SEBANYAK 388 syarikat/individu dikenakan kompaun sebanyak RM2,141,500 kerana melakukan kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau ‘Total Lockdown’ (TLD)
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), sepanjang tempoh pelaksanaan PKP3.0 dari 1 Jun lepas hingga 26 Jun, sebanyak 44,903 teah diperiksa dalam tindakan penguatkuasaan pematuhan SOP.
“Berdasarkan statistik, sebanyak 132 aduan diterima daripada orang awam mulai 1 hingga 26 Jun 2021 dan kesemuanya telah disiasat sepanjang tempoh PKP 3.0 TLD,” kata Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP dalam satu kenyataan akhbar.
Kenyataan itu menyatakan, KPDNHEP komited dalam membantu usaha kerajaan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP 3.0 TLD di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
Bagi memastikan SOP PKP 3.0 Sektor Perdagangan Pengedaran semasa TLD dilaksanakan dengan efektif, kementerian menggerakkan seramai 2,262 orang pegawai penguat kuasa KPDNHEP untuk memastikan pematuhan sepenuhnya SOP di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran.
Sejak pelaksanaan penguatkuasaan pematuhan SOP PKP Akta 324 digerakkan pada 13 Mei 2020 sehingga 26 Jun 2021, sejumlah 615, 996 premis telah diperiksa dan daripadanya sejumlah 574 kes/kompaun telah dikenakan ke atas pesalah yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Berdasarkan statistik, pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran berada pada tahap yang memuaskan yang mana 98.54 peratus premis patuh kepada SOP ditetapkan, manakala 0.10 peratus premis sahaja yang dikenakan kompaun dan selebihnya iaitu 1.27 peratus premis diberi nasihat dan amaran,” kata kenyataan itu.
KPDNHEP sebagai salah satu agensi yang diberi kuasa untuk menguatkuasakan pematuhan SOP PKP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak akan berkompromi dengan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun ke atas mana-mana syarikat/individu yang melanggar pematuhan SOP yang berkuatkuasa.
Kementerian menyarankan agar semua pemain industri di bawah sektor perdagangan pengedaran khususnya untuk memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya oleh pekerja dan pelanggan masing-masing.
“Pemilik premis perniagaan hendaklah sentiasa proaktif, peka dan memastikan pematuhan SOP sentiasa berada ditahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara di samping tidak mewujudkan kluster baru Covid-19 di bawah sektor perdagangan pengedaran,” kata kenyataan itu.
Kerjasama semua pihak dalam sektor perdagangan pengedaran khususnya perlu diperkukuh untuk mengimbangi kelangsungan ekonomi domestik Negara dan mengawal penularan Covid-19 serta memastikan kesihatan rakyat terus terjamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan