Selasa, 21 September 2021

Gelembung pelancongan Langkawi mula tunjuk kejayaan

KUALA LUMPUR: Pulau Langkawi di Kedah, yang menjadi projek rintis Gelembung Pelancongan di negara ini, mula menunjukkan kejayaan sejak ia dibuka pada Khamis lalu apabila merekodkan kedatangan 9,500 pelancong.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata setakat ini, tiada kes COVID-19 direkodkan dalam kalangan pelancong seperti dimaklumkan Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo baru-baru ini.

"Kita dapat melihat potensi di Pulau Langkawi yang menjadi model yang telah menunjukkan kejayaan.

"Secara umumnya, destinasi pelancongan lain terutama di kawasan seperti Genting Highlands dan Fraser Hills sudah menjangkau 100 peratus kadar vaksinasi lengkap dan mereka sudah bersedia untuk dibuka… Esok, Insya-Allah akan diadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai pembukaan perjalanan pelancongan antara negeri," katanya.

Datuk Seri Nancy Shukri
Datuk Seri Nancy Shukri

Beliau berkata demikian dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk 'Pelancongan Kebangkitan Industri' yang disiarkan di Bernama TV hari ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum ini menyasarkan kira-kira 200,000 pelancong domestik berkunjung ke Langkawi dari 16 September hingga Disember 2021 selepas industri pelancongan pulau itu dibuka semula di bawah projek rintis gelembung pelancongan.

MOTAC juga menyasarkan kira-kira 30,000 pelancong berkunjung ke pulau peranginan itu sepanjang bulan September.

Nancy berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan penggiat industri pelancongan kepada Kementerian Kewangan yang diharap akan menjadi panduan dalam pembentangan Belanjawan 2022.

"Jumaat lalu, MOTAC bersama dengan agensi dan penggiat industri pelancongan telah mengadakan perbincangan kelompok sasaran bersama Kementerian Kewangan dan MOTAC telah kemukakan apa yang telah dicadangkan penggiat industri dan nampaknya positif.

"Tujuan kita adalah untuk bantu rakyat. Insya-Allah apa yang telah kita kemukakan kepada Kementerian Kewangan akan didengar terutama sekali demi kepentingan industri kecil dan sederhana sebab mereka yang paling banyak terkesan," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan: