Rabu, 28 Januari 2009

Kes Kugan, KP Negeri perlu bercuti hingga siasatan selesai

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne menyeru supaya Ketua Polis Selangor, Dato' Khalid Abu Bakar mengambil cuti tanpa gaji sehingga siasatan kes kematian dalam tahanan, Kugan Ananthan selesai.

Gwo Burne mendesak Khalid bercuti sejajar dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara yang mengklasifikasi kes kematian Kugan Ananthan dalam tahanan polis di Subang Jaya sebagai kes bunuh.

Ujar Gwo Burne, bagi mengelakkan sebarang kecurigaan dari semua pihak bahawa polis akan mempengaruhi siasatan ini, maka Khalid diminta mengambil cuti sehingga siasatan terhadap kes ini selesai.

"Memandangkan kita masih belum melaksanakan Suruhanjaya Bebas Siatan Polis (IPCMC), siasatan polis terhadap anggota polis sudah tentu akan mengundang banyak spekulasi," katanya.

Di Subang Jaya, banyak laporan kes ragut dan pecah rumah dialami sehingga memberi ketakutan kepada penduduk, katanya.

Alasan yang diberikan oleh pihak polis Subang Jaya ialah kekurangan anggota polis yang mengawal di kawasan sekeliling, dakwanya.

Tetapi, insiden yang berlaku kepada pemuda 22 tahun pada 20 Januari lalu yang menunjukkan terdapat kesan-kesan jerut dan lebam yang teruk sehingga mati menunjukkan polis di Subang Jaya tidak melakukan tanggungjawab dengan sewajarnya, dakwa Gwo Burne.

Baginya seolah-olah polis berkuasa dalam memberi hukuman terhadap mangsa tersebut.

"Sebelum gambar-gambar kecederaan selepas bedah siasat dibuat, Khalid mengeluarkan kenyataan bahawa mangsa bunuh tersebut mati kerana kesesakan nafas dan mati selepas meminta segelas air," katanya.

Sungguhpun mangsa tersebut disoal-siasat atas mengesyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah, pihak polis sepatutnya faham atas batas tugas mereka bukannya mendera, katanya.

Kugan ditahan di Kajang pada 15 Januari lalu berhubung kes kecurian kereta. Lima hari kemudiannya, dia meninggal dunia ketika disoal siasat di Balai Polis Taipan, Subang Jaya.

Kematiannya telah mencetuskan bantahan awam menyebabkan keluarganya menangguhkan pengkebumiannya untuk melakukan bedah siasat kedua.

Keluarganya yang tidak berpuas hati dengan kematian Kugan mendakwa didera polis kerana ada banyak kesan kecederaan pada tubuhnya walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematiannya adalah akibat paru-paru berair./wann _

Sudah tiada kerja baru Umno hendak berdemo

Ustaz Idris Ahmad


Terkejut juga apabila membaca laporan Utusan Malaysia On line 27 Januari 2009 yang menyatakan demo bantah tol di Kampung Medan dekat Kampung Dato' Harun, kawasan Petaling Jaya Selatan.

Laporan menunjukkan demo itu dianjurkan oleh Umno bahagian Petaling Jaya Selatan yang berlangsung selama 2 jam bermula 9.30 pagi 26 Januari.

Inilah satu sejarah di Malaysia apabila Umno membantah tol, selama ini apabila PAS dan parti lain daripada Umno buat, kita lihat Umno berpeluk tubuh dan senyum melihat rakyat kena belasah dengan FRU dan telan gas pemedih mata.

Demo anjuran pembangkang dianggap sebagai beruk jalanan seperti yang dikatakan oleh Khairy Jamaludin, ketika nbeliau komen mengenai himpunan BERSIH sebelum PRU 12.

Nampaknya sekarang Umno sudah bertukar wajah dan watak? Ini satu perubahan teori Darwin dalam Umno.

Biasalah sekarang Umno tidak ada kerja, kontrak makin kurang, kerana lubuk emas sudah terlepas di Selangor.

Maka berdemo lah cara untuk hendak tarik perhatian rakyat kenonnya Umno yang memperjuangkan jantung hati rakyat, sedangkana Pakatan rakyat sudah lama mengatakan bahawa Tol (Tindas Orang Lalu).

Pemimpin Umnolah yang duduk sokong sangat tol sewaktu mereka berkuasa dahulu.

Sekarang apabila nyawa Umno sudah berada dipenghujung hayat maka baru mereka sedar tol membebankan rakyat.

Memanglah pemikiran pemimpin Umno selalu lembab dan terkebelakang lebih 100 tahun daripada Pakatan Rakyat.

Demo ini mungkin hendak tarik perhatian kerana mereka kehilangan bekas ketua bahagia Petaling Jaya Selatan Dato' Kepten Zahar Hashim yang menyertai PAS.

Jadi hendak tunjuk kepimpinan sekarang begitu prihatin maka buatlah demo bantah tol untuk hendak bela rakyat.

Bagaimana pun kita bersyukur Umno sudah terima kaedah demo salah satu untuk hendak menuntut hak rakyat.

Kalau ada lagi demo yang melibatkan kepentingan rakyat sila turun bersama-sama untuk bela rakyat. Teruskan usahamu dan jangan hangat taik ayam.

(Penulis adalah AJK PAS Pusat - Editor) - mr_

'Perarakan mayat Kugan bukan politik'

MALAYSIA KINI


Sokongan orang ramai terhadap nasib mendiang A Kugan - dijangka berarak dari Petaling Jaya ke Puchong - bukan perhimpunan politik seperti tanggapan polis, kata sebuah NGO.

Jawatankuasa Pemantau Polis dan Hak Asasi Manusia (JPPHAM) menyifatkan amaran polis untuk bertindak terhadap mereka yang terlibat dalam perarakan tersebut petang ini sebagai "satu lagi bentuk salah guna kuasa" pihak berwajib itu untuk cuba menakutkan orang ramai.

Penyelaras NGO itu S Jayathas menambah, jika polis awal-awal lagi bertindak profesional, perarakan tersebut tidak akan berlaku.

Kugan didakwa mengalami penderaan sewaktu dalam tahanan polis di lokap balai polis Taipan, Subang pada 22 Januari bagi siasatan kes curi kereta mewah.

Perarakan lebih 20 kilometer itu dijadual mulai 2 petang dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) ke kawasan perkuburan di Batu 14 Jalan Puchong.

Timbalan ketua polis negara semalam memberi amaran kepada mereka menyertai upacara pengkebumian Kugan agar tidak mencetuskan sentimen perkauman yang boleh menimbulkan kejadian tidak diingini.

"Saya benar-benar berharap perarakan itu berjalan dengan teratur mengikut agama Kugan.

"Polis menghormati keperluan keluarga si mati, maka kita benarkan perarakan dari UMMC ke krematorium di Bt 14 Puchong," kata Tan Sri Ismail Omar dipetik berkata.

"Bagaimanapun, jika ada orang yang cuba melencongkan perarakan dan memulakan demonstrasi, maka kami akan bertindak.

"Jangan emosional dan tolong berhenti menyebarkan mesej tidak perlu yang tidak memberi faedah kepada sesiapa."

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat penyelaras mengenai siasatan ke atas kematian Kugan di ibu pejabatpolis Ampang Jaya.

Turut hadir di mesyuarat itu ialah Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Ismail berkata polis tidak menentang sebarang perarakan pengkebumian untuk Kugan dan menghormati permintaan keluarganya.

Beliau menasihatkan pihak tertentu jangan mengambil kesempatan dari perarakan itu untuk kepentingan mereka.

"Biarkan saya tanding tentukan kebenaran" - Muthu gesa MIC

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI]


Sambil menyifatkan kenyataan terbaru Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu semalam sebagai "satu lagi langkah mengelabui mata" semata-mata, Datuk M. Muthuppalaniappan, yang dipecat minggu lalu berkata, beliau wajar dibenarkan bertanding untuk menentukan kebenaran.

"Biarkan saya bertanding dan serahkan kepada ahli parti menentukan sama ada kenyataan-kenyataan media saya (sebelum ini) telah memudaratkan parti ataupun sebaliknya.

"Biar anggota parti yang menentukan perkara ini, bukan CWC (kerana didakwa tidak bebas).

"Kalau benar kenyataan saya telah menjejaskan parti, biar saya (diundi) ditewaskan," kata beliau ketika dihubungi.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Samy Vellu semalam bahawa beliau tidak akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) sekiranya ia dijadual mendengar rayuan Muthuppalaniappan kelak.

Muthuppalaniappan mempunyai masa 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada CWC berhubung keputusan Jawatankuasa Disiplin memecatnya.

Beliau berharap anggota CWC akan bertindak secara adil dan tanpa rasa bimbang jika ia membincangkan rayuannya.

"Beberapa anggota CWC yang menghubungi saya berpendapat tindakan memecat saya adalah tidak wajar, tetapi mereka tidak boleh meluahkan pendirian ini dalam CWC... mereka bimbang," katanya.

Presiden MIC: Samy tetap pertahan tidak kisah siapa pencabar

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu tetap akan mempertahankan jawatan itu tidak kira siapa bakal pencabarnya dalam pemilihan Presiden kali ini.

Bekas anggota Kabinet itu berkata, beliau tidak kisah sama ada akan terdapat lagi calon yang mahu merebut kerusi itu selepas bakal pencabarnya, Datuk M. Muthuppalaniappan telah pun dipecat dari parti minggu lalu.

"Kami akan biarkan apa yang akan berlaku dan lihat apa yang akan berlaku," kata beliau di sini semalam sambil menambah, pemilihan bagi jawatan-jawatan lain akan diadakan September ini.

Muthuppalaniappan, bekas Naib Presiden MIC telah dipecat dari parti oleh Jawatankuasa Disiplin MIC berkuat kuasa minggu lalu.

Ia diumumkan dalam sepucuk surat bertarikh 21 Januari lalu.

Bagaimanapun beliau akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu.

Katanya, majoriti pemimpin akar umbi parti itu telah menghubunginya untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu selepas beliau didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejas imej parti.

Pada November lepas, Muthuppalaniappan mengumumkan akan mencabar Samy Vellu untuk jawatan Presiden MIC pada pemilihan presiden yang dijangka April atau Mei ini.

Jawatankuasa Disiplin memberi tempoh 14 hari kepada bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan itu untuk membuat rayuan kepada CWC.

"Jawatankuasa itu dibawah telunjuk Samy Vellu. Dia semakin takut bahawa saya akan mencabar dan menang. Jika ia tidak benar, kenapa ambil tindakan untuk sesuatu yang saya tidak lakukan.

"Saya juga tidak mendapat perbicaraan yang adil dan saksama," kata Muthuppalaniappan.

Muthuppalaniappan mendakwa CWC parti itu akan mengekalkan keputusan Jawatankuasa Disiplin itu kerana anggota CWC adalah pak turut Samy Vellu.

Samy Vellu, yang menerajui MIC sejak 1979, pernah berkata bahawa beliau akan mempertahankan jawatan presiden bagi penggal ke11 dan akan menyerahkan kepimpinannya kepada timbalannya selepas pemilihan jawatan lain parti pada perhimpunan agung parti yang dijadual September ini.

Sehubungan itu, Samy Vellu berkata, beliau tidak akan mempengerusikan CWC jika ia dijadual mendengar rayuan Muthuppalaniappan.

"Saya tidak akan mengulas pemecatannya memandangkan ia diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin," kata beliau.

Selasa, 27 Januari 2009

Zabidi Mengaku Berita ‘Wahid Lepas ADUN’ Hanya Spekulasi

Wartawan Buletin


Kuala Terengganu – Editor Akhbar Mingguan WATAN, Zabidi Haji Saidi mengaku bahawa berita yang dikeluarkan oleh akhbar dibawah seliaannya bertajuk ‘Wahid Lepas Adun’ hanya sebuah berita spekulasi.

Walau bagimana pun beliau hanya membuat kenyataan tersebut dalam blog peribadinya

“Saya selaku Editor akhbar WATAN ingin mengulas isu berita WAHID LEPAS ADUN merupakan berita spekulasi,

“Jadi tak perlulah beliau saman akhbar WATAN, Lagipun beliau mengaku banyak menerima sms yang mendesaknya melepaskan kerusi DUN Wakaf Mempelam itu,”tulis Zabidi.

Beliau yang memetik dan menyiarkan berita Buletinonline “Sudah Dua Kali Watan Sengaja Cari Pasal” dan meletakkan berita tersebut dalam Blognya.

Namun tidak dapat dipastikan dengan jelas, apakah tujuan beliau berbuat demikian.

Zabidi, 50, adalah Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Pasir Gajah, Kemaman, pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman dari tahun 1995-1998.

Umno Perak pujuk ADUN Bota ubah fikiran

Oleh ARIFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI]


PETALING JAYA: Badan Perhubungan Umno Perak kini dalam usaha mengadakan perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim bagi memujuk agar beliau kembali ke pangkuan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary berkata, setakat hari ini pihaknya telah berjaya mengadakan rundingan dengan Nasarudin bagi mengetahui punca sebenar beliau memutuskan untuk meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat.

"Rundingan sudah bermula... bagi kami ini merupakan petanda positif kerana sekurang-kurangnya masih wujud komunikasi antara beliau dan Umno negeri, kita tak putus hubungan lagi," katanya kepada mStar Online.

Ramly berkata pihaknya telah menghantar beberapa wakil yang rapat dengan Nasarudin untuk mengadakan rundingan dengan beliau.

"Kita sudah hantar wakil yang baik dengan beliau, biar mereka bincang dengan cara yang santai kerana itu lebih baik untuk kedua-dua pihak tanpa ada rasa segan silu," katanya.

Ditanya apakah perkembangan hasil pertemuan tersebut, beliau berkata sehingga kini pihaknya berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan.

"Beliau (Nasarudin) sudi berbincang, maknanya laluan sudah terbuka.

"Namun kita akan terus beruasaha mengadakan perbincangan dengan beliau bagi mengetahui keadaan sebenar dan cuba selesaikan dengan baik," katanya.

Kelmarin, Nasarudin bertindak keluar daripada BN dan mengumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkuat kuasa serta-merta.

IKRAR SETIA BN PERAK

Semalam wakil rakyat BN Perak yang menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di ibu negara telah menyatakan ikrar akan kekal dalam BN.

Ikrar itu dibuat beberapa jam selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mendakwa tiga lagi ADUN BN dijangka menyertai Pakatan Rakyat ekoran langkah Datuk Nasarudin Hashim kelmarin.

Mengulas lanjut, Ramly berkata, mereka melahirkan sumpah taat setia untuk terus bersama BN.

"Semalam semua ahli yang hadir membuat ikrar taat setia kepada BN di hadapan Datuk Seri Najib," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Malah, kata beliau, mereka juga mencapai kata sepakat iaitu masih menaruh harapan bahawa Nasarudin, ADUN Bota akan kembali menyertai Umno dan BN.

Tambah Ramly, mereka juga yakin Nasaruddin sedang menguji BN melalui tindakannya itu.

"Kita yakin beliau sedang uji BN... beliau nak tahu apakah reasksi kita selepas buat pengumuman untuk keluar.

"Kita sangat yakin dengan Datuk Nasarudin, beliau akan membuat perhitungan yang sewajarnya," katanya.

Pertemuan yang diadakan di ibu negara itu dihadiri oleh 26 daripada 27 ADUN dan 11 daripada 13 Ahli Parlimen BN dari Perak.

Selain itu Umno Perak juga menyeru supaya Nasarudin mengubah pendiriannya untuk meninggalkan BN.

"Kita seru supaya beliau patah balik (kembali) kepada Umno dan BN," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Ramly berkata, semua pemimpin yang hadir berpeluang menyampaikan pandangan berhubung perkembangan terbaru itu.

Malah katanya, Najib turut menasihatkan agar pemimpin-pemimpin Umno dan BN supaya tidak mengeluarkan kenyataan bersifat negatif kerana ia akan menjejaskan proses rundingan dan perbincangan dengan Nasarudin.

Kata beliau lagi, Umno Perak mengklsifikasikan isu ini sebagai malapetaka kepada parti dan memandang serius mengenainya.

"Kita memandang serius mengenai perkebangan terbaru ini dan sedang berusaha mengambil tindakan yang wajar bagi membendungnya," katanya yang enggan menjelaskan dengan lebih lanjut.

Dalam pada itu, Najib ketika ditemui wartawan selepas pertemuan malam tadi berkata, antara ketetapan dibuat ialah semua memberi pengakuan dan disokong dengan setiap wakil rakyat menyatakan kesetiaan kepada BN melalui parti masing-masing.

"Waima apa jua keadaan sekalipun ini termasuk juga satu dua yang tidak hadir, tapi telah menelefon untuk menyatakan pendirian sama dan harap ia melenyapkan sebarang khabar angin yang diuar-uarkan oleh parti pembangkang yang menyatakan kononnya ada wakil rakyat BN dari Perak mahu melompat parti," katanya.

Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN memberitahu, selain itu pertemuan malam tadi juga membincangkan beberapa perkara yang penting iaitu keutuhan berkhidmat kepada rakyat dan yakin kepada BN.

Dr. Juanda mufti baru Perlis

BERNAMA


KANGAR: Ketua Penolong Pengarah Dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak, Dr. Juanda Jaya bakal menjadi Mufti Perlis yang baru berkuat-kuasa Februari ini.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu yang mengesahkan perkara itu di sini hari ini berkata, kerajaan negeri bagaimanapun masih menunggu surat pelepasan daripada kerajaan negeri Sarawak untuk meminjam Dr. Juanda selama dua tahun.

"Kerajaan negeri berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana sudi meminjamkan pengawainya untuk berkhidmat di Perlis," katanya ketika ditemui pada majlis jamuan sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Khoon Aik dekat sini hari ini.

Beliau berkata Dr. Juanda merupakan antara enam calon yang nama mereka dikemukakan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai bakal Mufti Perlis bagi mengisi kekosongan kerusi yang tinggalkan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pada 30 November tahun lalu.

"Dr Juanda merupakan seorang yang mempunyai pegangan akademik yang baik, selain dari kalangan pengamal fahaman Sunnah Waljamaah selari dengan perlembagaan kerajaan negeri Perlis," katanya kepada pemberita.

Dr. Mohd. Asri, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), menamatkan kontraknya setelah berkhidmat selama dua tahun di Perlis, lebih awal dari tempoh yang dipinjamkan oleh USM iaitu sehingga pertengahan tahun ini.

Beliau kini berada di United Kingdom melakukan kajian selama enam bulan mengenai Islam dan hadis sebelum kembali berkhidmat dengan USM sebagai pensyarah pengajian Islam.

Sementara itu, Dr. Juanda yang dihubungi Bernama hari ini mengesahkan telah menerima tawaran kerajaan negeri Perlis sejak akhir Disember lalu.

"InsyaAllah saya akan mula bertugas pada Februari ini," kata bekas Timbalan Mufti Sarawak berusia 38 tahun itu.

Gerhana Matahari Separa: 2,000 banjiri Planetarium Negara

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kira-kira 2,000 orang membanjiri Planetarium Negara seawal pukul 3 petang semalam untuk menyaksikan Gerhana Matahari Separa yang berlaku selama kira-kira dua jam 30 minit.

Pegawai Penyelidik Planetarium Negara, Lau Chen Chen berkata, orang ramai berpeluang melihat cahaya matahari terlindung oleh bulan sehingga mencapai liputan maksimum sehingga 82.6 peratus.

"Gerhana matahari akan berlaku ketika fasa bulan baru dan pada masa yang sama bulan melintasi laluannya di antara matahari dan bumi menyebabkan matahari tertutup sebahagian atau keseluruhannya," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Gerhana Matahari dapat disaksikan pada pukul 4.34 petang apabila bulan mula menyentuh cakera matahari di mana situasi itu dikenali sebagai "sentuhan pertama" iaitu permulaan Gerhana Matahari Separa.

"Kebanyakan pemerhati tidak berupaya mengesan sentuhan gerhana pada masa ini disebabkan matahari yang terlalu terang, gerhana hanya akan dapat dilihat apabila bulan menutupi matahari secara perlahan membentuk sabit sehingga kegelapan maksimum tercapai pada pukul 5.50 petang," katanya.

Gerhana Matahari Separa berakhir pukul 6.55 petang di mana bayangan bulan mula hilang secara perlahan-lahan sebelum matahari terbenam.

Kali terakhir gerhana seumpamanya dapat dilihat di Malaysia pada 2002.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik berlangsung di Planetarium Negara antaranya tayangan filem "SOS Planet" di Teater Angkasa pada 5 petang dan tayangan laser "The Legend of the Night Sky".

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad menyeru semua umat Islam supaya menjadikan kejadian gerhana matahari untuk menghayati dan menginsafi kebesaran Allah SWT dalam mengatur alam ini.

Beliau berkata solat sunat gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.

"Hukum ini adalah berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah SWT.

"Tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya, maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang (hilang gerhana)," katanya.

Sebelum itu beliau menyampaikan khutbah yang bertajuk 'Pengukuhan Iman Melalui Peristiwa Gerhana Matahari' dan turut mengimamkan solat sunat gerhana matahari selepas Asar di Masjid Wilayah Persekutuan yang turut dihadiri lebih 3,000 umat Islam.

K'jaan S'gor akan siasat dokumen 'bocor'

MALAYSIA KINI


Kerajaan negeri Selangor akan menyiasat mengenai kesahihan dokumen-dokumen yang diperolehi oleh pihak-pihak yang membuat dakwaan bahawa dana kerajaan negeri digunakan untuk membeli 46 ekor lembu korban yang disumbangkan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

"Kerajaan negeri juga bimbang dengan kesahihan dokumen-dokumen yang diperolehi oleh pihak-pihak yang membuat tuduhan liar ini," kata Setiausaha Politik kepada menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Demi ketelusan dan kebertanggungjawaban, pejabat menteri besar akan menyiasata tentang kesahihan dokumen tersebut serta asal dokumen tersebut diperolehi," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa menerima salinan surat mengenai arahan dari pejabat menteri besar Selangor berhubung pembelian 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

Menteri Besar, Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Sehubungan, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

Dalam laporannya, Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa Abdul Khalid membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.

Buruk reputasi

Bagaimanapun, Abdul Khalid telah menafikan dakwaan tersebut dan berkata tidak menggunakan sebarang dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

Dalam kenyataannya, Nik Nazmi berkata, kekeliruan yang timbul akibat laporan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburuk-burukkan reputasi kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Namun, katanya, kerajaan negeri, khususnya menteri besar, tidak akan tunduk kepada "serangan politik murahan dan akan terus komited dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh rakyat Selangor.

Nik Nazmi juga mengulangi bahawa tiada dana kerajaan negeri digunakan untuk membeli 46 lembu korban bagi kawasan Bandar Tun Razak.

Sebaliknya, kata beliau, lembu-lembu itu diderma oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), iaitu:

- Selangor Industrial Corporation Berhad (SIC) - lima ekor bernilai RM12,000.

- Selaman Sdn Bhd - 10 ekor bernilai RM24,000.

- Damansara Impian Sdn Bhd - enam ekor bernilai RM14,400.

- Pembinaan K K Wong Sdn Bhd - 10 ekor bernilai RM24,000.

- PKNS Infra Berhad - lima ekor bernilai RM12,000.

- Mas Ehsan Develompment Sdn Bhd - 10 ekor bernilai RM24,000.

- PKNS Engineering & Construction Berhad - lima ekor bernilai RM12,000.

Tiada arahan MB

Nik Nazmi berkata, kerajaan juga telah dimaklumkan oleh PKNS bahawa SIC Berhad telah membayar RM110,000 kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang membekal lembu korban itu.

"Syarikat (tersebut) kemudiannya menghadar 'debit note' kepada enam syarikat yang lain untuk bayaran.

"Tiada arahan dari menteri besar kepada PKNS atau SIC Berhad untuk menderma lembu korban ke kawasan Bandar Tun Razak.

"Hanya selepas keputusan dibuat untuk menderma lembu di kawasan Bandar Tun Razak, PKNS telah memaklumkan bahawa terdapat beberapa syarikat yang ingin menderma lembu bagi tujuan kegunaan sempena Hari Raya Korban," katanya.

Menurut Nik Nazmi, semua perancangan awal menderma lembu korban itu dibuat di peringkat PKNS dan syarikat-syarikat terbabit tanpa melibatkan mana-mana penggunaan dana kerajaan negeri ataupun atas arahan menteri besar atau pegawai-pegawainya.

Rakyat tolak Najib jadi PM, tidak mahu peralihan kuasa

Hashim Abdullah


KUANTAN - Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak akan melalui jalan sukar untuk menduduki kerusi Putrajaya sebagai Perdana Menteri kerana terdapat petunjuk proses peralihan kuasa mungkin tidak berlaku atas desakan pelbagai pihak dalam Umno sendiri kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Sharpawi.

Azman yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu ketika berceramah di Kampung Razali delat sini, baru-baru ini menjelaskan proses peralihan kuasa terganggu akibat Najib yang mengetuai pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu hilang wibawa akibat daripada kekalahan Umno-BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

"Dulu apabila Unno BN kalah dalam pilihanraya umum semua tangan menunjukkan kearah Abdullah Ahmad Badawi yang dianggap lemah. Kemudian berlaku desakan agar peralihan kuasa dalam Umno perlu dilakukan.

"Kemudian apabila Umno BN kalah lagi dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, desak lagi agar segerakan peralihan kuasa dalam bulan Mac. Pak Lah turut lagi, ini bermakna semasa berlakunya pilihanraya kecil Kuala Terengganu Najib adalah Presiden Umno dan Najib adalah bayangan Perdana Menteri. Tetapi rakyat secara jelas telah menolak kepimpinan Najib dengan mengalahkan calon Umno. Sebab itu kita percaya Najib lalui jalan sukar,"katanya.

Tambah Azman terdapat banyak desakan agar Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meneruskan kepimpinan sebagai Perdana Menteri bagi meneruskan agenda pembaharuannya dalam pentadbiran.

"Banyak desakan kita dengar agar Pak Lah meneruskan jawatannya sebagai Perdana Menteri. Ada yang berpendapat kalau Najib ambil alih keadaan bertambah buruk," katanya.

Mengenai kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu Azman berkata sokongan luar biasa golongan muda memberi keyakinan kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan pada pilihanraya akan datang.

"Sokongan golongan muda memang luar biasa dan amat membimbangkan Umno. Kejayaan kita kerana golongan muda berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat, kalau trend ini berterusan masa depan PAS dan Pakatan Rakyat memang cerah,"katanya.- azm _