Sabtu, 18 September 2021

Wanita Gerakan sambut baik pemberian taraf kewarganegaraan anak lahir luar negara

MG031119_WALKABOUT-CALON-GERAKAN02
Wendy Subramaniam. foto SYAFIQ AMBAK,

KUALA LUMPUR – Wanita Parti Gerakan menyokong tindakan kerajaan berhubung pemberian taraf kewarganegaraan kepada anak wanita rakyat Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing, tetapi lahir di luar negara.

Naib Ketuanya, Wendy Subramaniam berkata, hak sama rata itu perlu diberikan kepada mereka bagi mengelak berlaku kes dwi kerakyatan atau pertindihan pemberian kewarganegaraan kepada individu berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gerakan meminta Jabatan Peguam Negara supaya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi bahawa golongan ibu yang mempunyai pasangan warga asing dan melahirkan anak di luar negara secara automatik memperoleh kewarganegaraan Malaysia.

“Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan, tidak seharusnya diskriminasi terhadap individu berdasarkan jantina.

“Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan mengiktiraf hak sama rata wanita Malaysia, yang juga menandakan satu kemajuan bagi hak sama rata di Malaysia.

“Jabatan Peguam Negara tidak seharusnya mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, sekali gus mengetepikan rayuan keputusan mahkamah tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dilaporkan berkata, pemberian hak kewarganegaraan secara automatik itu memberi sinar baharu kepada aspirasi kelestarian insaniah wanita nasional.

Beliau berkata, pemberian taraf warganegara berkenaan mampu mencerminkan ketrampilan kerajaan yang pada hakikatnya mewujudkan kesamarataan kepada golongan wanita terutamanya mereka yang bergelar ibu.

Menurut Wendy, Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan, sesiapa sahaja yang lahir pada atau setelah penubuhan Malaysia dan memiliki kelayakan dinyatakan dalam bahagian kedua Lampiran II secara automatik menjadi warganegara mengikuti undang-undang Malaysia.

Jelas beliau, menurut Perlembagaan, mana-mana pasangan sah yang didaftarkan di Malaysia, walaupun salah satu daripadanya warga asing, maka anak mereka akan secara automatik menjadi warganegara Malaysia.

“Kecuali jika kewarganegaraan kanak-kanak itu didaftarkan di negara lain dan ia akan menyebabkan kanak-kanak itu mempunyai kewarganegaraan berkembar dan kewarganegaraan Malaysia mereka akan dibatalkan.

“Anak akan mengikuti ibu. Apabila seorang ibu Malaysia kembali ke tanah air dengan anaknya, tetapi anak itu bukan warganegara Malaysia, ini akan membawa banyak masalah dan kesusahan kepada ibu.

“Antara masalah dihadapi ialah pendidikan anak-anak. Oleh itu, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menjaga hak rakyat dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menandatangani perjanjian kerjasama bersejarah dengan parti pembangkang dan berjanji akan membuat pembaharuan kepada Parlimen serta sistem pentadbiran.

Jelasnya, jika kerajaan memutuskan untuk menentang keputusan Mahkamah Tinggi sudah pasti akan membuat rakyat, terutama wanita, kehilangan kepercayaan terhadap kerajaan untuk melakukan pembaharuan.

“Kita harap kerajaan ketepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan menegakkan keputusan pengadilan tanpa penundaan bagi memastikan penghormatan terhadap prinsip kesetaraan antara lelaki dan wanita sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: