Khamis, 23 September 2021

Kerajaan pimpinan Muhyiddin prihatin pada rakyat

MARZUKI
MARZUKI MOHAMAD

SEBAGAI bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad (DDMM) memikul tugas dan amanah mencabar lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik COVID-19.

Ikuti wawancara eksklusif antara Marzuki dengan portal ikatan.my bagi mendapatkan pandangan dan pengalaman dalam kerajaan khususnya membantu Muhyiddin dalam menangani isu-isu negara, ekonomi dan COVID-19.

IKATAN: Untuk permulaan, mungkin Datuk dapat berkongsi sedikit dengan pembaca tentang bagaimana pada awalnya Datuk terlibat hingga dilantik menjadi KSU Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY).

DDMM: Terima kasih kerana menjemput saya pada petang ini untuk hadir dalam satu temubual untuk berkongsi pandangan mengenai beberapa isu berkaitan perkembangan semasa. Saya mula mengenali TSMY ketika zaman saya belajar di universiti lagi. Saya berkhidmat sebagai pelatih (intern) di sebuah pusat penyelidikan ketika itu sekitar tahun 1995-96.

Pada masa itu TSMY adalah Menteri Belia dan Sukan dan saya melakukan penyelidikan dalam membantu menyediakan penulisan, kertas cadangan dan sebagainya. Selepas itu, ketika Muhyiddin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada tahun 2009, saya ditawarkan untuk berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada TPM. Pada masa itu saya mengajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan saya dipinjamkan ke Pejabat TPM. Kemudian selepas PRU ke 13, TSMY minta saya untuk melihat politik lebih sedikit. Jadi, saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan.

IKATAN: Semasa menjadi pegawai khas, tugas Datuk khususnya apa?

DDMM: Saya buat penyelidikan mengenai dasar dan saya banyak membantu dalam hal-hal berkaitan pendidikan dan isu-isu sosial, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain. Kementerian Pendidikan pada masa itu membuat kajian berkenaan dengan Education Blueprint 2013-2025. Saya bertindak sebagai Liaison Officer (Pegawai Seranta) antara Pejabat TPM dan Kementerian Pendidikan pada masa itu. Kemudian selepas TSMY berada di dalam pembangkang, iaitu selepas beliau dipecat dari Kabinet, saya balik mengajar di UIA dan saya terus membantu beliau.

Selepas Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan Muhyiddin dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, saya kembali berkhidmat dengan beliau sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas (PTTK). Tugas saya adalah untuk melihat hal-hal berkaitan dasar dan hal ehwal Parlimen. Setelah TSMY dilantik menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020, saya diberi tanggungjawab sebagai Ketua Setiausaha Sulit (KSUS) Kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri sehingga beliau meletak jawatan pada 16 Ogos yang lalu.

IKATAN: Maknanya dari segi pengalaman, Datuk antara orang yang paling dipercayai oleh TSMY daripada Pegawai Khas dilantik sebagai Setiausaha Politik (SETPOL) sehingga dilantik Ketua Setiausaha Sulit (KSUS). Jadi, ketika menjawat jawatan PM, kepimpinan Muhyiddin, bagaimana Datuk melihat karakter dan usaha TSMY apabila dia mengambil alih kerajaan sejak bulan Februari dan bulan Mac terus kita hadapi serangan COVID-19. Sepanjang masa itu bagaimana Datuk melihat kerja, wawasan, usaha TSMY?

DDMM: Ya, saya ini pegawai daripada dulu sampailah sekarang masih lagi berkhidmat dengan Muhyiddin. Saya memerhati dari segi kerja-kerja yang dibuat. Beliau fokus kepada tugas. Bila ada tanggungjawab, TSMY betul-betul melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan kepada beliau. Kalau ikutkan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, saya ingat dalam tempoh seminggu dua sahaja kita terus berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19 dan saya lihat bagaimana kita tiada masa untuk honeymoon (bulan madu). Biasanya ada honeymoon period. (Kita) tiada. Kita terus buat kerja.

Saya masih ingat lagi pada masa itu Muhyiddin berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat keputusan lockdown (kawalan pergerakan). Walaupun ada pelbagai pandangan tetapi beliau melihat bahawa pada masa itu, itulah cara yang paling sesuai diambil. Kita masih belum tahu the behavior of the virus (tindak-tanduk virus) di seluruh dunia. Ini suatu virus yang baru.

Beliau buat keputusan untuk menjaga keselamatan nyawa rakyat. Ini soal nyawa dan telah ada orang-orang yang dijangkiti. Dalam mengawal virus ini daripada menular, banyak negara telah melaksanakan lockdown. Jadi itu satu keputusan berat yang diambil kerana ia melibatkan kesan terhadap kehidupan rakyat terutama sekali dari segi ekonomi.

Jadi, kerana itu Muhyiddin pada ketika itu nekad untuk melaksanakan lockdown. Mulanya untuk tempoh dua minggu, kemudian disambung dua minggu lagi dan ditambah lagi.

Dalam membuat keputusan lockdown, beliau tidak berhenti setakat itu sahaja. Kena fikir dari segi kehidupan rakyat. Kerana itu diumumkan banyak pakej-pakej rangsangan ekonomi.

Kalau kita tutup sahaja sektor-sektor ekonomi, tidak benarkan orang pergi bekerja tetapi tidak disediakan bantuan, mungkin dalam seminggu boleh tahan lagi. Tetapi masuk dua minggu tiada pendapatan, tiada simpanan. Kerana kebanyakan orang kita tidak menyimpan wang. Data menunjukkan mungkin kalau dia tidak bekerja, dia boleh bertahan paling lama sebulan. Selepas itu dia tidak boleh bertahan lagi dan terpaksa meminjam duit untuk beli makanan.

Jadi, Muhyiddin pada ketika itu meminta Menteri Kewangan supaya cari duit bagaimana hendak memberikan bantuan-bantuan ini. Akhirnya sepanjang kita berhadapan dengan pandemik ini, bukan setakat kita melaksanakan kawalan-kawalan pergerakan tetapi juga bantuan-bantuan diberi. Hampir setiap golongan masyarakat terima bantuan daripada sejumlah RM 530 billion pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat yang disediakan oleh kerajaan dalam tempoh 17 bulan.

Ini saya fikir satu pakej rangsangan ekonomi yang terbesar dalam sejarah negara. Kalau saya ingat zaman PH dahulu, kerana saya pun dalam PH pada masa itu, bila disebut bantuan untuk rakyat jawapannya kita tiada duit. Tetapi rupanya ada duit. Kita duduk di situ rupanya ada duit yang kita boleh cari di mana-mana untuk tujuan membantu rakyat.

Memanglah tahap hutang meningkat sedikit tetapi hutang ini kita boleh bayar apabila kita ada pendapatan. Bila ekonomi telah dibuka dan sumber pendapatan negara bertambah, hutang itu kita boleh bayar. Tetapi yang penting ialah nyawa dan kehidupan rakyat yang terlibat. Kita lihat dalam tempoh 17 bulan itu perkara utama yang dilaksanakan ialah bagaimana hendak memastikan nyawa rakyat selamat dan pada masa yang sama kehidupan mereka juga boleh dibela, terutama sekali dari segi pendapatan.

Ramai yang terkesan. Saya baru balik dari Langkawi untuk melihat sektor pelancongan yang baru dibuka. Itupun wisdom (kebijaksaan) juga kerana kita tengok sektor pelancongan ini adalah antara sektor yang paling teruk terjejas. Orang tidak boleh melancong kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak boleh bergerak ke sana sini. Jadi hotel, homestay (inap desa), pengusaha kenderaan pelancongan dan lain-lain banyak yang terjejas. Saya lihat data di Langkawi sahaja kerajaan membelanjakan lebih RM 140 juta dalam bentuk subsidi upah kerana sesetengah hotel ini tidak boleh ditutup. Kalau ditutup dan tiada maintenance (penyelenggaraan) hotel-hotel ini akan rosak. Jadi mereka terpaksa upah pekerja-pekerja walaupun tiada pendapatan perniagaan.

Jadi, ini kadang-kadang kita terlepas pandang. Jumlah subsidi upah yang diberikan oleh kerajaan sedikit sebanyak membantu pengusaha hotel dan sebagainya untuk mengekalkan pekerja walaupun tidaklah menampung keseluruhan tetapi meringankan beban. Saya lihat ada yang tidak dapat terus terlibat dalam sektor pelancongan semasa PKP dilaksanakan dan mereka terpaksa menjadi nelayan untuk cari sumber pendapatan.

Kita lihat kehidupan rakyat memang terjejas. Kerajaan dengan TSMY sebagai Perdana Menteri pada ketika itu melihat perkara ini sebagai satu yang penting bagi kita. Dasar kita ialah prihatin kepada rakyat. Tidaklah kita kata kita laksanakan PKP dan kita tidak lihat dari segi aspek yang lain. Kerana itu, kerajaan telah beberapa kali melaksanakan pakej rangsangan ekonomi. Selepas satu, satu dilaksanakan – PRIHATIN, PEMULIH, PEMERKASA dan lain-lain.

IKATAN: Dalam masa kritikal itu, bagaimana beliau mengurus kabinet, ada tak perbezaan pandangan tentang aspek perlaksanaan SOP?

DDMM: Ada banyak pandangan yang berbeza-beza. Saya hendak menceritakan lebih sedikit tentang Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN). Tentang bidang kuasa MKN. Dalam Mesyuarat Sidang Khas MKN, beliau (TSMY) akan mendengar pandangan semua pihak dan akhir sekali akan membuat keputusan. Itu yang lama bermesyuarat sampai dua tiga jam. Nak tutup kilang ke, tak nak tutup kilang ke. Perbahasan tentang hal itu sahaja saya ingat mengambil masa yang lama.

Banyak keputusan dibuat secara kolektif kerana kesan keputusan itu amat besar kepada rakyat dan negara. Maksud kolektif ini, TSMY tidak membuat keputusan secara bersendirian. Bukan beliau fikir hendak buat, beliau buat. Tidak. Setiap keputusan mesti dibuat di dalam mesyuarat.

Saya boleh bagi contoh, Mesyuarat Sidang Khas MKN mengenai Covid-19. Keputusan-keputusan mengenai SOP misalnya, itu semua dibuat di dalam Sidang Khas MKN. Diteliti dahulu di peringkat Jawatankuasa Teknikal yang merangkumi pelbagai Kementerian dan agensi. Diperhalusi dan kemudiannya dibawa ke dalam Sidang khas MKN untuk diputuskan.

Sidang Khas MKN bermesyuarat di peringkat awal dahulu tiga kali seminggu iaitu setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Ini kerana kita tidak mahu nanti ada senggang masa yang lama antara setiap mesyuarat. Bila ada keputusan-keputusan penting yang perlu dibuat segera, ia boleh dibahas dan diputuskan dalam mesyuarat.

Pada peringkat awal dahulu Sidang Khas MKN hanya melibatkan Menteri-Menteri Persekutuan dan pegawai-pegawai kanan di peringkat persekutuan. Tetapi TSMY memikirkan MKN ini ada struktur di peringkat Pusat, Negeri dan Daerah. Jadi tidak memadai Menteri-Menteri Persekutuan sahaja yang terlibat kerana setiap keputusan yang dibuat mesti dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah.

Di peringkat negeri yang menjadi pengerusinya ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri. Jadi TSMY memikirkan perlu juga dijemput mereka ini hadir bersama-sama tidak kira samada negeri itu di bawah Perikatan Nasional atau pembangkang (Pakatan Harapan). Beliau kata jemput. Jadi sampai ke akhirnya Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri-negeri pembangkang pun terlibat sama dalam membuat keputusan.

Selangor misalnya yang menjadi pusat penularan COVID-19 paling kritikal di Lembah Kelang. Banyak keputusan dibuat melibatkan Menteri Besar Selangor yang hadir bersama dalam setiap mesyuarat. Sehinggalah akhirnya dibuat satu keputusan untuk mempercepatkan proses vaksinisasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Greater Klang Valley. Ditubuhkan Special Task Force for Greater Klang Valley (Pasukan Petugas Khas Lembah Klang) yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan. Itu dari segi tindakan kesihatan untuk menangani Covid-19.

Dari segi vaksin, YB Khairy Jamaludin pada masa itu melancarkan Operation Surge Capacity (Operasi Peningkatan Kapasiti) bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur. Kita lihat hari ini Selangor dan Kuala Lumpur merupakan antara negeri yang mencapai herd immunity (imuniti kelompok) paling cepat. Sekarang ini sudah mencapai lebih 100 peratus sasaran imunisasi populasi dewasa.

Ini adalah wisdom keputusan-keputusan yang dibuat secara kolektif. Bila buat keputusan, everybody must be collectively responsible for the decision made by the council (setiap orang mesti bertanggungjawab atas setiap keputusan yang dibuat oleh majlis secara kolektif). Jadi tidak boleh kata, ah… saya memutuskan benda lain. Tidak. You are part of the decision making process (kamu sebahagian daripada proses pembuatan keputusan). Dia mesti ambil tanggungjawab. Itu keputusan bersama.

Yang kedua, kita dapat lihat kombinasi dari segi pelaksanaan keputusan yang dibuat. Ia dilaksanakan segera di peringkat negeri dan turun ke daerah-daerah. Ini yang dikatakan pengurusan Covid-19 melibatkan whole of government dan whole of society (keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat). Ia tidak hanya melibatkan Kementerian Kesihatan sahaja, ataupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) sahaja, Polis sahaja. Tidak.

Semua kementerian terlibat. Kementerian Pertanian misalnya mesti memastikan bekalan makanan cukup. Bila orang tidak bekerja, kita buat pengecualian untuk sektor pertanian. Kalau orang tidak pergi bertani nanti tiada siapa hendak membekalkan makanan, sayuran, ikan dan lain-lain yang melibatkan the whole supply chain (keseluruhan rantaian bekalan).

Menyentuh mengenai supply chain ini saya hendak sebut juga mengenai isu kilang. Ini perdebatan besar. Berjam-jam berfikir, berbincang, berbahas dalam mesyuarat MKN. Nak tutup ke nak buka? Kalau buka berapa banyak kapasiti nak buka. 50 peratus ke, 80 peratus ke, nak tutup semua ke, tutup sebahagian ke. Macam-macam kita kena fikirkan kerana kesannya besar.

Satu dari segi supply chain. Kalau kilang-kilang makanan tidak beroperasi semasa tempoh PKP, saya ingat kita nak cari susu, beras dan bahan makanan di semua pasaraya pun susah. Ini akan menimbulkan satu lagi krisis iaitu shortage in food supply (kekurangan bekalan makanan). Ini kita tidak boleh biarkan berlaku. Oleh kerana itu, kita kategorikan kilang yang boleh beroperasi antaranya kilang memproses makanan dan mana kilang yang kita boleh tutup dulu sementara.

Penutupan kilang tidak boleh dibuat untuk tempoh yang lama. Ini kerana ia melibatkan global supply chain (rantaian bekalan global). Banyak kilang di negara kita yang membekalkan komponen ke negara-negara luar dan ini melibatkan pelaburan yang jumlahnya berbilion ringgit.

Apabila mereka menghadapi masalah (kerana kilang ditutup), ibu pejabat syarikat-syarikat ini Amerika Syarikat contohnya menghantar bantahan kepada kita untuk tarik balik pelaburan. Kalau berbilion nilai pelaburan yang ditarik dari negara kita apa kesannya? Kesannya bukan kepada syarikat itu sahaja. Syarikat itu mungkin boleh melabur semula di negara lain. (Mereka) tiada kesan sangat.

Tetapi kesannya amat besar kepada rakyat kita yang bekerja di kilang-kilang ini. Ada yang jadi engineer (jurutera), supervisor (penyelia), technician (juruteknik) dan lain-lain. Jadi, banyak kesan yang perlu kita fikirkan. Saya menerima banyak memorandum yang dihantar kepada TSMY oleh persatuan-persatuan pengilang dan sebagainya dan mereka meminta supaya kerajaan mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat. Jadi, kerajaan bawa balik perkara ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat MKN.

Bukan bila kita buat keputusan dan ada respon, kita biarkan. Tidak. Kita bincangkan balik dalam mesyuarat di peringkat Jawatankuasa Teknikal, dibawa semula ke Sidang Khas MKN dan Perdana Menteri buat keputusan setelah meneliti pandangan yang pelbagai.

Kita lihat dalam masyarakat kita pun ada yang kata tutup, ada yang kata buka. Macam-macam. Tetapi sebagai pemimpin, Muhyiddin mesti buat keputusan. Tidak boleh dibiarkan tiada keputusan. Bila dibuat keputusan pula ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju. Yang tidak bersetuju akan kata ini kerajaan gagal. Yang setuju diam-diam.

Saya pun perhati juga dalam media sosial. Dia bersetuju tetapi dia diam. Yang tidak bersetuju expressed their anger (menyerlahkan kemarahan mereka). Jadi nampak macam semua tidak betul dan gagal.

Tetapi, I think on hindsight (saya fikir dengan pengalaman yang lalu), strategi kita di peringkat awal ialah membuat kawalan pergerakan. Tetapi pada masa yang sama kita tahu bahawa kita tidak dapat mengawal pergerakan rakyat selama-lamanya.

We must have an exit plan (kita mesti ada jalan keluar) dari masalah pandemik. Exit plan ini telah dirancang lebih awal. Kerana itu kita ada Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kita sudah letakkan fasa-fasa peralihan, nilai ambang dan sebagainya. Tengok dari segi kapasiti katil hospital, tengok dari segi jumlah kes harian, death rate (kadar kematian), immunisation rate (kadar imunisasi) dan lain-lain. Kerana itu, hari ini kita telah dapat lihat hasil daripada strategi kita mempercepatkan proses vaksinasi.

Awalnya kita menjangkakan sasaran vaksinasi 80 peratus populasi dewasa akan dicapai pada suku pertama tahun hadapan. Tetapi oleh kerana kita lihat bahawa masalah ini menjadi semakin teruk, dengan kes meningkat dengan begitu banyak, kerajaan memutuskan supaya kita mempercepatkan proses vaksinasi.

Jadi hendak mempercepatkan proses vaksinasi ini ada dua aspek. Pertama, kita kena pastikan bekalan yang mencukupi. Kerana bekalan ini bukan kita beli hari ini sejuta, esok sampai sejuta. Kita beli sekitar 80 juta dos vaksin dengan jadual penghantaran yang telah ditetapkan. Dalam 3 bulan ke hadapan, 6 bulan ke hadapan baru sampai.

Jadi, kerana itu Muhyiddin sebagai PM pada ketika itu membuat keputusan. Pertamanya, pada peringkat awal ada COVAX Facility di bawah United Nation (UN) yang membekalkan vaksin. Kalau kita ingat di peringkat awal dahulu vaksin tiada lagi. Tetapi fasiliti ini telah memulakan usaha untuk mengeluarkan vaksin dan negara kita mesti bayar dahulu wang pendahuluan untuk buat tempahan. Vaksin tiada lagi tetapi bayaran pendahuluan mesti dibuat.

Kalau kita tengok dari segi kebiasaannya, kita tiadak buat perkara seperti itu. Kita hendak beli barang, barang itu mesti ada dahulu, baru kita beli. Tetapi kalau kita tunggu barang itu ada dahulu baru hendak beli, sedangkan barang itu adalah hot item (barang laris), dan kita lambat membuat pesanan, penghantarannya boleh tertangguh sehingga empat, lima atau enam bulan. Akan berlaku keadaan di mana kita sepatutnya sudah boleh mulakan program vaksinasi tetapi kita tidak boleh mula lagi sebab vaksin tidak sampai.

Jadi, Muhyiddin buat keputusan untuk bayar wang pendahuluan RM400 juta walaupun vaksin belum ada. Tawakkal. Kenapa? Kerana ini soal hendak menjaga nyawa rakyat. Jadi, Pfizer kita beli, Sinovac kita beli, Sinopharm kita beli. Whatever available (apa yang tersedia) kita tempah, kita beli.

Keduanya, dalam proses ini kadang-kadang jadual penghantaran terganggu. Sedangkan kita ada jadual vaksinasi sehingga bulan berapa kita mesti capai sasaran 200 ribu suntikan sebulan, 500 ribu suntikan sebulan dan sebagainya. Kalau bekalan vaksin tidak sampai kita hendak cucuk macam mana? Pusat Pemberian Vaksin ada, kakitangan ada, tetapi vaksin tidak ada.

Jadi perkara ini dibincang dalam Kabinet. Kadang-kadang dibawa Kertas Jemaah Menteri untuk memohon kelulusan bagi pembelian vaksin tambahan. Tengok mana yang ada. Pfizer lambat sampai, Sinovac ada, beli Sinovac. Ini untuk memastikan supaya jadual vaksinasi tidak terganggu. Jadi kerana itu, daripada asalnya kita hendak mencapai sasaran herd immunity (imuniti kelompok) pada suku pertama tahun hadapan, kini kita boleh capai lebih awal.

Sektor-sektor ekonomi boleh dibuka lebih awal. Sektor pelancongan misalnya, dibuat keputusan dahulu supaya dipercepatkan proses vaksinasi di pulau-pulau pelancongan. Di Langkawi dipercepatkan. Jadi orang Langkawi dapat vaksin lebih awal. Begitu juga di Pulau Redang, Pulau Pangkor, Pulau Perhentian, supaya sampai suatu ketika kita boleh buka sektor pelancongan, orang boleh pergi melancong dengan selamat.

Semalam (16 September) Pulau Langkawi telah dibuka kepada pelancong. Saya diberitahu ketibaan pelancong sekitar 5,000 orang. Hotel dan kedai sudah mula dibuka walaupun belum mencapai 100 peratus. Dijangkakan sehingga bulan Disember tahun ini, 400,000 pelancong akan tiba di Langkawi sahaja. Ini bermakna kehidupan rakyat sudah mula bertambah baik dan InshaAllah kegiatan ekonomi akan bertambah rancak,

Penduduk setempat pun berasa lebih yakin untuk menerima pelancong kerana mereka telah dapat vaksin lengkap. Mereka boleh berniaga, bawa teksi dan bekerja. Pelancong yang datang pun mesti buat ujian saringan Covid-19. Kalau negatif boleh pergi. Kalau positif, mesti kuarantin.

Kita lihat proses vaksinasi di Malaysia antara yang terbaik di dunia. Hasilnya, sektor-sektor ekonomi, keagamaan dan lain-lain sudah boleh dibuka. Dulu masjid pun kita tidak boleh pergi. Sekarang sudah dibuka walaupun dengan jumlah jemaah yang terhad. Sekolah pun akan dibuka dan sekarang ini sedang dilaksanakan vaksinasi bagi mereka yang berumur bawah 18 tahun dan kanak-kanak yang akan bersekolah.

Tiada ulasan: