

“Seramai 59 peratus rakyat Malaysia mengatakan bahawa mereka berpuas hati dengan prestasi Najib, dalam kajian (kali) ini enam peratus lebih rendah berbanding 65 peratus direkodkan pada Mei tahun ini,” kata Merdeka Center.

Kajian terbaru ini dikendalikan sebulan selepas perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara.

Pada Mei 2009, iaitu sebulan selepas menjadi perdana menteri, populariti Najib adalah 45 peratus dan ia melonjak kepada 65 peratus pada Jun 2009 sebelum menjunam ke aparas 56 peratus pada September tahun yang sama.

Najib Hilang Sokongan, Rakyat Mahu Kjaan Baru

Ditulis oleh Radzi Razak



SHAH ALAM : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kemerosotan tahap kepuasan hati rakyat terjadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan tanda peralihan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Anwar akur Pakatan Rakyat perlu bekerja lebih keras menyampaikan maklumat kepada rakyat luar bandar yang masih di bawah pengaruh UMNO Barisan Nasional.

"Jelas ada trend (tidak menyokong Najib) ini, tapi sekarang ni, terutamanya kebanyakan rakyat luar bandar masih dikongkong propaganda Kerajaan. Tapi saya optimistik dengan usaha Pakatan Rakyat dan prestasi negeri seperti Selangor, Pulau Pinang,Kedah dan Kelantan rakyat akan mengundi Pakatan," kata Anwar kepada wartawan ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau mengulas Kajian Merdeka Center yang melaporkan kepuasan hati rakyat terhadap Najib jatuh ke paras terendah iaitu 59 peratus, berbanding 72 peratus yang dicatatkan Jun tahun lalu.

Kemerosotan kepopularannya dikaitkan dengan tekanan inflasi akibat kenaikan kos bahan api dan elektrik yang diumumkan oleh kerajaan BN.

Merdeka Center juga berkata cara pentadbiran Najib mengendalikan perhimpunan BERSIH 2.0 juga menjejaskan kredibilitinya.

Badan itu turut melaporkan bahawa rata-rata responden yang ditemui faham dan menyokong tuntutan reformasi sistem pilihanraya oleh Bersih 2.0.

Cara kejam, propaganda keterlaluan, pembohongan, fitnah kepada pemimpin Pakatan dan Datuk Ambiga memberi kesan kepada rakyat. Mereka tak mahu lagi ditipu. Apakah jenayah Ambiga? Hanya kerana sokong Pilihan Raya adil?"

Anwar turut memberi amaran bahawa sebarang perubahan polisi Najib sebagai terlewat kerana jelas beliau tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pentadbir yang baik.

"Tak kira disokong atau tidak, wajib menjadi tanggungjawab seorang pemimpin yang dipilih untuk pastikan Pilihan Raya bersih dan adil. Anda tak boleh terus tadbir dan urus rakyat negara ini seperti tahun 1950-an. Libya telah berubah, Syria telah berubah, kenapa Malaysia tidak?" soal Anwar.

MB: Laporan Serbuan Jais Siap Akhir September

Ditulis oleh Radzi Razak


SHAH ALAM 30 OGOS: Laporan siasatan keatas serbuan Jabatan Agama Islam Selangor di Gereja Damansara Utama (DUMC) awal Ramadhan lalu dijangka siap akhir September ini.

Khalid berkata Jais kini dalam proses melengkapkan segala laporan-laporan yang perlu, berkenaan serbuan tersebut.

"Minggu lalu hanya perjumpaan awal, seperti yang anda tahu JAIS masih belum siapkan laporan, jadi kita beri masa. Saya fikir selepas hari raya kami akan memanggil mereka semula," jelas Khalid dalam sidang media sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.

3 Ogos lalu, penguatkuasa JAIS menyerbu gereja terbabit selepas mendapat maklumat adanya cubaan memurtadkan orang Islam di satu majlis makan malam anjuran Komuniti Harapan.

Bagaimanapun, ia dinafikan oleh DUMC dan Komuniti Harapan. Menurut mereka, majlis tersebut adalah acara mengutip derma bagi pesakit AIDS.

Di Jawatankuasa Pendengaran Negeri Selangor 25 Ogos lalu, Jais berkata pihaknya mempunyai 'prima facie' dalam kes berkenaan.

Jawatankuasa yang dianggotai Khalid, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Wahid dan Timbalan Mufti Datuk Abdul Majid Omar belum mahu membuat sebarang kesimpulan sehingga siasatan selesai.

"Saya tak boleh beri kesimpulan lagi, jika saya bagi ia tidak adil bagi JAIS dan komuniti Harapan tersebut, sebab itu saya tidak boleh buat kesimpulan lagi," tegas beliau

Aktivis A2G2 terkejut sambutan hangat di Gaza


a2g2


SEPANG – Misi Aqsa2Gaza2 yang dianjurkan aktivis Aqsa Syarif berakhir sementara apabila 11 aktivisnya yang berangkat ke Gaza minggu lepas selamat kembali ke tanah air semalam.

Ketibaan mereka disambut ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan yang sebahagian besarnya masih belum pulang untuk berhari raya di kampung masing-masing.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus sebelum 9.00 pagi di sini, mereka terus diiring masuk ke bilik tetamu di tingkat lima untuk pertemuan dengan wakil-wakil media.

Setelah sidang media, para aktivis keluar seorang demi seorang dan disambut sebagai wira oleh hadirin yang menunggu di luar. Wajah kegembiraan dan rasa syukur terpancar di wajah terutama apabila bertemu isteri atau suami dan anak-anak yang ditinggalkan.

Dalam satu majlis ringkas yang diadakan di pentas khas di tingkat yang sama, ketua misi Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar berkata, Masjid al-Aqsa di Palestin, sebagaimana Masjid al-Haram di Makkah, adalah satu lagi bumi suci yang menjadi simbol penyatuan umat Islam di seluruh dunia.

Kehadiran peserta A2G2 di Gaza mengutip seribu pengalaman unik penuh motivasi. Mereka terkejut disambut meriah oleh penduduk di sana dan menjadi tetamu kepada tidak kurang lima pihak berwajib tempatan.

“Kami dijemput bertemu Perdana Menteri Gaza Dr Ismail Haniyeh, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan ahli parlimen Gaza dan mengadakan perbincangan untuk meneruskan jaringan kerjasama seterusnya,” jelas Dr Zin yang merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif. Mesej beliau ialah misi A2G2 tidak berakhir di sini tetapi akan diteruskan dengan projek-projek yang telah dirancang bersama.

Sepanjang berada di sana, antara yang menarik dan mengharukanbeliau adalah melihat kecekalan perjuangan serta ketinggian akhlak warga Gaza yang tidak menunjukkan realiti kesusahan hidup. Mereka langsung tidak menunjukkan wajah terdesak mengharap bantuan dan simpati daripada luar, bahkan meraikan kedatangan aktivis Aqsa Syarif dengan hangat, seolah-olah tiada apa-apa berlaku berlaku di sekeliling mereka.

Pada hakikatnya, bak kata Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom sebelumnya, Gaza adalah bumi yang tidak pernah tenteram (daripada ancaman Israel).

Pandangan Dr Zin turut dikongsi oleh anggota misi lain yang tidak dapat melupakan kehangatan tangan penduduk Gaza menyambut dan melayani mereka.

Seorang peserta wanita, Noorazian Anidin dalam nada sebak sempat menyampaikan salam kasih sayang daripada para ibu dan anak-anak Gaza buat seluruh rakyat Malaysia.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan yang menyokong dari jauh. Pemergian saya ke Gaza memberi keyakinan dan motivasi yang kuat untuk terus memperjuangkan bumi al-Aqsa,” katanya disambut laungan takbir daripada yang hadir.

Peserta paling veteran, Dr Mohd Tahir Abdul Rahman, 61, secara berseloroh melontarkan cabaran kepada hadirin, “Insya-Allah dengan kembalinya saya pada hari ini, tiada alasan bagi anda semua, khususnya yang berumur bawah 61 tahun untuk menyertai Aqsa2Gaza seterusnya!”

Turut berucap adalah Pengerusi Aqsa Syarif Berhad, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Nor yang menggelarkan ahli keluarga peserta A2G2 sebagai wira sebenar kerana menurutnya, bukan senang untuk melepaskan pemergian peserta ke satu bumi bergolak yang penuh dengan risiko kematian.

Pakatan Rakyat berjiwa rakyat memartabatkan rakyat

Roketkini.com


GEORGETOWN – Hanya dengan menghayati dan mengamalkan ajaran agama yang mengajak kepada kasih sayang, perpaduan dan saling faham-memahami antara satu sama lain dapat meruntuhkan tembok perkauman.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam perutusan Aidilfitri hari ini berkata harapan beliau untuk Malaysia adalah untuk melihat semua rakyat mendapat pembelaan yang wajar dan adil dari kerajaan.

“Harapan saya ialah untuk melihat ibu-ibu tidak lagi menangis kerana melihat anak-anak kelaparan, bapa-bapa tidak lagi mengeluh kerana tidak mampu menyediakan keperluan keluarga, anak-anak tidak lagi kecewa kerana tidak mempunyai buku, pakaian dan barang permainan.

“Dan warga emas, ibu tunggal serta orang kurang upaya tidak lagi meratap kerana dipinggirkan oleh orang-orang yang menjadi tempat mereka menaruh harapan,” katanya.

Menurutnya, usaha meringankan beban rakyat, khususnya di Pulau Pinang, boleh dilihat dalam program sosial seperti penghapusan miskin tegar, penghargaan warga emas, sumbangan pelajar institute pengajian tinggi awam (IPTA) dan program anak emas, bantuan kepada sekolah-sekolah Agama Rakyat dan para huffaz serta program kebajikan yang memakan perbelanjaan lebih RM40 juta setahun.

“Inilah erti Syawal yang saya harap dapat mengukuhkan semangat kita semua untuk tidak melupakan mereka yang amat memerlukan bantuan, sumbangan dan kasih sayang kita.

“Dengan sedikit tenaga dan keupayaan kurniaan Tuhan, kami telah dan akan terus berusaha untuk melaksanakan yang terbaik untuk semua, terutamanya mereka yang benar-benar memerlukan.

“Marilah kita terus kekalkan kerajaan (Pakatan Rakyat) berjiwa rakyat yang martabatkan rakyat,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat terus berusaha menunaikan kewajipan kepada rakyat dengan urustadbir CAT – cekap, akauntabel dan telus – yang berlandaskan prinsip “amar maaruf nahi mungkar”.

Katanya, urus tadbir baik dan cekap ini telah pun mendapat pengiktirafan di peringkat tempatan dan negara seperti oleh Laporan Ketua Audit Negara dan perunding dana kewangan Tan Siok Choo, yang juga merupakan anak kepada Tun Tan Siew Sin dan cucu kepada Sir Tan Cheng Lock, dua negarawan yang ulung.

Malah, menurutnya, Pulau Pinang baru-baru ini dipuji oleh majalah ekonomi antarabangsa “The Economist” dan Transparency International atas usaha melawan rasuah dan mengamalkan sistem tender terbuka.

“Pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab cuba mainkan sentimen perkauman dengan momokan bahawa kontraktor Melayu akan rugi kerana tidak dapat berdaya saing dalam sistem tender terbuka.

“Hakikatnya ialah 100 peratus kontrak Jabatan Perairan & Saliran bernilai RM35.6 juta dan 99.5 peratus daripada kontrak JKR bernilai RM124.2 juta diberikan kepada kontraktor Melayu.

“Nyata sekali bukan kontraktor Melayu yang tidak dapat berdaya saing tetapi kontraktor bersifat kroni yang tak berguna. Inilah matlamat kerajaan Pakatan Rakyat berjiwa rakyat dengan martabatkan rakyat tanpa kira kaum, agama dan fahaman politik,” tambah beliau.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dan Adun Air Putih menjelaskan beliau sedar masih ada segelintir orang mahu menyempitkan ajaran Islam dengan memburukkan orang lain serta menimbulkan fitnah dan memainkan sentimen perkauman.

Namun, katanya, kerajaan negeri yakin bahawa Islam yang sebenar menggalakkan umat Islam untuk bersahabat dengan sesiapa sahaja yang berhati ikhlas secara penuh kasih sayang tanpa rasa curiga antara satu sama lain.

“Itulah sebabnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengulangi jaminan bahawa ia bukan anti-Cina, anti-Melayu atau anti-India tetapi hanya anti-rasuah sahaja,” ujarnya. – Roketkini.com

Antara propaganda dan fitnah

Oleh Daing Yahya


Sebagai ejen propaganda, media massa seperti lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia atau media milik rakyat yang dikongkong oleh kerajaan Barisan Nasional, iaitu RTM dan media kawalan BN seperti Media Prima yang menguasai TV3, Berita Harian dan New Straits Times, kerja mereka adalah memanipulasi berita atau maklumat bagi tujuan laba politik.

Dengan menyamar sebagai media massa yang mana lessen penerbitan ditentukan oleh UMNO-BN, memang itulah kerja-kerja politik versi 1Malaysia.

Walau pun definisi propaganda itu adalah usaha memujuk orang ramai menyokong sesuatu pihak, bentuk propaganda yang dipilih oleh versi 1Malaysia ini hanya ada sejenis, iaitu fitnah.

Apa itu propaganda

Pada hakikatnya, propaganda adalah satu manifestasi kerja memanipulasi data atau fakta, baik nombor, ayat, frasa atau gerak-geri pelaku yang ianya digunakan untuk mempengaruhi sokongan umum menerusi persepsi.

Ia dilakukan secara sistematik dengan koordinasi yang cekap dan dengan penglibatan banyak pihak, baik secara profesional atau pun tidak. Matlamatnya ialah untuk terus kekal berkuasa atau mendapatkan kuasa.

Kerja memanipulasi data adalah kerja orang bijak pandai dan pakar dalam bidang tertentu, baik politik, sosial atau ekonomi. Manipulator atau propagandis bukan orang yang tidak bijak, mereka ini rajin membaca, mahir menganalisa dan faham tentang ramalan atau jangkaan kepada sesuatu tindakan.

Ini bermakna propaganda bukan kerja seorang pengampu yang gila glamor atau contract junkies atau pemfitnah yang jahil dalam segala ilmu pengetahuan.

Di Malaysia, inilah jenis propaganda yang menjadi pilihan UMNO-BN yang sengaja memilih untuk menjadi pemfitnah. Kerja menfitnah ini amat mudah berbanding kerja seorang propagandis terlatih yang wajib membaca dan menganalisa sesuatu bahan dengan mendalam.

Kerja menfitnah hanya memerlukan niat dan kreativiti untuk menyalin, menyunting, menampal dan menuduh seseorang secara sembrono. Kemudian, hasil kreativiti yang tidak lengkap ini akan digembar-gemburkan menerusi imej-imej panas atau sensasi di media mereka.

Memang dalam jangka pendek, fitnah busuk ini mungkin berjaya. Tetapi setelah kekal berkuasa atau mendapat kuasa melalui fitnah, pemerintah akan berhadapan dengan masalah sentimen dan kemarahan rakyat yang telah mereka api-apikan.

Lihat sahaja apa yang telah dan sedang berlaku di bumi Arab sekarang. Kenang semula apa yang berlaku di Soviet Union dan negara-negara satelit komunis pada zaman kejatuhan komunisme. Semua ini bencana fitnah sebagai propaganda.

Impian sebagai propaganda

Salah satu model propaganda yang tersusun yang boleh dijadikan contoh ialah sewaktu era Presiden Franklin D. Roosevelt sewaktu Amerika Syarikat menghadapi Perang Dunia Kedua (1939-45). Pada ketika itu kerajaan Amerika menggunakan agensi kerajaan, penulis dan karyawan, pembikin filem Hollywood, stesen radio dan media cetak untuk meyakinkan rakyat bahawa peperangan menentang Jerman Nazi dan Jepun adalah untuk survival hidup mereka demi mengekalkan cara hidup Amerika.

Cara hidup Amerika ini yang dikenali sebagai The American Dream benar-benar terkesan di jiwa rakyat negara itu yang semuanya dari keturunan imigran dari seluruh dunia.

Mereka mengisi makna itu sebagai cara hidup yang ideal, bebas dan merdeka berbanding sistem fasis, komunis dan lain-lain yang bersifat kuku besi yang mengekang kebebasan dan menindas.

Mesej untuk rakyat Amerika ialah idea cara hidup Amerika yang dianggap murni itu perlu dipertahankan dengan menghantar anak-anak muda Amerika pergi berperang di Eropah menentang tentera Nazi dan fasis Musolini dan kawasan Asia Pasifik untuk menumpaskan Jepun.

Bahan-bahan propaganda ini diteliti oleh pakar-pakar dalam bidang tersebut. Ia melibatkan karyawan seni, penulis dan pengkritik dalam semua bidang. Sekali pun propaganda mereka tidak dapat lari elemen palsu dan fitnah, asas propaganda itu tetap ada justifikasi dan logiknya. Dengan makna lain, mereka bukan hentam keromo.

Jika boleh dibuat perbandingan di antara propaganda Amerika dengan propaganda Adolf Hitler, amat jauh dari segi kualitinya. Walau pun Hitler dikatakan pakar propaganda pada awal pemerintahannya sepanjang 1930-an, apabila Jerman mula menghadapi serangan balas tentera Bersekutu dan gerila rakyat Eropah sekitar 1943, pihak Nazi mula menggelabah.

Fitnah sebagai propaganda

Rata-rata propaganda Nazi tidak masuk akal, simplistik dan tidak ada asas-asas rasional yang kuat.

Propaganda Hitler lebih menyerupai kerja pembohongan dan fitnah.

Nazi mendakwa kaum Yahudi menjadi penyebab orang Jerman tidak maju, mahu merampas hak kulit putih dan sebagainya. Apabila Hitler mendapat kuasa pada 1933, jumlah penduduk Jerman ialah 66 juta sedangkan rakyat berketurunan Yahudi hanyalah 500,000 atau 0.008 peratus daripada keseluruhan penduduk negara itu.

Untuk membangkitkan kebencian Jerman terhadap Yahudi, dakwaan itu disertakan dengan pelbagai slogan termasuk propaganda bahawa hanya kaum kulit putih keturunan Arya yang menjadi tuan di bumi Jerman.

Apabila sebahagian rakyat Jerman mula percaya dengan slogan ketuanan kulit putih ini, ia memudahkan Hitler dan Nazi untuk meminggir dan menindas kaum Yahudi. Mulanya harta mereka dirampas, mereka diasingkan daripada mendatangi tempat-tempat yang dikhususkan untuk kulit putih dan pelbagai bentuk penindasan lain.

Apabila sebahagian besar rakyat Jerman sudah cukup benci dengan Yahudi kerana termakan fitnah dan yakin dengan propaganda bahawa merekalah bangsa tuan di bumi sendiri, mereka memejamkan mata apabila Hitler dan Nazi mula menyembelih kaum Yahudi secara beramai-ramai; semua ini dilakukan atas dasar ‘kewajipan’.

Kita dapat lihat dengan jelas ke mana arah tujuan hasil dari dari kerja fitnah ini. Sedangkan ia bermula dari fitnah yang dianggap kecil dan tidak logik. Daripada sekadar memecahkan tingkap kedai orang Yahudi pada tahun-tahun 1930-an, Jerman Nazi dikatakan telah membunuh 6 juta Yahudi termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua sehingga akhir perang dunia pada 1945.

Bukan Yahudi sahaja yang disembelih dan dibunuh, kaum-kaum lain juga menjadi korban Nazi atas dasar ketuanan mulia kulit putih Jerman. Lebih lima juta lagi kaum bukan Yahudi dibunuh Nazi termasuk kaum kulit putih Poland, Gypsy, orang cacat dan sesiapa sahaja yang mereka anggap sebagai kaum yang rendah taraf.

Inilah bahana propaganda fitnah.

Hala tuju propaganda UMNO

Dengan itu juga mungkin kita dapat menganalisa ke mana hala tuju propaganda fitnah UMNO ini.

* Logikkah di Malaysia yang majoritinya orang Melayu dan beragama Islam untuk mengatakan DAP sebagai sebuah parti dengan jumlah keahlian kecil begitu berani dan bijak hingga mahu menukar agama orang-orang Melayu menjadi Kristian? Adakah ini cita-cita utama DAP yang terkenal sebagai parti demokrasi sekular?

* Logikkah DAP sebagai parti demokrasi sekular mahu menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian?

* Logikkah DAP sebagai parti demokrasi sosial yang menerima pasaran bebas dengan pemantauan kerajaan bagi memastikan pekerja dan rakyat sentiasa dilindungi, ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara komunis? Di mana logik DAP yang menentang komunisme yang anti-kebebasan dan anti-perniagaan mahu mewujudkan sistem yang ditentangnya sendiri?

* Logikkkah DAP dituduh cauvinis, perkauman dan mementingkan satu kaum sedangkan DAP adalah parti pelbagai kaum dan anti-perkauman? Sedangkan yang sering membuat fitnah itu datangnya dari parti yang hanya mementingkan satu kaum, mahu kepada ketuanan kaum.

Jika pembuat fitnah itu semua mahu menjadi propagandis yang berjaya, dicadangkan mereka meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk membaca buku-buku yang diiktiraf dunia supaya mereka lebih faham apa itu idea sekular, demokrasi sekular, demokrasi sosial, negara Islam, negara Kristian, komunis dan komunisme, serta makna sebenar cauvinis dan perkauman.

Apakah mereka lupa bahawa PAP pimpinan Lee Kuan Yew (yang mana PAP sering dikaitkan dengan DAP) telah bersekongkol dengan UMNO yang diterajui oleh Tunku Abdul Rahman untuk menghancurkan gerakan komunis di Malaya dan Singapura dahulu?

Bawa-bawalah beristighfar, ada banyak lagi perkara yang penting ingin DAP dan Pakatan Rakyat lakukan di Malaysia ini. Memperbaiki pentadbiran negara, memulihkan dasar ekonomi, menyuburkan demokrasi dan kebebasan serta memastikan pelaksanaan keadilan menjadi keutamaan DAP, PAS dan PKR.

Janganlah kerana tidak mampu untuk lakukan ini semua, dicari jalan mudah dengan menabur fitnah yang akan memberi kesan buruk kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Apa guna mendapat kuasa jika rakyat hidup melarat, benci-membenci, malah bunuh-membunuh antara satu sama lain?

Hentikanlah kerja-kerja fitnah terutamanya jika pemfitnah itu mengaku diri manusia beragama. Semua orang sudah beragama, apa perlu sibuk-sibuk hendak menukar agama orang lain. Membuka hati itu bukan kerja manusia. Hanya Tuhan yang menentukan. – Roketkini.com

Kehakiman: Tahniah atas kuantiti, cabaran untuk kualiti

Oleh Muhammad Zir


Kejayaan pihak pentadbiran mahkamah patut dipuji atas pencapaian membanggakan iaitu bilangan kes sivil yang tertunggak di Mahkamah Tinggi dapat dikurangkan daripada 44,873 kes pada tahun 2009 kepada hanya 5,309 kes pada 2011.

Jika dinilai prestasi ini, memang ianya satu pencapaian yang baik sekali.

Kita dapat lihat dengan jelas bahawa, jika kakitangan yang profesional diberi ruang peranan yang kondusif serta sistem kerja yang bebas dari tekanan pihak legislatife dan eksekutif, mereka mampu melaksanakan tugas dan seterusnya mencapai kejayaan dalam urus tadbir perundangan.

Bayangkan jika etika dan profesionalisme ini dipupuk dan dikekalkan semenjak kita merdeka 54 tahun yang lalu, pasti kes-kes yang melibatkan kepentingan awam dapat diurus dengan cekap dan baik.

Imej badan kehakiman kita pula akan terus dipandang mulia dan dihormati, lebih-lebih lagi kepada masyarakat kita.

Jika semua ini kita kekalkan sejak dahulu, sudah pasti kita tidak akan mendengar lagi rungutan tentang ketidakadilan dan kelemahan sistem perundangan, baik yang melibatkan kalangan orang-orang politik, institusi awam seperti PDRM, SPRM dan pelbagai agensi kerajaan yang lain.

Peniaga dan para pelabur akan lebih yakin dengan sistem kita, maka sudah tentu mereka dengan senang hati berani untuk melabur di Malaysia. Sudah tentu ekonomi kita yang lembap seperti hari ini berjaya diimbang kembali.

Hasil dari semua ini, sudah tentu pada akhirnya rakyat juga yang mendapat faedah. Inilah yang dinamakan kemakmuran.

Dalam pujian dan pencapaian yang bagus ini, apatah lagi sempena Ramadhan dan menjelasng Syawal, kita tidak harus terlalu teruja dengan jumlah pencapaian itu.

Ya, benar ia suatu pencapaian, tetapi itu dari segi kuantiti. Cabaran sebenar atau cabaran yang lebih utama adalah kualiti.

Selain kita mengejar jumlah kuantiti, jangan sekali-kali kita terleka hingga melupakan kualiti sistem perundangan kita.

Kes-kes berprofil tinggi seperti skandal PKFZ, pita Linggam, kes kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini serta adik Aminurashid dan Kugan hinggalah kepada kes Anwar Ibrahim, harus ditangani dengan lebih objektif, telus dan adil.

Kes-kes ini bukan sekadar mengharapkan ianya cepat diselesaikan, malah masyarakat mahu ia dilihat adil dan bukan pendakwaan dan perbicaraan terpilih.

Selain dari jumlah penyelesaian kes yang perlu ditingkatkan, kualiti hakim juga harus ditingkatkan.

Bukan sekadar mengatakan hakim kita bersih tetapi ia harus dilihat bersih oleh umum. Persepsi ini harus dibina dan diusahakan dengan gigih oleh semua pihak lebih-lebih lagi pihak badan pengurusan perundangan kita.

Kita akui, tugas hakim bukanlah tugas yang mudah. Jika akta yang dibentang dan diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini mengenai pencen penuh untuk hakim itu boleh meningkatkan kualiti hakim dan badan kehakiman kita, masakan kita ingin menolaknya.

Justeru, kita sebagai rakyat selain ingin mengucapkan tahniah kepada badan kehakiman dan perundangan, ingin sekali kita mengharapkan bahawa jangan sekali-kali kita mengabaikan kualiti hakim dan badan kehakiman kita.

Jika kuih-muih sempena Syawal banyak tetapi harganya mahal dan rasanya tidak enak, tentu kita rasa kurang senang. Samalah dengan pilihan tanpa tanggungjawab.

Kuasa memilih beraneka jenis kuih raya itu banyak, tetapi hasilnya amat mengecewakan. Jangan badan kehakiman kita pula menjadi seperti kuih raya. – Roketkini.com

Kerajaan BN Menghina Mahkamah?

Oleh : SHAIMON S JUMADI
WALAUPUN Mahkamah sudah mengiktiraf sebagai hak pemilikan tanah adat (NCR) secara sah, namun malangnya kerajaan Barisan Nasional masih berdegil dan langsung tidak mengendahkan keputusan Mahkamah; malah bertindak lebih ganas dan memberi tekanan yang cukup berat untuk ditanggung oleh semua pemilik tanah adat terbabit.

Aktivis Masyarakat, Galus Ahtoi yang sentiasa mengikuti perkembangan mengenai pembicaraan kes tanah adat yang sering menjadi mangsa rampasan oleh pihak yang bernafsu serakah, tamak dan rakus; menjelaskan bahawa kelmarin (26 Ogos 2011), Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Rahman Sebli telah memberikan kemenangan kepada para pemilik tanah adat (NCR), orang asal khususnya; penduduk kampung Lakang Paitan, Beluran dalam kes pembicaraan tersebut.

Galus yang menghubungi Sabahkini.Net Wilayah Sandakan kelmarin antara lain menjelaskan Pejabat Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Beluran telah mengakui bahawa penduduk Kampung Lakang mempunyai hak melalui Tanah Adat (NCR) tetapi kemudian ‘Diterbalikkan’ atau diputar belitkan oleh keputusan Pengarah Tanah dan Ukur dengan menggunakan Seksyen 42, Ordinan Tanah Sabah Bab 68.

Justeru itu sebuah syarikat yang terbabit dalam pencerobohan tanah tersebut kemudiannya masuk ke kampung dan memusnahkan tanah adat kepunyaan penduduk-penduduk kampung tersebut.

“Saya bagi pihak pemilik tanah adat yang menjadi mangsa rampasan oleh lanun-lanun darat mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Kong Hong Ming yang sentiasa bersama-sama berjuang habis-habisan untuk membela nasib penduduk kampung dalam menegakkan keadilan untuk mengembalikan hak-hak kepada pemilik asal tanah tanah tersebut tersebut,” tambah Galus.

Sebagai anak watan Sabah, kata Galus, mangsa terbabit telah bersumpah dengan darah binatang yang dikorbankan bahawa mereka tidak akan mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum ke 13 nanti, kerana wakil rakyat yang ada sekarang jelas bersekongkol dengan orang-orang Semenanjung untuk membolot semua harta dan hak rakyat Sabah terutama sekali di kawasan Beluran, khususnya tanah-tanah adat,” jelas Galus lagi.