Oleh NORHAYATI YAHAYA
SABAK BERNAM: Walaupun laluan ditutup, namun masih terdapat segelintir individu yang berdegil dengan cuba menggunakan laluan sawah.
Kejadian itu dikesan berlaku di Jalan Bendang, Parit 4, Sekinchan di sini yang tular dalam laman sosial Facebook berhubung tindakan mereka.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, susulan tindakan individu terbabit, pihaknya kini sedang giat mengesan penunggang motosikal terbabit.
Pihaknya telah mengarahkan laluan tersebut yang merupakan antara jalan tikus ditutup bagi mengelakkan ia digunakan orang awam bagi memasuki daerah ini.
“Kita akan menambah halangan bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Malah buat masa ini, kita sedang mengenal pasti individu-individu tersebut yang cuba merentas daerah di sekitar Sekinchan.
“Saya ingin tegaskan ini bukan melibatkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar menunjukkan aksi beberapa individu menunggang motosikal merentas daerah dengan melalui kawasan sawah bagi melintasi halangan yang dibuat pihak polis.
Tindakan tersebut mendapat kecaman netizen apabila perbuatan itu
boleh menyebabkan peningkatan kes Covid-19 dan minta mereka tidak
menyalahkan pihak berkuasa sekiranya tindakan dikenakan nanti. UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan