PUTRAJAYA: Tekanan melampau ‘burnout’ menjadi isu utama dihadapi sebahagian besar petugas barisan hadapan kerana bekerja melebihi komitmen untuk tempoh yang lama.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia mengakibatkan keletihan fizikal dan mental yang boleh mengganggu tumpuan serta produktiviti petugas barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat susulan satu kajian ke atas 893 petugas kesihatan oleh Roslan N.S. et. al. (2021).
Katanya, kajian terbabit adalah mengenai ‘Prevalen dan Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Burnout Dalam Kalangan Petugas Barisan Hadapan di Malaysia Semasa Pandemik Covid-19’.
“Isu berkaitan peribadi paling tinggi dalam kalangan pegawai farmasi dan petugas kesihatan di peringkat daerah iaitu 53.8 peratus manakala isu pekerjaan sebanyak 39.1 peratus melibatkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan petugas di makmal mencatatkan peratusan tertinggi.
“Bagi isu berkaitan pesakit sebanyak 17.4 peratus dalam kalangan paramedik dan petugas kesihatan di hospital swasta. Malah kebanyakannya merasakan mereka tidak mendapat sokongan psikososial yang mencukupi di tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, antara faktor wujudnya ‘burnout’ adalah kerana bebanan tugas, ketidakpastian tempoh pandemik yang panjang, pertukaran dan proses adaptasi terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang pelbagai, rancangan kerjaya terganggu dan kesulitan mengimbangkan keluarga dan kerjaya.
Bagi menangani masalah ‘burnout’ itu, katanya, kementerian melalui pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian.
“Kita juga mengambil tindakan sesuai bagi mencegah masalah ini daripada terus berlaku malah bantuan dan kaunseling sentiasa akan dihulurkan kepada mana-mana individu yang memerlukan khususnya petugas barisan hadapan.
“Semua petugas barisan hadapan disarankan untuk mengambil langkah
penjagaan kendiri bagi mengelakkan ‘burnout’ seterusnya mewujudkan
budaya kerja yang sihat dan ceria,” katanya. UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan