'Sukar peluang pekerjaan. Di bom sampai 3 kali. Hilang seorang demi seorang dalam hidup'
BANGI – Kesabaran aktivis masyarakat, Ustaz Ebit Liew akhirnya membuahkan hasil selepas dibenarkan masuk ke Gaza, Palestin bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Selepas lebih sebulan menunggu, beliau hari ini bertemu dengan penduduk Gaza bagi mengagihkan bantuan kepada keluarga di sana yang hidup serba kekurangan.
Menerusi hantaran di Facebook, pendakwah bebas itu menceritakan aktiviti beliau di Gaza antaranya menziarahi beberapa keluarga dalam kalangan susah dan memerlukan, membeli barang keperluan serta berbual bersama kanak-kanak.
“Saya shopping (membeli) barang keperluan, makanan dan mainan anak-anak. Bila berbual saya tanya nama. Semua bagi tahu nama masing-masing.
“Seorang ini tak jawab-jawab. Rupanya tak dengar dah lama. Sakit. Saya tanya ada bawa jumpa doktor. Ubat hanya ada di Mesir. Dan selepas itu perlu pembedahan di West Bank (Tebing Barat). Saya terus ambil nama jenis ubat itu. Nanti akan minta team (kumpulan) Malaysia yang akan masuk dalam masa terdekat bawa ubat itu.
“Comel sangat adik itu. Maknya sebak menangis bila dengar ubat itu akan dapat dalam masa terdekat. Team (kumpulan) Malaysia yang akan masuk lagi akan dibawa Palestine Red Crescent,” katanya.
Ustaz Ebit juga tidak dapat menahan rasa sebak memikirkan keadaaan kanak-kanak Gaza yang hanya ingin hidup dalam keadaan tenang dan boleh majukan diri.
“Sukar peluang pekerjaan. Di bom sampai tiga kali. Hilang seorang demi seorang dalam hidup. Saya beri duit belanja dan hadiah buat keluarga yang diziarahi. Tak berhenti mereka doakan untuk kami.
“Penduduk Gaza lembut dan baik sangat. Sifat dan akhlak mereka benar-benar terpuji,” katanya.
Dalam hantaran itu juga, Ustaz Ebit sekali lagi memberi ucapan penghargaan kepada pihak-pihak yang membantu menjayakan misi bantuan kemanusiaan ini.
Pada 25 Mei lalu, Ustaz Ebit dilaporkan berlepas ke Mesir bagi menjayakan misi bantuan kemanusiaan untuk disampaikan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.
Bagaimanapun beliau dan rombongan bantuan kemanusiaannya difahamkan `terkandas’ di Kaherah, Mesir lebih sebulan sebelum berjaya memasuki Gaza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan