Jumaat, 17 September 2021

Pengusaha hotel, homestay rayu diberi peluang dan insentif


Majoriti pengusaha hotel dan homestay merayu agar kerajaan memberi peluang dan insentif bagi membangunkan semula industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengusaha hotel dan homestay memberi komitmen untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berada pada tahap terbaik, disamping menjamin semua kakitangan menerima suntikan dan sanitasi dijalankan dengan kerap.

“Majoriti dari Pengusaha Hotel dan Homestay merayu kepada kerajaan untuk memberikan mereka ruang dan insentif bagi membangunkan semula industri pelancongan yang paling terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Mereka juga memberikan komitmen untuk memastikan semua kakitangan menerima suntikan vaksin bersama jaminan semua fasiliti dan fasiliti penginapan disanitasi dari semasa ke semasa bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin hari ini diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Tuan Nasaruddin Abd Mutalib dan menyertai majlis dialog bersama wakil-wakil pengusaha hotel, pengusaha homestay, pengusaha kereta sewa dan pemandu teksi.

Beliau diiringi Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar yang turut berada di Langkawi bagi meninjau projek rintis gelembung pelancongan yang bermula hari ini.

Semasa dialog tersebut, Muhyiddin juga menerima beberapa memorandum dari wakil-wakil pengusaha industri pelancongan yang akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Muhyiddin, sektor pelancongan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, sektor pelancongan adalah antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dan pada tahun 2019 sebelum pandemik, sektor ini menyumbang sebanyak 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Berikutan penutupan sempadan negara dan Perintah Kawalan Pergerakan, sektor ini antara sektor yang paling terjejas oleh pandemik Covid-19,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin semasa pentadbirannya mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang telah saya umumkan sejak Mac 2020, lebih RM249.7 juta telah dimanfaatkan oleh rakyat dan perniagaan di Pulau Langkawi.

Antaranya, Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) sebanyak RM19 juta telah diberikan kepada 24,058 penerima dan Program Subsidi Upah sebanyak RM182.3 juta kepada 1, 522 majikan yang memanfaatkan 31, 852 pekerja.

Sebanyak RM386,500 juga telah diberikan kepada 773 pemandu teksi dan bas, manakala sejumlah RM35,400 telah diberikan kepada 59 pengusaha inap desa.

Ujarnya lagi, program gelembung pelancongan diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pembukaan destinasi gelembung pelancongan dengan selamat dan teratur.

Kejayaan gelembung pelancongan Pulau Langkawi ini juga bakal menjadi penanda aras kepada pembukaan destinasi-destinasi pelancongan lain dalam masa terdekat, insya-Allah,” katanya.

Tiada ulasan: