Selasa, 21 September 2021

85 peratus BID babit individu tak divaksin

BH ONLINE
Kira-Kira 85 peratus kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) di Sandakan akibat COVID-19 didapati terdiri daripada individu tanpa vaksinasi. - Foto hiasan NSTP/Danial Saad
Kira-Kira 85 peratus kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) di Sandakan akibat COVID-19 didapati terdiri daripada individu tanpa vaksinasi. - Foto hiasan NSTP/Danial Saad

SANDAKAN: Kira-Kira 85 peratus kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) di daerah ini akibat COVID-19 didapati terdiri daripada individu tanpa vaksinasi, kata Pegawai Kesihatan Daerah Dr Johari Awang Besar hari ini.

Sejak Julai lalu, jumlah kematian di luar hospital akibat COVID-19 telah meningkat kebanyakannya membabitkan individu berisiko tinggi terutama mereka yang berusia lebih 50 tahun.

"Pada Julai, Sandakan merekodkan enam kes BID dan angka itu meningkat kepada 55 bulan lalu (Ogos). Setakat 16 September, sudah terdapat 66 kes.

"Saya merayu kepada semua orang agar lebih memberi perhatian kepada golongan warga emas atau ibu bapa atau datuk nenek mereka kerana 90 peratus kes BID membabitkan mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas. Kira-Kira 46 peratus jumlah kematian membabitkan mereka yang berusia lebih 70 tahun," katanya ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Hakka, hari ini.

Dr Johari juga menggesa penduduk Sandakan agar merebut peluang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin kerana jumlah kes harian di daerah itu telah mencatatkan tiga angka sejak kebelakangan ini dan meletakkan Sandakan sebagai antara tiga daerah teratas dengan jumlah kes tertinggi di Sabah.

Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap individu yang terlepas janji temu untuk mendapatkan suntikan dos kedua vaksin Pfizer atau Sinovac dan menggesa mereka agar hadir di mana-mana tujuh PPV di daerah itu secara jumpa terus.

"Kira-kira 10,000 orang telah terlepas janji temu untuk mendapatkan dos kedua mereka. Mereka boleh pergi ke mana-mana PPV dengan segera. Jangan tunggu sampai berbulan-bulan untuk berbuat demikian," katanya.

Mengulas penguatkuasaan berkaitan mewajibkan pengambilan vaksinasi lengkap di semua premis di Sabah mulai esok, Dr Johari telah memaklumkan pasukannya agar tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang menerima suntikan dos pertama vaksin jenis AstraZeneca pada awal bulan lalu susulan sela masa sembilan minggu yang diperlukan sebelum mendapatkan dos kedua.

"Bukan salah mereka jika mereka tidak dapat melengkapkan kedua-dua dos suntikan menjelang esok. Bagaimanapun, kelonggaran ini hanya bagi mereka yang telah menerima suntikan pertama bulan lalu kerana pengumuman bagi vaksinasi lengkap dibuat selepas itu (dos pertama).

"Tetapi jika ada yang baru menerima dos pertama AstraZeneca hari ini, saya berpendapat mereka perlu dihalang memasuki mana-mana premis terbabit seperti makan di restoran," katanya.

Beliau berkata kira-kira 11,000 penduduk Sandakan menerima dos pertama AstraZeneca dan mereka dijangka melengkapkan vaksinasi masing-masing bulan depan. – BERNAMA

Tiada ulasan: