Sabtu, 30 Januari 2010
PAS tolak usaha jahat hidupkan api perkauman
BUTTERWORTH: Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat menolak usaha jahat golongan tertentu yang mahu menghidupkan api perkauman di samping melihat negara tidak tenteram, aman dan menjadi kacau bilau.
Pengerusinya, Dr Mujahid Yusof Rawa, membidas sikap mereka yang tidak bertanggungjawab yang sengaja meleparkan kepala babi ke halaman dua buah masjid, baru-baru ini.
"PAS menolak perbuatan yang mahu melihat api perkauman menjadi serius sekaligus
menghancurkan Malaysia secara beransur-ansur, " tegasnya kepada media sejurus dialog dengan masyarakat Kristian di Church Of The Nativity Of The Blessed Virgin Mary (NBVM), Chain Ferry, di sini semalam.
Beliau juga menasihatkan semua rakyat supaya tidak terpengaruh dengan tindakan pihak tertentu yang sengaja mengambil kesempatan terhadap isu kalimah Allah sedangkan usaha sedang dibuat oleh pihak mahkamah, peringkat kementerian atau ahli politik berjumpa seluruh rakyat menerangkan kebaikan Islam.
Tambahnya, ianya bukan bertindak membakar gereja, membuang kepala babi di halaman masjid dan sebagainya.
"Rakyat Malaysia sebenarnya bijak mengambil keputusan tidak terburu-buru dengan peristiwa yang terjadi sebaliknya berhati-hati kerana mahu jadikan Malaysia aman dan damai," tambahnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.
Beliau juga berkata, selain pihak polis parti-parti politik juga boleh menjadi pemantau untuk memastikan kejadian yang boleh mengucar kacirkan perpaduan kaum di negara ini tidak berulang.
Bakar gereja: PAS selar campur tangan Hishammuddin
KUALA LUMPUR: PAS menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang melarang polis mengambil keterangan daripada Naib Presiden PKR, Azmin Ali, yang sebelum ini mendakwa mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat dalam kes membakar dan mendalangi serangan ke atas gereja Metro Tabernacle, baru-baru ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sebagai Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin tidak boleh memberikan arahan sedemikian demi untuk melindungi ahli partinya.
“Setiap kali ada kes jenayah dilaporkan, polis sering meminta bantuan orang ramai untuk mengumpul maklumat. Tetapi bila sudah ada orang yang mahu tampil memberikan maklumat dan bukti, kenapa perlu dihalang?” ujarnya kepada Harakahdaily.
Katanya, walaupun Hishammuddin adalah menteri yang bertanggungjawab, namun bila wujud kes yang melibatkan kepentingan parti dan ahli Umno, maka beliau wajar mengumumkan untuk tidak masuk campur dan menyerahkan urusan siasatan kes berkenaan di bawah tanggungjawab Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sepenuhnya.
Dalam keadaan sebegitu, ujarnya lagi, rakyat jelas melihat bahawa beliau cuba untuk menafikan maklumat Azmin, dan cuba untuk menghalang bukti-bukti disalurkan kepada pihak polis untuk mendakwa suspek.
Idris mengambil contoh dalam Kes Teoh Beng Hock sebelum ini di mana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan pantasnya dipanggil memberikan keterangan berikutan dakwaan beliau bahawa Beng Hock dibunuh.
“Tetapi kenapa bila Azmin berkata beliau mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat membakar gereja, beliau tidak dipanggil memberikan keterangan,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, PAS mendesak supaya polis bersikap profesional dan tidak tunduk kepada arahan menteri dan bersubahat menafikan maklumat dan keterangan rakyat.
Menurutnya, jika perkara itu dibiarkan, tidak mustahil selepas ini, ahli-ahli Umno boleh melakukan apa sahaja jenayah dan tidak perlu disiasat walaupun ada rakyat yang mempunyai maklumat dan bukti.
Tambahnya, PAS bertegas agar polis mengambil keterangan Azmin bagi mengesahkan sama ada dakwaan beliau benar atau tidak.
Jika benar, katanya ahli Umno terlibat merancang perbuatan itu, maka PAS dan rakyat Malaysia melahirkan rasa sedih di atas perbuatan yang memalukan negara.
Kes Murtad Di Selangor Catatkan Penurunan
SHAH ALAM: Statistik kes murtad yang dilaporkan di Selangor mencatatkan penurunan pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata sebanyak 109 kes murtad dilaporkan di negeri itu sejak tahun 2007 hingga 2009.
“Pada tahun 2007 terdapat 27 kes, 2008 42 kes, 2009 ia mencatatkan penurunan dengan 40 kes dilaporkan dan setakat bulan Januari 2010, telah ada 3 kes,” katanya kepada mStar Online di sini hari ini.
Menurut Mohamed Khusrin, terdapat unit khas yang diwujudkan di Jabatan Mufti dan mereka yang hendak keluar Islam akan dipanggil untuk menjalani sesi kaunseling tersebut.
"Setakat hari ini sebanyak 13 kali panel unit khas ini telah bersidang dan memanggil mereka yang terlibat," katanya.
Jelasnya, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi seseorang itu untuk keluar Islam antaranya ialah masalah perkahwinan terutamanya di kalangan mualaf.
"Apabila perkahwinan sesuatu pasangan itu bermasalah seperti suami tidak bertanggungjawab dan ada juga yang menerima ugutan daripada keluarga asal mereka.
"Hal ini menyebabkan golongan mualaf tersebut menghadapi tekanan dan menyebabkan mereka mahu kembali kepada agama asal mereka," ujarnya.
Tambahnya, ada juga kes terpencil seperti mangsa memang bukan beragama Islam ketika dilahirkan namun nama yang terdapat dalam kad pengenalan mereka nama Islam.
"Kes ini banyak berlaku di kawasan ladang dan pedalaman. Nama mereka Islam tapi mereka memang tidak amalkan ajaran Islam. Jadi mereka memohon untuk menggurkan nama Islam dalam kad pengenalan mereka.
"Dalam masa yang sama, berdasarkan siasatan yang dijalankan kita dapati pengaruh rakan sebaya turut menyumbang kepada kes murtad ini. Mereka mendakwa Islam pada nama sahaja dan tidak mengamalkan ajaran agama," katanya.
Mengulas lanjut isu berkenaan, beliau berkata, permohonan untuk keluar daripada Islam atau murtad hanya boleh diputuskan olrh Mahkamah Syariah.
"Sebelum sesuatu kes di bawa ke mahkamah jawatankuasa khas ini akan memberi kaunseling dan sekiranya kaunseling tidak berjaya untuk bawa mereka yang ingin kembali kepada ajaran agama.
"Jadi kita akan serahkan kepada pihak mahkamah untuk putuskan tindakan selanjutnya," katanya.
Setakat ini, Mahkamah Syariah di Selangor belum ada sebarang keputusan untuk membenarkan kes murtad atau keluar daripada Islam.
Dalam menangani masalah murtad di negeri itu, Mohamed Khusrin berkata, Unit Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan mengadakan sesi kaunseling dan penerangan kepada orang ramai.
Bagaimanapun, katanya, isu keluar Islam melibatkan akidah dan pendirian agama seseorang itu sukar untuk diubah dan ia mengambil masa yang panjang.
"Bagi saya ini satu tugas yang berat dan kita tetap akan teruskan sehingga kes-kes tertunggak ini selesai.
"Kebanyakan golongan yang terlibat dengan kes murtad ini ialah mereka yang berusia di awal 30 an dan mereka ini masuk Islam kerana perkahwinan.
"Mereka kebanyakannya mengalami masalah rumah tangga setelah berkahwin selama 3 hingga 5 tahun,” ujarnya.
Mohamed Khusrin turut mengakui bahawa isu penggunaan kalimah Allah memberi impak kepada golongan mualaf kerana ia menimbulkan kekeliruan kepada mereka.
"Sebab itu kita berharap isu kalimah Allah ini tidak dipolitikkan oleh mereka yang tidak faham tentang isu ini.
"Kita harap golongan ini tidak bercakap dan cuba mentafsir isu itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam terutamanya golongan mualaf dan mereka yang sedang dalam dilema untuk keluar Islam.
"Biarlah isu ini ditangani oleh pihak berkuasa berdasarkan enakmen dan undang-undang negeri sedia ada.
"Berdasarkan laporan yang kita terima semalam, pihak kami mendapati individu dan tokoh politik menggunakan masjid sebagai pentas untuk menyampaikan ceramah dan tazkirah bersifat politik dalam isu penggunaan kalimah Allah ini,” katanya.
Tegasnya, perkara tersebut tidak wajar dilakukan kerana ia akan hanya menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam kerana masjid dan surau sepatutnya dijadikan tempat beridat dan menyampaikan ajaran agama.
"Kita harap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini menghentikan perbuatan sebegitu kerana perkara ini termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam), Negeri Selangor Tahun 1988.
"Kita telah menyenaraikan beberapa perkataan lain seperti baitullah, solat dan alhamudillah antara yang dilarang penggunaannya oleh orang bukan Islam," katanya.
Bagaimanapun, katanya, dari segi penguatkuasaan ada beberapa perkara yang menyukarkan kita untuk mengambil tindakan.
Namun demikian, Mohamed Khusrin menegaskan bahawa JAIS akan tetap menyiasat setiap kes yang dilaporkan dan pihaknya akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang didapati bersalah.
Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.
Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Exco Pemuda nafi desak Khairy letak jawatan
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim menafikan dakwaan wujud desakan daripada Exco pergerakan itu supaya Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin meletak jawatan.
Razali berkata, laporan sebuah laman blog yang mendakwa dua pertiga Exco Pemuda bersedia meletak jawatan untuk membolehkan pemilihan semula pergerakan itu diadakan dalam mesyuarat Exco, kelmarin adalah tidak benar sama sekali, sebaliknya mereka mencabar semua ahli supaya melepaskan jawatan masing-masing sekiranya tidak mampu menggalas tugas yang semakin mencabar dalam pergerakan itu.
“Apa yang berlaku, masing-masing dahagakan peranan untuk meningkatkan kerja dalam parti dan apa yang dinyatakan mungkin disalah tafsir dan diguna pihak tertentu yang berkepentingan.
“Yang disebut sebenarnya, kalau tidak mampu, kita letak jawatan. Maknanya bukan Ketua saja tapi semua Exco.
“Itu cabaran, bukan seperti digambarkan dalam blog, seolah-olah semua mahu letak jawatan,” katanya selepas majlis ramah mesra bersama pemimpin pelajar Kelab Umno Korea di ibu pejabat Umno di sini, semalam.
Beliau mengulas laman blog itu yang mendakwa mendapat maklumat mengenai seorang Exco Pemuda yang mendesak Khairy meletak jawatan kerana kegagalan beliau menterjemahkan hala tuju Pemuda selari dengan kepemimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat Exco pergerakan itu, kelmarin.
Selain itu, dua pertiga Exco Pemuda juga didakwa kononnya sedia meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan semula pergerakan itu diadakan sekiranya selari dengan kehendak perlembagaan parti.
Sementara itu, Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, membidas tindakan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali yang membuat tuduhan yang disifatkan beliau sebagai tidak bertanggungjawab dan seolah-olah mahu menggambarkan Pemuda Umno mendalangi insiden kebakaran gereja Metro Tabernacle di sini, awal bulan ini.
Katanya, sebagai ahli politik yang berpengalaman, Azmin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak sepatutnya mempolitikkan isu sensitif yang dikhuatiri boleh membawa kemudaratan kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Gagal lagi dapat DNA Saiful
PUTRAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi gagal dalam cubaannya untuk mendapatkan dokumen dan material penting termasuk sampel DNA bekas pembantunya, Mohd Saiful Azlan daripada pihak pendakwaan bagi menyediakan hujah pembelaan terhadap tuduhan kes liwat yang dihadapinya.
Ini berikutan keputusan tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria yang bersidang bersama Datuk Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 November tahun lalu membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyekat Anwar daripada dibenarkan akses kepada dokumen dan material itu.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun mempunyai satu lagi peluang untuk mendapatkan dokumen berkenaan melalui permohonan semakan mengikut Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 yang membolehkan Mahkamah Persekutuan menyemak kembali keputusan yang dibuatnya sendiri.
Dalam penghakiman setebal 31 muka surat yang dibacakan oleh Abdull Hamid, ketiga-tiga hakim sebulat suara menolak rayuan Anwar dengan alasan perbicaraan kes liwat terhadap Anwar belum bermula dan pada peringkat ini adalah memadai jika Anwar hanya dikemukakan dokumen berkaitan pertuduhan.
“Pada pandangan kami permohonan perayu (Anwar) ini dibuat pada tahap ‘sebelum peringkat perbicaraan’ dan bukannya ketika ‘perbicaraan sedang berlangsung’. Kami bersetuju dengan prinsip dalam kes ‘Raymond Chia lwn Pendakwa Raya’ bahawa perayu hanya berhak mendapatkan dokumen dan material berkaitan pertuduhan bagi menyediakan hujah pembelaan.
“Sehubungan itu budi bicara mahkamah mengikut Seksyen 51 Kanun Acara Jenayah (KAJ) tidak sepatutnya diguna pakai bagi membolehkan tertuduh dibekalkan dengan dokumen dan material penting sebelum perbicaraan bermula seperti pemeriksaan dokumen dalam prosiding kes sivil,” katanya.
Anwar, 63, didakwa meliwat Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun 2008.
Beliau memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan seterusnya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang yang memberinya kebenaran untuk mendapatkan dokumen terbabit.
Abdull Hamid berkata, peguam Karpal Singh mewakili Anwar berhujah dokumen yang diperlukan anak guamnya adalah penting dan relevan bagi persediaan kes pembelaannya.
“Bagaimanapun, pada peringkat ini hujahan pembelaan bukan lagi satu pertimbangan yang patut diambil kira oleh mahkamah.
“Oleh itu, permohonan perayu tidak sepatutnya menjadi satu ‘perbicaraan mini’ bagi menentukan apakah hujah pembelaannya terhadap pertuduhan itu. Perayu tidak boleh menyatakan apakah pembelaannya pada peringkat ini dan sehubungan itu memerlukan akses kepada beberapa dokumen penting untuk menyokong hujah pembelaannya itu,” katanya.
Selangor dakwa polis sabotaj Thaipusam
Pentas berkenaan bertujuan digunakan bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyampaikan bantuan RM1 juta kepada sekolah-sekolah Tamil dan kuil-kuil Hindhu di negeri itu.
“OCPD Gombak (Abdul Rahim Abdullah) dan pegawai polis lain datang pada jam 6.30pm dan mendakwa ia (perobohan) untuk tujuan keselamatan," kata penyelaras program itu yang juga Ahli Majlis Tempatan Selayang, George Gunaraj.
Beliau juga mendakwa Abdul Rahim telah memberikan kebenaran lisan bagi pembinaan pentas itu ketika mesyuarat menganjurkan sambutan Thaipusam itu.
Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar juga mendakwa mereka telah mendapat kebenaran dari Majlis Perbandaran Selayang.
Beliau berkata arahan pihak polis itu amat mencurigakan dan berkemungkinan besar menjurus kepada lawatan Perdana Menteri Najib Razak hari ini.
Beliau bersama-sama Adun Batu Caves Amirudin Shaari bergegas ke lokasi untuk meninjau tindakan polis ini, dan meminta penjelasan namun polis enggan bekerjasama.
"Kita telah angkat program ini di laman sesawang kerajaan negeri, promosi besar-besaran telah dibuat, ribuan pengunjung tahu akan program ini. Selepas perbincangan dibuat dan persetujuan dicapai, mengapa disaat-saat akhir polis mahu berhentikan acara ini," kata Xavier.
Sambutan Thaipusam adalah sebahagian daripada program pelancongan Selangor Shines yang diusahakan kerajaan negeri bersama Tourism Selangor dan syarikat telekomunikasi Digi.
Sambutan mesra rakyat kerajaan negeri sempena Thaipusam telah dirancang sejak tiga minggu lalu bersama-sama Majlis Perbandaran Selayang, penduduk dan pihak keselamatan.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata pentas konsert itu didirikan di kawasan untuk kenderaan-kenderaan polis.
Khalid berkata polis tidak membantah sekiranya pentas diadakan di lokasi berbeza.
Beliau turut berkata alasan ini telah dimaklumkan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Kita telah pun rancang program ini bersama-sama barisan penganjur, dan Majlis Perbandaran Selayang tiga minggu sebelum Thaipusam.
"Dalam masyuarat itu, pihak polis telah tunjukkan penempatan unit polis sepanjang acara Thaipusam. Pihak MPS telah meluluskan tempat ini untuk acara kerajaan negeri, dan saya bersama-sama polis telah melawat lokasi ini," jawab Xavier.
Xavier menjelaskan tapak dan waktu yang dipilih untuk menganjurkan pesta Thaipusam ini tidak bercanggah dengan aturcara Perdana Menteri Najib Razak.
Katanya, jika Najib turut melawat pesta ini, kerajaan negeri akan mengalu-alukan kedatangan beliau sebagai tetamu kehormat.
Buku terbitan Malaysiakini dirampas
|
Menurut pihak berkuasa, kedua-dua buku berkenaan “boleh mendatangkan ancaman kepada ketenteraman awam dan keselamatan serta memudaratkan soal moral.”
Pada serbuan di Melaka, semalam, sepasukan anggota polis dari ibu pejabat di Melaka melawat kedai buku Popular dan merampas 33 buku berkenaan.
Menurut polis, serbuan dijalankan menurut seksyen 18, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
1Funny Malaysia adalah rangkuman kartun karya Zunar's manakala Where is Justice? pula menceritakan mengenai kematian dan kekejaman polis ketika dalam tahanan. Ia memfokus kepada empat kes utama yang membabitkan Teoh Beng Hock, A Kugan, Altantuya Shaariibuu, dan Anwar Ibrahim.
Mahkamah Tinggi tiada kuasa bicara isu Raja
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan bahawa tindakan Pemangku Sultan Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra
menyingkirkan adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra daripada Majlis Perajaan negeri itu tidak boleh disemak semula.
Hakim Mohamad Ariff Md Yusof berkata sebuah mahkamah undang-undang bukanlah forum yang sesuai bagi membuat keputusan mengenai isu membabitkan hak istimewa.
Katanya, ini kerana sebarang pertikaian perlu diselesaikan sendiri oleh Sultan.
Tengku Muhammad Fakhry, yang juga Tengku Temenggong Kelantan, mencabar keputusan Tengku Muhammad Faris yang menyingkirkannya daripada Majlis Perajaan Kelantan pada 16 Sept tahun lalu.
Mengikut Perkara 5 Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan, majlis itu bertanggungjawab mengesahkan waris takhta dan menentukan sama ada terdapat kekosongan pada takhta disebabkan ketiadaan Sultan di negeri itu untuk tempoh lebih dari setahun.
MCA: Tiada pemilihan baru, hanya 13 letak jawatan
MCA tidak akan mengadakan pemilihan baru bagi barisan kepemimpinannya kerana hanya 13 ahli jawatankuasa pusat (CC) yang menawarkan diri untuk meletakkan jawatan, kata timbalan presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
NONEBagi membubarkan CC supaya pemilihan baru dapat diadakan, sekurang-kurangnya 21 ahli CC atau dua pertiga daripada mereka perlu meletakkan jawatan.
Chua juga mengumumkan perhimpunan agung MCA yang dijadualkan pada Oktober akan diadakan pada 7 Mac ini.
Perhimpunan lalu ditangguhkan apabila kumpulan yang diterajui oleh naib presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai menuntut supaya pemilihan pucuk pimpinan baru diadakan serentak dengan AGM.
Dalam pada itu, bekas naib presiden MCA, Fong Chan Onn seperti dijangkakan dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa disiplin yang baru. Beliau menggantikan Ng Chong Kiat yang meletakkan jawatan berikutan perlantikan Chua sebagai timbalan presiden.
Setiausaha politik, presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, Simon Lim dilantik sebagai setiausaha kerja dan akan dibantu oleh Tee Siew Kiong.
Perlantikkan kedua-dua mereka dilihat sebagai menguatkan lagi cengkaman Ong dan Chua ke atas MCA.
Kes bakar gereja: Tiga mohon dibicarakan
( dikemaskini 2:30pm ) - Dua beradik bersama seorang rakan mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan membakar Gereja Metro Tabernacle di Taman Desa Melawati pada 8 Januari lalu.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat menggunakan bahan letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.
Ketiga-tiga mereka - Raja Muhammad Faizal Raja Ibrahim, 24, Raja Muhammad Idzham Raja Ibrahim, 22, dan rakan mereka Azuwan Shah, 23 dibenarkan diikat jamin dengan RM20,000 sementara menunggu kes itu disebut semula.
Mengikut Seksyen 436, jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.
Hakim SM Komathy Suppiah juga menetapkan 12 Mac untuk sebutan bagi membolehkan semua mereka yang bekerja sebagai penghantar surat melantik peguam.
Suspek kelihatan lemah dan gugup
Sementara itu Bernama melaporkan ketika prosiding, Raja Mohamad Faizal kelihatan menahan kesakitan berikutan muka dan badannya yang melecur teruk manakala pinggangnya terlilit saluran air
kencing dan seluar yang dipakainya pula mempunyai kesan darah.
Pada bahagian lengan kiri adiknya pula juga dilihat terdapat kesan lecur dan bengkak, manakala badan Azuwan tidak menampakkan sebarang kesan lecur tetapi ketiga-tiga mereka kelihatan lemah dan gugup.
Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis pada awalnya memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM20,000 setiap seorang memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan melibatkan kepentingan awam.
Bagaimanapun Raja Mohamad Faizal merayu jaminan dikurangkan kerana keluarganya miskin dan tidak mungkin dapat mengumpul jumlah itu manakala Azuwan emohon jumlah sebanyak RM5,000 sahaja.
Serangan bom api pada 8 Jan lalu mengakibatkan bahagian bawah gereja tiga tingkat di Desa Melawati, Kuala Lumpur itu musnah.
Minggu lalu, lapan orang, termasuk dua beradik dan bapa saudara mereka dikenakan tahanan reman.