Ahad, 12 September 2021

Lagi kelonggaran untuk sektor perdagangan pengedaran

Oleh AMREE AHMAD
 
 ALEXANDER NANTA LINGGI

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini menyenaraikan beberapa lagi kelonggaran aktiviti dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu dan melibatkan kesemua fasa.

“Kemudahan tambahan ini diberikan kepada penerima vaksin lengkap bagi aktiviti sektor perdagangan pengedaran untuk bantu pemulihan sektor peruncitan domestik,” katanya.

Menerusi kenyataan di sini, beliau memaklumkan dua negeri Fasa 1 PPN iaitu Kedah dan Johor kini dibenarkan kedai pakaian, fesyen dan aksesori termasuk di gedung beraneka.

Ini meliputi kasut, selipar, beg, stoking, jam dan sebagainya yang turut membolehkan bilik acu pakaian n ada disediakan sarung tangan pakai buang bagi kegunaan pelanggan.

Kedai bunga dan nurseri sertai peralatan kegiatan luar iaitu perkhemahan dan memancing juga boleh erasi tetapi pelanggan dihadkan masuk dengan maksimum masa dua jam.

Bagi lapan negeri dan dua Wilayah Persekutuan dalam Fasa 2 PPN, Alexander berkata, kelonggaran sama turut dinikmati untuk semua premis jualan pakaian, fesyen dan aksesori.

“Tambahan diberi bagi pusat pengedaran dan jualan kenderaan termasuk pandu uji selain kedai gunting rambut, salun dan pusat kecantikan meliputi semua perkhidmatan,” jelasnya.

Begitu juta kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi yang kini dibolehkan penguji digunakan dengan khidmat rundingan oleh pakar perunding atau pekerja di premis tersebut.

Negeri Fasa 2 meliputi Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Sabah serta terbaharu kelmarin iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

 Sementara tiga negeri yang beralih kepada Fasa 3 PPN pula iaitu Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak menikmati kelonggaran semua perkhidmatan kedai gunting rambut dan salon.

Selaras pembukaan semula sub-sektor dan aktiviti tambahan itu ujarnya, pihak kementerian menyeru pengguna dan peniaga bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Langkah itu dengan memastikan semua ahli keluarga dan pekerja premis sudah menerima vaksin demi menjaga kesihatan rakyat keseluruhan serta kelangsungan hidup perniagaan.

“Pihak penguat kuasa kementerian juga menjalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari bagi memastikan tiada pelanggaran SOP yang beri kesan penularan Covid-19,” katanya.

Alexander menambah, pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan jika ada sebarang pertanyaan lanjut.

Pihak urus setia kementerian berkenaan ujarnya, boleh membantu menerusi talian ‘hotline’ 03-8882 5881 / 5905 atau mengajukan melalui e-mel kepada spip@kpdnhep.gov.my. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: