Gambar hiasan
PETALING JAYA: Terdapat kebimbangan dalam kalangan pakar perubatan bahawa varian Covid-19 yang baharu dan cepat menular akan menghalang negara untuk kembali kepada keadaan normal.
Kata mereka, ini mungkin akan menyebabkan kemajuan dalam memerangi Covid-19 akan menjadi perlahan dengan ketara.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), enam varian SARS-CoV-2 telah dikesan di negara ini, iaitu Beta, Delta, dan Alpha daripada jenis varian membimbangkan (VOC), serta Kappa, Theta dan Eta daripada jenis varian berkepentingan (VOI).
Pada 22 Jun, 189 kes varian dilaporkan dengan 173 kes membabitkan VOC. Setakat ini, kumpulan jangkitan terbesar membabitkan varian Beta diikuti oleh varian Delta.
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye percaya jumlah kes sebenar lebih tinggi.
“Penjujukan gen virus tidak dibuat untuk semua kes atau kluster. Oleh itu jumlah VOC dan VOI yang dikesan hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah sebenar kes tersebut,” katanya kepada FMT.
“Tetapi data semasa masih berguna kerana ia menunjukkan varian mana paling utama.”
Lee berkata, varian-varian ini akan menyekat kemajuan negara menuju pemulihan jika kerajaan tidak meningkatkan usaha melawan virus ini.
Katanya, kelembapan program vaksinasi akan memberi masa kepada virus untuk bermutasi dan memburukkan lagi situasi Covid-19 di negara ini.
“(Kadar) vaksinasi lambat bermaksud kemungkinan varian baharu wujud menjadi lebih tinggi. Kadar kebolehjangkitan akan menurun hanya apabila kita melepasi 16 juta dos dalam program vaksinasi,” katanya.
Ketika ditanya sama ada keberadaan varian ini menjadi faktor kadar kebolehjangkitan kekal tinggi walaupun dengan sekatan pergerakan, Lee mengakui itu boleh jadi salah satu sebabnya.
“Walaupun memang benar bahawa beberapa varian seperti Delta lebih cepat menular dan menyumbang kepada peningkatan kes, faktor utamanya masih kegagalan sekatan pergerakan dan pengesanan kontak rapat yang tidak efektif,” katanya.
“Perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 masih membenarkan banyak perniagaan, terutamanya syarikat besar terus beroperasi. Oleh itu, kluster tempat kerja akan terus muncul.”
Beliau berkata, kerajaan harus mempertimbangkan pendekatan vaksinasi “campur dan padan” untuk meningkatkan keberkesanan vaksin tertentu.
“Varian utama kita adalah varian Beta dan negara Afrika Selatan melaporkan bahawa AstraZeneca tidak berkesan terhadapnya,” kata Lee.
“Oleh itu kita harus mempertimbangkan dengan serius menggunakan vaksin lain bagi mereka yang telah menerima dos pertama AstraZeneca.”
Pakar epidemiologi di Universiti Malaya, Dr Sanjay Rampal berkata, vaksin utama masih berkesan untuk mencegah penyakit teruk, walaupun strain baharu akan meningkatkan kemungkinan jangkitan.
“Dengan adanya varian baharu, kita harus realistik dengan jangkaan kita tentang bila (program) imunisasi akan selesai,” katanya.
“Strategi semasa adalah pertama sekali memvaksin populasi untuk mengurangkan kerentanan terhadap virus.
“Matlamat jangka panjang sepatutnya adalah untuk hidup bersama virus dengan mengambil langkah pencegahan dan kawalan Covid-19 yang mampan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan